Anak-anakku

Loading...

Sunday, July 31, 2011

Tumis ayam dan cendawan


BAHAN-BAHAN :
  • 3 ketul paha ayam (potong kecil)
  • 15 biji bebola daging @ bakso
  • 1 paket cendawan tiram (dikoyak-koyak)
  • 1/2 biji bawang besar (hiris)
  • 1 biji tomato (belah 6)
  • 3 biji cili hijau (hiris)
  • 1/2 sdk serbuk kunyit
  • sos tiram secukupnya
  • garam secukup rasa
  • sedikit air
  • minyak untuk menumis
CARA-CARANYA :

  • Panaskan minyak di dalam kuali, goreng ayam sehingga masak kemudian masukkan bakso. Kacau lagi. 
  • Setelah itu masukkan bahan yang dihiris, cendawan, serbuk kunyit dan bahan perasa. Tambahkan sedikit air agar berkuah. Sebelum ditutupkan apinya masukkan buah tomato.
  • Bolehlah diangkat dan dihidangkan.

Saturday, July 30, 2011

Nabeyaki udon ala Nasya

BAHAN-BAHAN :

  • 1 paket mi udon
  • 3 helai daun kobis cina (dihiris)
  • 1 paket kecil bebola ikan
  • 2 pokok daun bawang (hiris)
  • 1 paket cendawan enoki (potong akar dan leraikan)
  • 1 batang saderi (hiris)
  • 5 batang filamen ketam
BAHAN KUAH SUP :

  • 3 gelas air
  • 1/2 sdb serbuk pati ikan bilis
  • 1/2 sdb serbuk pati ayam
  • 4 sdb kicap cair @ secukup rasa
CARA MEMASAKNYA :



  • Panaskan air di dalam periuk bersama semua bahan untuk sup. Biar sehingga mendidih.
  • Masukkan semua bahan lain termasuk mi dan masak lagi hingga mendidih kali kedua. Jika suka bolehlah pecahkan sebiji telur ke dalam sup ini. 
  • Angkat dan hidangkan panas. (Sup ini sepatutnya dimasak menggunakan periuk tanah)

Friday, July 29, 2011

Roti pizza segera

BAHAN-BAHAN :

  • 4 biji roti manis
  • sos spaghetti secukupnya
  • parutan keju cheddar
CARA :

  • Potong 2 roti, sapu dengan sedikit sos dan taburkan parutan keju di atasnya.
  • Bakar dengan api atas sebentar. Sedia dimakan.

Singgang asam pedas


SUMBER : VARIASI MASAKAN PANTAI TIMUR
OLEH : PN. NORZAILINA NORDIN
BAHAN-BAHAN :

  • 4 ekor ikan kerisi
  • 1 biji timun ladang / timun kuning
  • 1 biji tomato (hiris)
  • 450 ml air
  • 1 keping asam gelugur
  • 1 sdt gula pasir
  • garam secukup rasa
BAHAN (A) DIKISAR :

  • 5 tangkai cili kering (dibuang biji dan direndam)
  • 3 ulas bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • 2 cm halia
  • 2 cm kunyit hidup
CARA MEMBUAT :

  • Buang empulur timun dan potong 5 cm panjang dan 1 cm lebar. Ketepikan.
  • Masukkan bahan (A), air, asam gelugur, gula pasir dan garam ke dalam periuk. Masak hingga mendidih.
  • Bubuh ikan dan timun. Kacau sekali-sekala hingga ikan masak dan timun empuk.
  • Tambah garam jika perlu, kemudian angkat. 

Thursday, July 28, 2011

Kebun kesayanganku

 Ini pokok terung pepel. Tatau la bulat ke lonjong.
 Ini lak serai.
 Yang ni bendi.

Ini pokok jagung..

