Sunday, March 18, 2018

Cencaru bakar lombok ijo

 BAHAN-BAHAN :
2 ekor ikan cencaru (belah belakang)
2 tsp serbuk kunyit (lumur ikan)
2 Tbsp sambal lombok ijo
3 Tbsp kicap manis kipas udang
2 Tbsp sos tiram
1 Tbsp gula
1 tsp garam bukit


CARA-CARA :
Campurkan sambal lombok bersama kicap, sos tiram, garam dan juga gula.
Masukkan campuran ke dalam perut ikan.
Bakar ikan di dalam ketuhar sehingga masak.
Sedia dihidangkan bersama nasi putih dan ulaman.

Saturday, March 17, 2018

Sambal lombok ijo @ cili hijau

 BAHAN-BAHAN :
140g cili api hijau
1 biji tomato hijau (140g)
1 labu bawang holland (90g)
3 ulas bawang putih (10g)
5 helai daun limau purut
1/2 cawan minyak untuk menumis
1 Tbsp cuka
1 Tbsp gula
2 tsp garam bukit @ secukup rasa


CARA-CARA :
 Rebus cili api bersama tomato dan bawang sehingga layu.
Kisar sehingga halus.
Ketepikan.
Panaskan minyak di dalam kuali dan tumis bahan kisar bersama daun limau purut sehingga wangi.
Masukkan bahan perasa dan sejukkan dahulu sebelum dimasukkan ke dalam balang.

***saya menggunakan sambal ini sebagai rencah serbaguna untuk menggoreng nasi dsbnya. Jika ingin menikmati sambal ini sebagai pencicah lebih sedap sekiranya sambal ini ditumbuk pecah-pecah sahaja. Enak juga jika dinikmati bersama bakso***

Friday, March 16, 2018

Jus oren lobak merah

 BAHAN-BAHAN :
1 biji oren (kupas)
1/2 batang lobak merah (saiz kecil, hiris)
300ml air tapis ph alkali

CARA-CARA :
Masukkan semua bahan ke dalam blender.
Kisar dan tapis sebelum dihidangkan.

***hampas buah jangan dibuang, boleh dijadikan baja untuk tanaman***


Sambal udang dan kacang panjang

 BAHAN-BAHAN :
25 ekor udang sederhana  (buang urat tengah)
4 tangkai kacang panjang (hiris serong)
2 asam keping
gula/garam bukit
minyak untuk menumis

DIKISAR :
1 labu bawang besar (saiz besar)
sebesar ibu jari belacan
2  tangkai cili merah
8 tangkai cili api merah
1 Tbsp cili kisar


CARA-CARA :
 Panaskan secukupnya minyak untuk menumis.
Tumis bahan kisar bersama sedikit gula sehingga wangi dan keluar minyak.
Masukkan asam keping dan juga udang.
Gaul rata.
Tambahkan kacang panjang, garam dan juga gula secukupnya.
Setelah agak sebati dan kacang lembut bolehlah diangkat dan dihidangkan bersama nasi putih @ nasi lemak.


Thursday, March 15, 2018

Jus pir dan markisa

BAHAN-BAHAN :
550ml air tapis
5 biji buah markisa
1 biji buah pir kuning @ lai

CARA-CARA :
Belah dua markisa dan ambil isinya.
Masukkan markisa dan pir yang telah dipotong ke dalam blender.
Tuangkan air dan kisar sehingga hancur.
Tapis dan sedia dihidangkan.

Masak pedas kangkung

 
 BAHAN-BAHAN :
260g kangkung (1 mangkuk medium)
300g keledek (300g, kupas kulit)
130g sayur cekak manis (1 mangkuk kecil)
1 paket cendawan enoki (100g)
2 liter air tapis
2 Tbsp budu
1 1/2 Tbsp garam kasar (rata)

DITUMBUK :
1 labu bawang besar
2 ulas bawang putih
2 tangkai cili merah
1 inci belacan
lada hitam (secukup rasa)


CARA-CARA :
Jerang air bersama bahan tumbuk dan juga keledek yang telah dipotong.
Masak sehingga mendidih dan keledek lembut.
Masukkan kangkung, cekak manis dan juga cendawan.
Tambahkan budu dan juga garam kasar.
Biarkan mendidih sekali lagi.
Rasa apa yang kurang.
Setelah sayuran lembut bolehlah dimatikan api dan dihidangkan bersama nasi, sambal belacan dan ikan bakar.

