Jabir bin Abdullah berkata :"Pada suatu hari sewaktu saya bersama baginda Rasulullah SAW maka tiba-tiba datang seorang lelaki yang berwajah putih bersih, rambutnya pula sangat cantik dan dia memakai pakaian yang putih. Lalu dia menghampiri Rasulullah SAW dengan berkata :"Assalamualaikum ya Rasullullah, apakah ertinya dunia itu?"
Maka Rasulullah SAW pun bersabda :"Dunia itu adalah impian orang-orang yang tidur."
Bertanya orang itu lagi :"Apakah ertinya akhirat itu ya Rasulullah SAW?"
Bersabda Rasulullah SAW :"Satu kumpulan manusia yang berada dalam Syurga dan satu kumpulan lagi berada dalam Neraka Sa'ir".
Orang itu bertanya lagi :"Apakah syurga itu?"
Bersabda Rasulullah SAW :"Sebagai ganti dunia untuk mereka yang menjauhkan dunia, kerana sesungguhnya nilai harga Syurga itu sama dengan menjauhkan dunia ini."
Bertanya orang itu lagi :"Apakah Jahannam itu?"
Maka bersabda Rasulullah SAW :"Jahannam itu adalah sebagai ganti dunia bagi mereka yang mencarinya."
Bertanya orang itu lagi :"Siapakah sebaik-baik umat ini?"
Bersabda Rasulullah SAW :"Sebaik-baik umat ialah yang taat kepada Allah SWT."
Orang itu bertanya lagi :"Bagaimana yang dikatakan orang yang taat itu?"
Bersabda Rasulullah SAW :"Orang yang berusaha bersungguh-sungguh sebagaimana orang yang mencari kafilah."
Orang itu bertanya lagi :"Seberapakah ketentuan taat itu ?"
Bersabda Rasulullah SAW :"Seperti kira-kira perbezaan dari kafilah."
Bertanya orang itu lagi :"Berapa jarak jauhnya Dunia dengan Akhirat itu ?"
Bersabda Rasulullah SAW :"Hanya sekadar memejamkan mata sahaja."
Jabir melanjutkan ceritanya :"Setelah orang itu pergi kami tidak lagi mel.ihat orang itu selepas itu."
Rasulullah SAW bersabda :"Orang lelaki yang datang tadi adalah Jibril as, dia datang kepada kamu supaya kamu semua menjauhkan diri dari dunia dan supaya kamu mencintai akhirat."
Bersabda Rasulullah SAW lagi :"Sesungguhnya ALLAH SWT tidak menciptakan makhluk yang lebih dibenci selain dunia, bahkan Dia (Allah) tidak melihatnya sejak Dia menciptakannya."
Dunia ini adalah satu alam khayalan yang mana satu masa nanti ianya juga akan musnah, jadi apalah gunanya kita mengejar dunia setelah kita tahu bahawa akhirat sahaja yang kekal.
Gunakanlah dunia ini untuk kita mengumpul bekalan amal untuk dibawa ke akhirat, janganlah kita menjadi orang bodoh, sebab orang yang bodoh hanya suka mengejar dunia. Seluruh masa dan tenaganya dihabiskan semata-mata untuk mendapatkan dunia.