Ini pokok mangga panjang..kata orang yang jual tu laa..kena tunggu lagi setaon dua baru tau betul ke idak..
 Cikonan lagi..
 Ini pokok rambutan untuk anak-anak yang rajin ke skolah..
Nangka madu
 Ini mangga apa aaaaarr dah lupe..

 ini pokok cikonan yang merajuk pasai buah dia asyik kena rembat jerr....

Rambutan gula batu baru belajar berbuah


 Ini daun selasih
 Ini lak pokok yang melukut tepi gantang..tapi jangan pandang rendah wooo buat ubat kencing manis nih..caranya makan sebagai ulam

Sunday, July 24, 2011

ANTARA SABAR DAN MENGELUH

Pada zaman dahulu ada seorang yang bernama Abul Hassan yang pergi haji di Baitul Haram. Diwaktu tawaf tiba-tiba ia melihat seorang wanita yang bersinar dan berseri wajahnya.
"Demi ALLAH, belum pernah aku melihat wajah secantik dan secerah wanita itu, tidak lain itu pasti kerana tidak  pernah risau dan bersedih hati."
Tiba-tiba wanita itu mendengar ucapan Abul Hassan lalu ia bertanya,"Apakah katamu hai saudaraku ? Demi ALLAH aku tetap terbelenggu oleh perasaan dukacita dan luka hati kerana risau, dan seorang pun yang menyekutuinya aku dalam hal ini."
Abul Hassan bertanya,"Bagaimana hal yang merisaukanmu?"
Wanita itu menjawab, "Pada suatu hari ketika suamiku sedang menyembelih kambing korban, dan pada aku mempunyai dua orang anak yang sudah boleh bermain dan yang satu masih menyusu, dan ketika aku bangun untuk membuat makanan, tiba-tiba anakku yang agak besar berkata kepada adiknya, "Hai adikku, sukakah aku tunjukkan padamu bagaimana ayah menyembelih kambing ?"
Jawab adiknya, "Baiklah kalau begitu ?"
Lalu disuruh adiknya baring dan disembelihkannya leher adiknya itu. Kemudian dia merasa ketakutan setelah melihat darah memancut keluar dan lari ke bukit  yang mana di sana ia dimakan oleh serigala, lalu ayahnya pergi mencari anaknya itu sehingga mati kehausan dan ketika aku letakkan bayiku untuk keluar mencari suamiku, tiba-tiba bayiku merangkak menuju ke periuk yang berisi air panas, ditariknya periuk tersebut dan tumpahlah air panas terkena ke badannya habis melecur kulit badannya. Berita ini terdengar kepada anakku yang telah berkahwin dan tinggal di daerah lain, maka ia jatuh pengsan hingga sampai menuju ajalnya. Dan kini aku tinggal sebatang kara antara mereka semua."
Lalu Abul Hassan bertanya,"Bagaimanakah kesabaranmu menghadapi semua musibah yang sangat hebat itu?"
Wanita itu menjawab,"Tiada seorang pun yang dapat membedakan antara sabar dengan mengeluh melainkan ia menemukan di antara keduanya ada jalan yang berbeda. Adapun sabar dengan memperbaiki yang lahir, maka hal itu baik dan terpuji akibatnya. Dan adapun mengeluh, maka orangnya tidak mendapat ganti yakni sia-sia belaka."
Demikianlah cerita di atas, satu cerita yang dapat dijadikan tauladan di mana kesabaran sangat digalakkan oleh agama dan harus dimiliki oleh setiap orang yang mengaku beriman kepada ALLAH dalam setiap terkena musibah dan dugaan dari ALLAH. Kerana itu Rasulullah saw bersabda dalam firman ALLAH dalam sebuah hadith qudsi ;
"Tidak ada balasan bagi hambaku yang mukmin, jika Aku ambil kekasihnya dariahli dunia kemudian dia sabar, melainkan syurga baginya."
Begitu juga mengeluh. Perbuatan ini sangat dikutuk oleh agama dan hukumnya haram. Kerana itu Rasulullah saw bersabda ;
"Tiga macam daripada tanda kekafiran terhadap ALLAH, merobek baju, mengeluh dan menghina nasab orang."
Dan sabdanya pula, "Mengeluh itu termasuk kebiasaan jahilliyah, dan orang yang mengeluh, jika ia mati sebelum taubat, maka ALLAH akan memotongnya bagi pakaian dari wap api neraka." (Riwayat oleh Imam Majah)
Semoga kita dijadikan sebagai hamba Tuhan yang sabar dalam menghadapi segala musibah.