Wednesday, March 14, 2018

Bihun sup bebola ikan

 BAHAN-BAHAN :
200g bihun FAIZA (1/2 paket, celur &tos)
100g kangkung
250g ayam (potong kecil)
20 biji bebola ikan
1 Tbsp bawang putih cincang
1 liter air
30ml kicap cair
1 Tbsp sos tiram
15ml sos ikan
1 Tbsp sos cili
serbuk lada hitam/ serbuk lada putih
1 tsp garam bukit
sedikit minyak untuk menumis


CARA-CARA :
Panaskan minyak di dalam periuk dan tumis bawang putih sehingga wangi.
Masukkan ayam dan air.
Masak sehingga kuah mendidih.
Tambahkan sos-sos, bebola ikan dan juga kicap cair.
Perasakan dengan garam dan juga serbuk lada hitam/putih secukupnya.
Akhir sekali masukkan kangkung yang telah disiang bersih.
Setelah kangkung lembut bolehlah diangkat dan dihidangkan.
Enak dinikmati bersama cili potong dan perahan limau kasturi.





Tuesday, March 13, 2018

Makaroni goreng

 BAHAN-BAHAN :
400g makaroni (rebus 3/4 masak, tos)
1 tin cendawan butang 425g (hiris)
225g daging lembu kisar
3 keping kek ikan (hiris)
1 labu bawang holland (cincang)
4 biji tomato masak (dadu)
2 Tbsp cili boh PUTERI
1 Tbsp sos tiram LEE KUM KEE
1 Tbsp sos cili KIMBALL
2 Tbsp kicap manis KIPAS UDANG
sedikit daun sup/ daun bawang (hiris)
gula/garam bukit/serbuk lada hitam
minyak untuk menumis


CARA-CARA :
 Panaskan minyak untuk menumis.
Tumis bawang besar sehingga layu.
Masukkan daging kisar dan masak sehingga daging kecut.
Tambahkan kek ikan, cendawan butang dan juga bahan perasa.
Gaul rata dan biarkan seketika.
Kemudian masukkan tomato, makaroni dan juga daun sup dan daun bawang.
Kacau sebati.
Rasa dahulu sebelum memasukkan gula @ garam kerana cili boh PUTERI sudah mengandungi garam.
Matikan api dan sedia dijadikan bekal anak-anak ke sekolah.


Monday, March 12, 2018

Biasa-biasa je....

Contoh juadah makan tengahari saya yang biasa. Sambal jantan @ sambal bodo, ikan jaket goreng sambal, kerabu beko dan mangga dan juga dalca daging.
Alhamdulillah syukur dengan rezeki ALLAH TAALA.

Gulai tulang ikan masin dan nanas

 
BAHAN-BAHAN :
300g tulang ikan talang masin (rendam bersama air + garam)
2 Tbsp serbuk kari ikan
150g nanas manis (belah 2, hiris nipis)
2 tangkai cili hijau (belah 2)
1 tangkai daun kari
1 kotak santan KARA
700ml air
air asam jawa jika perlu
1 tsp halba campur
gula/garam bukit
minyak untuk menumis

DIKISAR :
1 labu bawang besar saiz medium
3 ulas bawang putih
1 inci halia bentong


CARA-CARA :
Panaskan sedikit minyak untuk menumis.
Tumis halba campur bersama daun kari sehingga meletup-letup.
Masukkan bahan kisar dan tumis sehingga wangi.
Tambahkan serbuk kari dan juga sedikit air.
Masak sehingga hilang bau rempah dan terbit minyak.
Kemudian masukkan santan dan juga air.
Kacau dan biarkan seketika.
Masukkan pula nanas dan ikan masin yang telah dibilas bersih.
Masak sehingga nanas lembut.
Rasa dahulu kuah sebelum memasukkan perasa.
Jika suka kari yang masam bolehlah menambahkan sedikit air asam jawa.
Akhir sekali masukkan cili yang dibelah dua.
Biarkan mendidih sekali lagi dan bolehlah dimatikan api.


