Wednesday, October 12, 2011

MALAIKAT MEMBERITAHU UZAIR BERAPA LAMA IA TIDUR

     Pada suatu hari ketika Uzair memasuki kebunnya yang menghijau dengan pokok-pokok tamar dan tiba-tiba hatinya telah terpesona serta tertarik untuk memikirkan rahsia keindahan dan keajaiban alam ini.
     Sesudah memetik buah-buahan dia pun pulang dengan keldainya sambil menikmati keindahan-keindahan alam sekitarnya sehingga keldai yang ditungganginya sudah tersesat jalan. Setelah sekian lama barulah dia sedar bahawa dia telah berada di suatu daerah yang tidak dikenali oleh beliau serta sudah jauh dari negerinya sendiri, sebaik saja dia sampai di daerah itu dilihatnya kampung itu baru sahaja diserbu oleh musuh-musuh sehingga menjadi rosak binasa sama sekali.
     Di tapak atau bekas runtuhan itu terdapat mayat-mayat manusia bergelimpangan yang sudah busuk serta hancur. Melihat kejadian yang mengerikan itu, dia pun turun dari keldainya dengan membawa dua bakul buah-buahan. Manakala keldainya ditambat di situ, kemudian dia pun duduk bersandar pada dinding sebuah rumah yang sudah runtuh untuk melepaskan penatnya. Dalam pada itu fikirannya mulai memikirkan mayat manusia yang sudah busuk itu.
     "Bagaimanakah orang yang sudah mati dan hancur akan dihidupkan oleh Tuhan kembali di negeri akhirat."
Begitulah pertanyaan yang datang dalam fikirannya dan tidak terjawab olehnya sehingga dia menjadi lemah longlai dan kemudian terus tertidur. Dalam tidur itu dia seakan-akan bertemu dengan semua arwah (roh-roh) orang-orang yang sudah meninggal itu. Tidurnya amat luarbiasa sekali, bukan hanya sejam atau semalam, tetapi dia telah tidur terus tanpa bangun-bangun selama seratus tahun lamanya.
     Dalam masa dia tertidur itu, keadaan di sekitarnya sudah ramai penduduk baru, rumah serta bangunan-bangunan telah banyak yang didirikan. Dalam masa seratus tahun itu segala-galanya sudah berubah, manakala Uzair tetap terus tidur tersandar di dinding buruk itu manjadi jasad (tubuh) yang tidak bernyawa lagi. Dagingnya sudah hancur dan tulang belulangnya sudah hancur lebur berderai.