KUBUR BERKATA SEWAKTU JENAZAH FATIMAH AZ-ZAHRA HENDAK DIKEBUMIKAN

Dikisahkan bahawa sewaktu Fatimah r.a. mennggal dunia maka jenazahnya telah diusung oleh 4 orang, antaranya :-

  • Ali bin Abi Talib (suami Fatimah r.a.)
  • Hasan (anak Fatimah r.a.)
  • Husin (anak Fatimah r.a.)
  • Abu Dzafrin Al-Ghifary r.a
Sewaktu jenazah Fatimah r.a diletakkan di tepi kubur maka Abu Dzafrin Al-Ghifaryr.a berkata kepada kubur," Wahai kubur, tahukah kamu jenazah siapakah yang kami bawakan kepada kamu ? Jenazah yang kami bawa ini adalah Siti Fatimah Az-Zahra, anak Rasulullah SAW."
Maka berkata kubur," Aku bukannya tempat bagi mereka yang berdarjat atau orang yang bernasab, adapun aku adalah tempat amal soleh, orang yang banyak amalnya maka dia akan selamat dariku, tetapi kalau orang itu tidak beramal soleh maka dia tidak akan terlepas dari aku (aku akan layan dia dengan seburuk-buruknya)."
Abu Laits as-Samarqandi berkata kalau seseorang itu hendak selamat dari seksa kubur hendaklah melazimkan empat perkara semuanya :-

  • Hendaklah ia menjaga solatnya
  • Hendaklah dia bersedekah
  • Hendaklah dia membaca Al-Quran
  • Hendaklah dia memperbanyakkan membaca tasbih kerana dengan memperbanyakkan membaca tasbih, ia dapat menyinari kubur dan melapangkannya.
Adapun empat perkara yang harus dijauhi ialah :-

  • Jangan berdusta
  • Jangan mengkhianat
  • Jangan mengadu domba (jangan suka mencucuk sana cucuk sini)
  • Jangan kencing sambil berdiri
Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud," Bersucilah kamu semua dari kencing, kerana sesungguhnya kebanyakan seksa kubur itu berpunca dari kencing."
Seseorang itu tidak dijamin akan terlepas dari segala macam seksaan dalam kubur, walaupun ia seorang alim ulama' atau seorang anak yang bapanya sangat dekat dengan ALLAH. Sebaliknya kubur itu tidak memandang adakah orang itu miskin, orang kaya, orang berkedudukan tinggi atau sebagainya, kubur akan melayan seseorang itu mengikut amal soleh yang telah dilakukan sewaktu hidupnya di dunia ini.
Jangan sekali-kali kita berfikir bahawa kita akan dapat menjawab setiap soalan yang dikemukakan oleh dua malaikat Mungkar dan Nakir dengan cara kita menghafal. Pada hari ini kalau kita berkata kepada saudara kita yang jahil takutlah kamu kepada ALLAH dan takutlah kamu kepada soalan yang akan dikemukakan ke atas kamu oleh Malaikat Mungkar dan Nakir, maka mereka mungkin akan menjawab," Ah mudah saja, aku boleh menghafal untuk menjawabnya."
Itu adalah kata-kata orang yang tidak berfikiran. Seseorang itu tidak akan dapat menjawab setiap soalan di alam kubur jikalau dia tidak mengamalkannya sebab yang akan menjawab ialah amalnya sendiri. Sekiranya dia rajin membaca Al-Quran, maka Al-Quran itu akan membelanya dan begitu juga seterusnya.