Sunday, March 11, 2018

Dalca daging

 BAHAN-BAHAN :
400g daging tetel (potong kecil, rebus)
700ml air rebusan daging
3 Tbsp serbuk kari daging Baba's
2 tsp serbuk jintan putih
1 Tbsp serbuk cili
1 1/2 kotak santan harmoni (300ml)
sedikit air asam jawa
2 biji terung panjang saiz kecil (potong 2, belah 4)
1 batang lobak merah kecil (potong jejari)
10 tangkai kacang panjang (potong 5cm)
4 tangkai putik jagung (hiris serong)
garam bukit/gula
minyak untuk menumis

REMPAH TUMIS :
1 batang kulit kayu manis kecil
5 kuntum bunga cengkih
5 biji pelaga
3 kuntum bunga lawang

DIKISAR :
1 labu bawang besar
3 ulas bawang putih
1 inci halia bentong


 CARA-CARA :
 Panaskan minyak di dalam periuk.
Tumis rempah tumis bersama bahan kisar sehingga wangi.
Masukkan serbuk kari, serbuk cili dan juga serbuk jintan putih.
masukkan sedikit air.
Kacau rempah dan masak sehingga terbit minyak.
Masukkan daging yang telah ditos.
Gaul rata.
Biarkan daging seketika.
Kemudian tuangkan stok daging dan biarkan mendidih.
Masukkan pula terung, putik jagung dan juga lobak merah.
Masak sehingga sayur lembut.
Kemudian masukkan santan, air asam dan juga kacang panjang.
Perasakan dengan garam dan gula secukupnya.
Setelah santan terbit minyak dan gulai sudah sebati bolehlah dimatikan api.
Sedia dihidangkan bersama nasi @ dicicah bersama roti.

Saturday, March 10, 2018

Tumis kacang panjang dan cendawan

 BAHAN-BAHAN :
6 tangkai kacang panjang (potong 3cm)
150g white crab mushroom (1 paket kecil)
3 Tbsp air tapis
garam bukit/gula/lada hitam
sedikit minyak

DIHIRIS :
5 ulas bawang putih
1 tangkai cili merah
1 tangkai cili hijau
1 tangkai cili api


CARA-CARA :
Panaskan sedikit minyak di dalam kuali.
Tumiskan bahan hiris sehingga wangi.
Masukkan cendawan dan kacang panjang.
Gaul rata dan masak sehingga cendawan lembut.
Perasakan secukupnya.
Matikan api dan sedia dihidangkan.

Friday, March 9, 2018

Bubur pulut hitam

BAHAN-BAHAN :
2 cawan beras pulut hitam (rendam 3 jam)
11 cawan air tapis
250g gula pasir
sedikit garam
1 kotak santan KARA
1 helai daun pandan (koyak, simpul)

CIRIT MURAI :
1 kotak santan KARA
1 kotak air
sedikit garam


CARA-CARA :
 Rebus pulut hitam bersama 11 cawan air sehingga pulut kembang.
Masukkan daun pandan, gula dan juga santan.
Masak sehingga gula hancur.
Ketepikan.
Sementara itu, untuk menyediakan cirit murai masukkan santan bersama air dan sedikit garam ke dalam periuk kecil.
Renihkan sebentar sehingga santan keluar wap.
Matikan api.
Untuk menghidang, sendukkan bubur ke dalam mangkuk.
Sudukan sedikit cirit murai dan sedia dinikmati begitu sahaja @ dicicah bersama roti benggali.

***Jika anda mempunyai selera yang lebih manis bolehlah menambahkan jumlah gula. Untuk 2 cawan pulut hitam menghasilkan bubur sebanyak 1 periuk 2L.***

Thursday, March 8, 2018

Nasi goreng

 BAHAN-BAHAN :
500g nasi semalam
1 mangkuk kecil sayur kangkung
sedikit udang basah
sedikit bebola ikan (belah 2)
1 Tbsp sos tiram
garam/gula
minyak untuk menumis

DITUMBUK :
3 ulas bawang putih
1/2 labu bawang besar
1 tangkai cili merah
1cm belacan


  CARA-CARA :
Panaskan minyak di dalam kuali dan tumis bahan tumbuk sehingga wangi.
Masukkan udang dan bebola ikan.
Masak hingga udang kecut.
Tambahkan sos tiram dan juga kangkung.
Gaul rata.
Setelah kangkung lembut masukkan nasi dan perasakan secukupnya.
Goreng nasi sehingga sebati dan sedia dihidangkan untuk sarapan.