NABI IDRIS MENIKAM MATA IBLIS

Dalam sebuah kitab diterangkan bahawa pada suatu hari sedang Nabi Idris as duduk menjahit bajunya, maka dengan tiba-tiba berdiri di hadapan pintu rumah Nabi Idris seorang lelaki yang tidak dikenali dan ditangan orang itu memegang sebiji telur, lalu orang itu berkata ;" Wahai Nabi ALLAH Idris ! bolehkah Tuhan kamu memasukkan dunia ini ke dalam telur yang aku pegang ini ?" Apabila Nabi Idris mendengar kata-kata orang itu maka tahulah ia bahawa yang sedang bercakap dengannya itu adalah iblis.
     Lalu Nabi Idris pun berkata padanya :" Datanglah dekat denganku dan tanyalah apa yang kamu hendak ketahui." Setelah iblis menghampiri Nabi Idris, lalu iblis pun berkata :" Wahai Nabi ALLAH Idris, bolehkah Tuhanmu itu memasukkan dunia ke dalam telur ini !"
     Maka Nabi Idris pun berkata :" Tuhanku boleh memasukkan dunia ke mana saja, jangankan dalam telur yang kamu pegang itu, bahkan ia dapat memasukkan dunia ini ke dalam  jarum yang aku pegang." Setelah menjawab soalan yang dikemukakan oleh iblis itu Nabi Idris dengan pantas mencucuk mata iblis dengan jarum yang ada di tangannya. Maka terperanjat iblis itu sebab tidak diduga sama sekali bahawa Nabi Idris telah mencucuk matanya dengan jarum yang dipegangnya, lalu iblis itu pun lari meninggalkan Nabi Idris yang telah membutakan sebelah matanya. Iblis itu buta sebelah matanya sehingga tibalah dibangkitkan Junjungan kita Nabi Muhammad SAW.

Saturday, July 23, 2011

Laksa jerr...

 Semalam masak laksa jerr...hero kecik jenis yang xmoo makan nasik, kalu nasik arab makan laa...last2 masak laksa la sbb kalu laksa pandai lak dia makan..banyak lak tuu...nak masak nasik arab..belajar belum khatam..tok guru pengsann!!!

Hantu duriannnnn

Sampai sepet-sepet mata si DIDI ni makan doyan...nak makan buah hebat-hebat pisang kek belakang umah tu xmau lak
 Nasib baik kau dah murah sekarang...kalau x ...xlalu nak makan yang kampung yo..berat kulit dari isi
 Pulut doyan ni Ayah yang oder..ibu makan gak tapi xmau sangat..dah abih musim baru meroyan nak makan pulut doyan
Hero-hero untuk iklan doyan yang tengah meroyan makan doyan..

IBLIS MENGGODA NABI AYUB AS

Para malaikat memuji akan sikap dan keperibadian Nabi Ayub as yang suka beribadah dan mengingat ALLAH swt. Hidupnya penuh dengan rasa kesyukuran yang mendalam atas nikmat yang dibahagikan oleh ALLAH swt kepadanya. Iblis mendengar pujian para Malaikat tersebut yang membuat hatinya menjadi panas kerana ia telah bersumpah dengan ALLAH untuk menggoda setiap anak cucu Adam. Oleh sebab itu ia tidak rela melihat manusia yang berada dipermukaan bumi ini beriman, beribadah dan beramal soleh.
     Kemudian iblis menjumpai Ayub untuk melihat sendiri tentang apa yang diperkatakan oleh malaikat itu. Ternyatanya memang benar bahawa Nabi Ayub as memang patut menerima pujian tersebut. Nabi Ayub hidup dalam keadaan yang serba mewah dengan harta kekayaan yang banyak, hidup rukun dengan anak dan isterinya. Namun begitu Nabi Ayub tidak terlena dengan kekayaan dan anak isterinya itu, siang malam bibirnya tidak terlepas dari mengingat ALLAH swt bersujud dan bersyukur kepadaNya, serta memiliki rasa kasih sayang yang tinggi terhadap  sesama makhluk.

Friday, July 22, 2011

KISAH KELEBIHAN BERPUASA PADA 10 MUHARRAM DAN PERISTIWA-PERISTIWA YANG BERLAKU PADA HARI TERSEBUT

Dari Ibnu Abbas r.a. berkata Rasulullah s.a.w. bersabda :" Sesiapa yang berpuasa pada hari Aasyura (10 Muharram) maka ALLAH s.w.t akan memberi kepadanya pahala 10,000 malaikat dan sesiapa yang berpuasa pada hari Aasyura (10 Muharram) maka akan diberi pahala 10,000 orang berhaji dan berumrah, dan 10,000 pahala orang mati syahid, dan barang siapa yang mengusap kepala anak-anak yatim pada hari tersebut maka ALLAH s.w.t. akan menaikkan dengan setiap rambut satu darjat. Dan sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa pada hari Aasyura, maka seolah-olah dia memberi makan pada seluruh ummat Rasulullah s.a.w. yang berbuka puasa dan mengenyangkan perut mereka."
Lalu para sahabat bertanya Rasulullah s.a.w. :" Ya Rasulullah s.a.w., adakah ALLAH telah melebihkan hari Aasyura daripada hari-hari lain?." Maka berkata Rasulullah s.a.w. :" Ya memang benar, ALLAH TAALA menjadikan langit dan bumi pada hari Aasyura, menjadikan laut pada hari Aasyura, menjadikan bukit-bukit pada hari Aasyura, menjadikan Nabi Adam dan juga Hawa pada hari Aasyura, lahirnya Nabi Ibrahim juga pada hari Aasyura, dan ALLAH s.w.t. menyelamatkan Nabi Ibrahim dari api juga pada hari Aasyura, ALLAH s.w.t. menenggelamkan Firaun pada hari Aasyura, menyembuhkan penyakit Nabi Ayyub a.s. pada hari Aasyura, ALLAH s.w.t. menerima taubat Nabi Adam pada hari Aasyura, ALLAH s.w.t. mengampunkan dosa Nabi Daud pada hari Aasyura, ALLAH s.w.t. mengembalikan kerajaan Nabi Sulaiman juga pada hari Aasyura, dan akan terjadi hari kiamat itu juga pada hari Aasyura!".