Wednesday, March 7, 2018

Sambal belacan

 BAHAN-BAHAN :
150g cili api merah
100g cili merah (patahkan)
3 ulas bawang putih
1 labu bawang besar saiz kecil
65g belacan
60g asam jawa + 1/2 cawan air tapis (jadikan pes)
90ml cuka makan
100g gula pasir
9g garam bukit
1 cawan air tapis


CARA-CARA :
 Cucuk bawang putih dan bawang besar pada hujung pisau.
Layurkan di atas dapur gas sehingga kulit bawang hangus.
Ambil isi bawang dan masukkan ke dalam pengisar.
Balut belacan dengan kertas aluminium.
Bakar di atas api dapur sehingga wangi.
Tambahkan belacan dan semua bahan lain ke dalam pengisar.
kisar dengan menekan PULSE beberapa kali.
Jika suka boleh juga memasukkan tomato masak ke dalam sambal ini.
Kisar sehingga sebati.
Saya juga selalu menggantikan belacan dengan cencaluk.
Memang sedap tetapi kurangkan jumlah garam yang digunakan.
Tuangkan sambal ke dalam botol dengan menggunakan botol air mineral yang dipotong seperti di atas.
Simpan sambal di dalam peti ais.
Bila hendak dimakan barulah dituangkan ke dalam mangkuk dan enak jika digaul bersama nenas manis @ kuinin @ dengan hirisan kulit limau kasturi.



Tuesday, March 6, 2018

Sambal sardin pedas

 BAHAN-BAHAN :
1 tin sardin DUCHEF (230g)
1 biji ubi kentang saiz besar (hiris nipis, goreng)
5 biji belimbing buluh (belah 2)
2 helai daun limau purut (carik)
1 Tbsp sos tiram
1 Tbsp gula pasir (rata)
garam jika perlu
sedikit air
minyak untuk menumis

BAHAN KISAR :
1 labu bawang besar sederhana
3 ulas bawang putih
5 tangkai cili api
1 tangkai cili merah
1 biji tomato masak


 CARA-CARA :
Panaskan sedikit minyak di dalam kuali.
Tumis bahan kisar sehingga wangi dan terbit minyak.
Masukkan kuah sardin dan juga sos tiram.
Gaul rata.
Tambahkan sedikit air.
Kemudian masukkan ikan sardin, belimbing, daun limau purut dan juga kentang goreng.
Masak sehingga belimbing lembut.
Tambahkan gula dan rasa kuahnya.
Masukkan garam jika perlu.
Setelah agak sebati dan kuah pekat bolehlah dimatikan api.

Monday, March 5, 2018

Bening brokoli

 BAHAN-BAHAN :
1 kuntum brokoli (ceraikan kuntum, hiris batang)
4 filamen ketam
1 Tbsp bawang putih cincang
500ml air tapis
garam bukit secukup rasa


CARA-CARA :
 Tuangkan air ke dalam periuk.
Didihkan bersama bawang cincang dan biarkan sehingga kuah menggelegak.
Masukkan filamen ketam.
Kemudian masukkan pula brokoli bersama batangnya.
Perasakan secukupnya dan gaul rata.
Terus matikan api supaya sayur kekal rangup.
Sedia dihidangkan bersama nasi @ diratah sahaja bagi yang sedang berdiet.




Sunday, March 4, 2018

Biasa-biasa je....

Contoh hidangan saya, bening brokoli, ikan kembung masin goreng perah limau, ayam goreng kunyit, sambal sardin pedas dan ulaman (pucuk gajus, ulam raja, pucuk serai kayu @ daun salam dan bunga kantan). Alhamdulillah....syukur dengan rezeki ALLAH SWT.

Bubur kacang hijau

 BAHAN-BAHAN :
1 cawan kacang hijau (rendam 4 jam)
1 kotak santan KARA
1 helai daun pandan (carik & simpul)
2 Tbsp biji sagu (kecil)
2 liter air tapis + 1 Tbsp gula pasir
180g nisam @ gula melaka (1 kerek besar)
1/2 tsp garam bukit


CARA-CARA :
Rebus kacang hijau bersama 2 liter air dan 1Tbsp gula pasir sehingga empuk.
Masukkan daun pandan, sagu dan juga nisam.
Masak sehingga nisam cair dan sagu jernih.
Kemudian tambahkan santan kotak.
Kacau selalu.
Masukkan sedikit garam untuk menaikkan rasa lemak santan.
Matikan api dan sedia dicicah bersama roti.