Thursday, July 21, 2011

IBLIS MEMPERDAYA SITI HAWA

IBLIS berusaha untuk bersemayam dalam setiap hati manusia, mengikuti gerak-gerinya dengan harapan akan dapat menghancurkan dan memusnahkan kehidupan seseorang.
Dalam sebuah cerita disebutkan bahawa pada suatu hari Nabi Adam as keluar rumah untuk mencari nafkah, maka datanglah iblis bersama anaknya yang bernama Khannas menemui Hawa. "Aku ingin menumpangkan anakku di sini, kerana ada satu keperluan yang penting, aku harus pergi sendiri," kata iblis. Kemudian Hawa menerima anak iblis tersebut.
     Ketika Nabi Adam pulang, dia bertanya; "Anak siapakah ini?" Hawa menjawab ;"iblis menumpangkannya kepada ku." Adam menjadi marah, lalu Khannas dibunuhnya dan dipotong-potongnya. Kemudian setiap potongan badan Khannas disangkutnya di atas dahan-dahan pohon kayu. Setelah itu Adam pergi lagi.
     Tidak lama kemudian iblis datang dan menanyakan tentang anaknya. Hawa menceritakan kepada iblis tentang apa yang telah terjadi. Lalu iblis memanggil nama anaknya maka kepingan-kepingan tubuh Khannas bersatu lagi, menyambut kedatangan ayahnya iblis.
     Pada kesempatan yang lain ketika iblis ingin pergi kerana keperluannya, ia menumpangkan anaknya lagi kepada Hawa. Hawa menolak untuk menerima anaknya itu. Tapi dasar iblis pandai merayu, sekali lagi Hawa menerima anak iblis tersebut. Ketika Nabi Adam pulang dari mencari nafkah didapatinya anak iblis itu masih ada lagi. Adam menjadi marah sebenar-benar marah. Dibunuh anak itu, mayatnya dibakar, abunya dibuang ke sungai-sungai dan ke merata tempat.
     Ketika Adam telah pergi iblis datang lagi menanyakan tentang anaknya. Kemudian ia memanggil nama anaknya, dan seluruh abu tadi bersatu kembali dan anak itu hidup lagi. Kemudian menumpangkan anak itu kepada Hawa lagi. "Kali ini pastilah Adam akan membunuhku," kata Hawa. Namun iblis yang pandai merayu itu dapat melemahkan hati Hawa sehingga dapat menerima kembali anak tersebut. Kemudian Adam pulang, kemarahannya sudah tidak tertahan, lalu anak iblis itu disembelihnya dan dimasaknya. Kemudian sebahagian dimakannya dan sebahagian lagi diberikannya kepada Hawa.
     Ketika iblis datang , Hawa menceritakan apa yang telah terjadi. "Inilah yang kuinginkan", kata iblis. "Aku ingin bersemayam di dada Adam, dan kini hasrat itu telah terkabul. Sejak saat itu iblis selalu berada dalam diri manusia.
     Iblis termasuk makhluk yang tabah dalam menggoda manusia. Ia berusaha berbagai upaya untuk memperdayakan manusia, dan bahkan ia bermohon kepada ALLAH agar hidup sampai hari kiamat untuk melakukan hasratnya itu. Namun tidak semua orang terpedaya dengan bisikan dan rayuan iblis ini. Orang-orang yang beriman dan beramal soleh selalu menjaga dirinya dari mengikut jejak langkah iblis. Contohnya Nabi Ayub yang merupakan lambang "kesabaran" sebab beliau tetap sabar menerima cubaan.

Kangkung ikan masin

BAHAN-BAHAN :

  • 1 mangkuk kangkung (dipotong kecil)
  • 1/2 biji bawang besar + 4 ulas bawang putih + 5 biji cili api(dimayang)
  • seekor ikan gelama jeruk (dipotong 4)
  • sedikit garam dan serbuk perasa
  • sedikit minyak untuk menumis
CARA-CARA :

  • Panaskan minyak, goreng ikan masin kemudian ketepikan ditepi kuali. Tumis bawang hingga wangi masukkan kangkung dan cili, goreng  hingga kangkung layu. Tambahkan bahan perasa dan gaul semua bahan hingga rata.
  • Bolehlah diangkat dan dihidangkan.

Tomyam daging

BAHAN-BAHAN :

  • 300 gm daging lembu (direbus & dihiris nipis)
  • 10 biji cendawan butang (potong 4)
  • 1 biji tomato masak (belah 6)
  • 1/2 ulas bawang besar (didadu besar)
  • 4 batang serai (diketuk pangkal)
  • 4 helai daun limau purut (dicarik)
  • cili api secukupnya
  • segenggam daun ketumbar (dipatah-patahkan)
  • jus limau secukupnya
  • 2 sdb pati tomyam mae pranom
  • 2 sdb pati tomyam knorr
  • air rebusan daging secukupnya
  • garam jika perlu
CARA-CARA :

  • Masukkan kesemua bahan ke dalam periuk kecuali jus limau dan daun ketumbar. Masak hingga mendidih. Jika kurang masin bolehlah dimasukkan sedikit garam.
  • Setelah mendidih bolehlah masukkan jus limau nipis. Angkat dan taburkan daun ketumbar sebelum menghidang.

Tuesday, July 19, 2011

IBLIS MENGGODA NABI ADAM DAN SITI HAWA

"Setelah Adam diciptakan ALLAH s.w.t di dalam syurga, lalu ALLAH memerintahkan kepada semua Malaikat, supaya sujud kepada Adam a.s. maka sujudlah para semua Malaikat, kecuali yang enggan dan sombong dan tergolong yang kafir iaitu iblis laknatullah."
                                                                                                                                (Al-Baqarah : 34)
     Tinggallah Adam a.s. sendirian di dalam syurga. Namun ALLAH mengetahui jika Adam merasa kesepian kemudian ALLAH menciptakan seorang wanita iaitu Hawa. ALLAH s.w.t. berfirman bermaksud :
     "Hai Adam diamilah oleh kamu dan isteri mu syurga ini, dan makanlah makanan-makanannya yang banyak lagi baik yang mana saja kamu sukai, dan jangan kamu dekati pohon ini yang menyebabkan kamu termasuk orang-orang yang zalim."
                                                                                                                                (Al-Baqarah : 35)
      Kenyataan menunjukkan bahawa Adam a.s. tidak lama bertahan di syurga, lantaran tergoda oleh pujukan syaitan (iblis) dengan rayuannya. Dilanggarnya perintah ALLAH, didekatinya pohon khuldi yang terlarang itu kemudiannya dimakannya buah pohon tersebut. Kemudian keduanya dikeluarkan dari syurga. 
ALLAH berfirman bermaksud :
     "Maka syaitan membisikkan fikiran jahat kepada keduanya apa yang tertutup dari mereka iaitu auratnya dan syaitan berkata :
     "Tuhan kamu tidak melarang mu dari mendekati pohon ini, melainkan supaya kamu berdua tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi orang-orang yang kekal (dalam syurga)."
                                                                                                                               (Al-A'raf : 20)
     Kemudian syaitan memujuk kepada Adam a.s.dan Hawa dengan bersumpah bahawa sesungguhnya termasuk orang-orang yang memberi nasihat.
     "Tatkala keduanya telah merasai buah kayu itu, nampaklah bagi kedua-duanya aurat-auratnya, dan mulailah keduanya menutupinya dengan daun-daun syurga. Kemudian Tuhan mereka menyeru mereka :"Bukankah Aku  telah melarang kamu berdua daripada pohon kayu itu dan Aku katakan kepada mu "Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu."
                                                                                                                               (Al-A'raf : 22)
      Pohon khuldi yang dilarang ALLAH s.w.t. untuk mendekatinya itu, ada yang mengertikan sebagaimana nama yang diertikan oleh syaitan dalam surah Thaha ayat 120. Syajaratulkhuldi atau pohon kekekalan, kerana menurut syaitan orang yang memakannya akan kekal tidak akan mati. Namun ada yang berpendapat bahawa khuldi tersebut hanyalah merupakan kiasan, sesungguhnya yang dimaksudkan menghampiri dan memakannya adalah bahawa Adam a.s. dan Hawa telah melakukan hubungan jimak ketika di syurga. Sebagaimana firman ALLAH s.w.t. dalam surah Al-A'raf di atas, tatkala keduanya telah merasai buah kayu itu, nampaklah keduanya akan aurat-aurat mereka.
     Akhirnya oleh ALLAH s.w.t. Adam dan Hawa dilemparkan ke dunia untuk hidup sampai waktu yang di tentukan. Keduanya menyesali atas dosa yang telah dilakukan ketika di syurga dan memohon keampunan kepada ALLAH s.w.t.. Kemudian ALLAH berfirman :
     "Kemudian Adam menerima beberapa kalimat dari Tuhannya, maka ALLAH menerima taubatnya. Sesungguhnya ALLAH Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang."
                                                                                                                               (Al-Baqarah : 37)
     Setelah itu Adam a.s. yang ditugaskan oleh ALLAH  s.w.t. sebagai khalifah di permukaan bumi memulai hidupnya bersama Hawa dengan berbagai cubaan dan ujian, namun Adam tetap bertaqwa kepada ALLAH s.w.t.. Begitulah angkara iblis laknatullah yang akan sentiasa menggoda manusia.