***sekiranya tidak mahu merendam dahulu kacang hijau, lebihkan sedikit gula pasir semasa merebus dan kacang hijau pasti cepat empuk***

Saturday, March 3, 2018

Manjaa ibu.....

 Comelkan budak ni...Bambam ni anaknya Kak Lola. Muka je kacukan tapi tekak melayu. Kalau dapat makan nasik...abam Miki lalu kat belakang pun x nampak.
Bambam ni adik beradik ngan Jeklin. Tarikh lahir dia 22 Oct 2017.
 Yang ni pulak cucu kak Lola...anaknya Madonna. Tapi Lola layan macam anak dia gak. Dilahirkan 2 minggu selepas Bambam.
 ni abam Miki...suka merayap. Budak comot...suka dok dalam longkang..celah rumput kering dan tidur dalam pasu bunga.
Kalau dia keluar merayau memang berhari-hari x balik. Cukup memilih makan..suka kepci dan can food. (mana larat ibu nak beli nak...huhuhuu)
ni pulak Jeklin...jangan marah. Kalau ibu panggil Jeklin Vikter je terus berlari datang.
Selalu kena jentik telinga sebab ibu geram....
ibu memang sayangkan kucing...kalau kucing hilang @ ada yang mati memang murung laa.
Tapi bila dah kena ujian ni terpaksa la ibu kawal perasaan ibu ni kan.
Kang bermaharajalela pulak sel-sel jahat ni...

Spaghetti

 BAHAN-BAHAN :
1 bungkus spaghetti (rebus, tos & gaul bersama sedikit minyak)
3 keping daging burger RAMLY (hancurkan)
1 tin tomato puri DUCHEF (220g)
1 tin cendawan butang (belah 6)
250g brokoli
1 labu bawang besar (cincang)
3 ulas bawang putih (cincang)
2 Tbsp cili boh PUTERI
1cm belacan
1 tin sos tomato KIMBALL (guna tin puri tomato)
2 1/2 tin air (guna tin puri tomato)
1 tsp Italian herbs
1 tsp rosemary
1 tsp oregano
1 Tbsp daun sup
3 Tbsp gula pasir (rata)
3 tsp garam bukit
serbuk lada hitam secukup rasa
minyak untuk menumis


CARA-CARA :
Panaskan secukupnya minyak untuk menumis.
 Tumis bawang cincang sehingga layu.
Masukkan belacan dan cili boh.
Tumis hingga wangi.
Kemudian masukkan daging burger, puri tomato dan juga sos tomato.
Masak sehingga pecah minyak.
Masukkan pula cendawan, herba-herba dan tuangkan air.
Gaul rata dan biarkan seketika sehingga kuah mendidih.
Tambahkan brokoli dan perasakan dengan garam, gula dan juga lada hitam.
Setelah agak sebati bolehlah dimatikan api dan sedia dinikmati.

Friday, March 2, 2018

Kek planta

 
 BAHAN-BAHAN :
250g planta marjerin
250g tepung gandum
2 tsp serbuk penaik
180g gula kastor
4 biji telur A
120ml susu cair
1/2 tsp esen vanilla
sedikit pewarna merah
2 Tbsp jem raspberi DALFOUR


CARA-CARA :
 Ayak tepung gandum bersama serbuk penaik.
Ketepikan.
Di dalam mangkuk pengadun, pukul planta bersama gula halus sehingga berkrim.
Pecahkan telur sebiji demi sebiji dan pukul sehingga gebu dan putih.
Masukkan esen vanilla dan juga bahan ayak berselang seli dengan susu cair.
Kaup balik adunan sehingga sebati.
Bahagi dua adunan sama banyak.
Titiskan sedikit pewarna merah dan gaulkan bersama jem raspberi ke dalam salah satu adunan.
Adunan yang selebihnya dibiarkan berwarna asal.
Griskan loyang dengan sedikit marjerin.
Taburkan sedikit tepung dan buang lebihannya.
Sudukan adunan berselang seli sehingga habis.
Bakar kek di dalam ketuhar yang telah dipanaskan terlebih dahulu sehingga masak.
180'c selama 35-40 minit.