SEDEKAH 7000 PAHALA

Pahala sedekaah dapat dibahagikan kepada empat jenis :
Pertama, sedekah yang mendapat pahala sepuluh.
Kedua, sedekah yang berpahala sampai tujuh puluh.
Ketiga, sedekah yang mendapat pahala tujuh ratus.
Keempat, sedekah yang memperolehi pahala tujuh ribu.
     Sedekah pertama yang mendapat sepuluh pahala ialah pemberian makan pada fakir miskin.
     Sedekah kedua yang mendapatkan pahala sampai tujuh puluh adalah sedekah yang diberikan pada keluarga dekat.
     Sedekah yang ketiga yang mendapat pahala tujuh ratus ialah sedekah yang diberikan kepada kawan-kawan dan sahabat.
     Sedekah yang keempat sampai mendapat pahala tujuh ribu ialah sedekah yang diberikan kepada orang yang mencari ilmu.
Rasulullah s.a.w. Bersabda :
          "Barang siapa yang mempunyai harta maka bersedekahlah dengan kekayaannya, dan barang siapa yang mempunyai ilmu maka bersedekahlah dengan ilmunya dan barang siapa yang mempunyai tenaga maka bersedekahlah dengan tenaganya."
Rasulullah s.a.w. pula bersabda :
     "Sedekah itu dapat menutup tujuh puluh pintu kejahatan."
(Darratun Nasihin)

EMMM...SODAPNYO DOYAN !


Baby Syabil yang hantu durian....

Sotong masak hitam dengan daun selasih

BAHAN-BAHAN :

  • 7 ekor sotong (dipotong bulat, ambil dakwat)
  • 2 cm halia + 2 ulas bawang putih + 1/2 biji bawang besar + segenggam cili api (kisar)
  • 1/2 biji bawang besar + 1 biji cili merah (hiris)
  • 1/2 sdk serbuk kunyit
  • sos tiram dan garam secukup rasa
  • segenggam daun selasih
  • 1 paket sweet peas
  • minyak untuk menumis
CARA-CARA :

  • Panaskan minyak, tumis bahan yang dikisar sehingga garing dan wangi. Masukkan sotong dan serbuk kunyit. Masak lagi hingga air sotong kering.
  • Kemudian masukkan sos tiram, sedikit garam , sweet peas dan bahan hiris. Sebelum diangkat masukkan daun selasih. 
  • Hidangkan panas-panas.

Masak lemak kobis dan tauge

BAHAN-BAHAN :

  • 1/4 biji kobis (dipotong)
  • 1 cwn udang
  • 1 cawan tauge
  • 1 biji cili merah (hiris)
  • 4 ulas bawang merah + 1 ulas bawang putih + 1 cm belacan (ditumbuk)
  • garam secukup rasa
  • santan dari sebiji kelapa
CARA-CARA :

  • Semua bahan dimasukkan sekaligus di dalam periuk kecuali tauge.
  • Setelah mendidih barulah dimasukkan tauge dan garam. Biarkan sebentar dan bolehlah dihidangkan bersama ikan goreng  dan juga budu.

Cencaru goreng sambal

BAHAN-BAHAN :

  • 4 ekor  ikan cencaru (sapu garam kunyit & goreng)
  • 23 biji cili kering (direbus & kisar)
  • 1 ulas bawang besar + 2 ulas bawang putih + 2 cm belacan (kisar)
  • 1 keping asam gelugur
  • sedikit cili sos
  • garam dan gula secukup rasa
  • minyak untuk menumis
CARA-CARA :

  • Panaskan minyak, tumis bawang hingga wangi. Masukkan pes cili kisar dan gula. Masak hingga cili pecah minyak. Tambahkan asam keping, sedikit air, cili sos dan garam secukup rasa.
  • Setelah sambal sebati masukkan ikan yang telah digoreng. Balik-balikkan supaya ikan bercampur dengan sambal. Sedia untuk dihidangkan.