Thursday, March 1, 2018

Pengat labu

 BAHAN-BAHAN :
500g labu kuning (kupas, dadu besar & rendam air kapur 1/2 jam)
600ml air tapis
1 kotak santan HARMONI (200ml)
1 helai daun pandan (carik & simpul)
250g nisam @ gula melaka
1/2 tsp garam bukit


CARA-CARA :
Basuh labu dan rebus bersama air dan daun pandan sehingga 3/4 masak.
Masukkan nisam dan masak sehingga nisam hancur.
Tuangkan santan dan masukkan garam.
Kacau selalu sehingga santan mendidih.
Setelah labu empuk, matikan api dan hidangkan untuk minum petang.

Wednesday, February 28, 2018

Gulai ikan keli & jeruk mandai

 
 BAHAN-BAHAN :
5 ekor ikan keli (potong 2, rendam bersama air + cuka)
1 mangkuk kecil mandai (rendam, tos)
2 batang serai (ketuk)
1 liter santan segar
minyak untuk menumis
garam laut@ garam kasar

DIKISAR :
1 labu bawang besar
1 hiris lengkuas
1cm kunyit hidup
1 inci halia bentong
1 Tbsp ketumbar biji (rata)


CARA-CARA :
Panaskan sedikit minyak untuk menumis.
Tumis bahan yang dikisar halus dan juga serai sehingga wangi dan terbit minyak.
Tuangkan santan dan biarkan santan mendidih.
Kacau selalu.
Kemudian masukkan mandai yang telah ditos.
Masukkan pula ikan keli yang telah dicuci bersih.
Biarkan seketika sehingga ikan masak.
Rasa dahulu kuahnya sebelum memasukkan sedikit garam kasar.
Setelah kuah naik minyak dan sebati bolehlah dimatikan api dan sedia dihidangkan bersama nasi.

Saya menikmatinya bersama kerabu mangga, ayam penyet, udang goreng kunyit, tumis pak choy dan ulaman. Syukur Alhamdulillah dengan rezeki Allah.

Tuesday, February 27, 2018

Laksa Utara

 BAHAN-BAHAN :
1 bungkus laksa beras (rendam semalaman, kukus @ rebus hingga lembut)

BAHAN IKAN KUKUS :
500g ikan selayang @ kembung @ temenung
10 keping asam gelugur
1 Tbsp garam kasar
1/2 Tbsp gula pasir
1 cawan air tapis

BAHAN KUAH :
20 tangkai cili kering (rebus)
1 labu bawang besar kuning (bawang holland)
3 kuntum bunga kantan (1 dihiris, 2 kuntum dibelah 2)
1 inci belacan (lebih enak jika ada belacan Alor Ibus)
1 Tbsp garam kasar
3 tangkai daun kesum (ambil daun)
1 liter air untuk mengisar
650ml air + air rebusan ikan
asam keping dari ikan kukus

BAHAN ULAM :
1 labu bawang besar (potong 4, hiris nipis)
1 biji timun (potong batang mancis)
6 biji telur rebus (belah 2)
secekak pucuk gajus (mayang halus)
sedikit daun selom (mayang halus)
10 tangkai cili api (hiris )
6 biji limau kasturi (belah 2)


CARA-CARA :
Rebus ikan sehingga masak.
Ambil isi ikan dan ketepikan air rebusan dan asam keping.
Kisar isi ikan , cili, bawang, belacan dan bunga kantan yang dihiris bersama 1 liter air.
Masukkan bahan kisar ke dalam periuk dan tambahkan air rebusan dan asam keping yang telah diketepikan tadi.
Tuangkan 650ml air dan didihkan kuah di atas api sederhana.
Masukkan daun kesum dan bunga kantan yang dibelah dua.
Masak lagi sehingga bunga kantan lembut.
Buang buih yang timbul dipermukaan kuah.
Perasakan kuah dengan garam kasar.
Kacau rata dan bolehlah dimatikan api.
Untuk menghidang, masukkan sedikit laksa ke dalam mangkuk.
Curahkan kuah dan taburkan dengan bahan ulaman.
Jika suka bolehlah meletakkan sesudu otak udang untuk rasa yang lebih umphhh.

***Kuah laksa lebih enak dinikmati keesokan harinya kerana kuah telah sebati dengan asam. Orang Utara lebih gemar menggunakan ikan temenung untuk kuah laksa kerana ikan ini lebih lemak. Manakala orang Kelantan pula menggunakan ikan selayang untuk laksa Kelantan (laksa lemak) kerana isinya lebih manis***