Tuesday, June 28, 2011

PEGANGLAH API BILA TERINGATKAN ZINA

     Ada seorang soleh yang sangat patuh kepada perintah agamanya, dan sentiasa menjaga diri daripada segala rupa maksiat dan keburukan, sehingga pada satu malam terlintas di dalam hatinya hendak berzina dengan seorang wanita jelita kerana terpesona dengan kejelitaannya.
     Kebetulan pada ketika itu, disampingnya ada sebuah pelita yang baru saja dinyalakan untuk menerangi rumah orang soleh itu. Maka dia pun terus menajamkan pandangannya kepada api yang sedang bernyala-nyala pada sumbu pelita itu.
Kemudian dia berbisik pada dirinya sendiri :"Engkau mengajak aku melakukan perbuatan terkutuk dengan wanita itu? Baiklah ! Aku akan letakkan jariku ini di atas sumbu pelita yang menyala itu, kiranya ia tahan panasnya, nescaya aku akan turutkan kemahuanmu itu."
     Maka orang soleh itu pun meletakkan jarinyadi atas sumbu tadi. Dan dia cuba menahan diri daripada kepanasannya, sehingga hampir-hampir nyawanya akan tercabut kerana tidak tahan panas yang  dideritanya itu. Lalu segeralah dia berteriak :"Wahai jiwa, tahniahlah engkau ! Rupanya engkau tidak tahan. Ini baru saja kepanasan api dunia, engkau sudah tidak tahan, padahal api dunia itu telah disejukkan oleh ALLAH s.w.t. dengan air sebanyak 70 kali ganda agar manusia boleh bertentangan dengannya.
     Kalau hanya menghadapi api dunia, engkau sudah tidak tahan, apatah lagi untuk menghadapi api neraka, yang panasnya 70 kali ganda lebih dahsyat daripada api dunia ini." Lalu orang soleh itu pun berpaling daripada niatnya yang mula-mula tadi. Sejak hari itu hatinya tidak pernah diganggu lagi oleh lintasan buruk seperti itu.

CUBALAH BERSIKAP SABAR DENGAN PERANGAI ISTERI

      Diceritakan, bahawa ada seorang datang ke rumah Khalifah Umar Ibnul- Khattab untuk mengadukan perangai buruk isterinya. Apabila orang tu tiba di pintu rumah Khalifah, tiba-tiba dia terdengar isteri Khalifah sedang mengangkat suara mengata nista Khalifah sedangkan Khalifah hanya berdiam diri saja, tidak menjawab sepatah pun.
     Maka orang itu pun tidak jadi hendak mengadu, malah tergesa-gesa hendak kembali meninggalkan rumah Khalifah, maka dengan tidak semena-mena dia dipanggil oleh Khalifah seraya bertanya kepadanya :"Apa hajatmu datang ke mari?"
Jawabnya :"Tidak ada apa-apa wahai Amirul Mukminin!"
Tanya Khalifah :"Mengapa datang kalau tidak ada apa-apa?"
Kata orang itu lagi :"Sebenarnya saya datang ini untuk mengadukan kelakuan buruk isteri saya, Wahai Amirul Mukminin. Tetapi tiba-tiba saya mendapati tuan hamba juga mengalami nasib yang sama seperti saya."
     Berkata Khalifah Umar :
"Wahai saudara ku! Aku terpaksa menanggung semua itu kerana aku terhutang budi kepadanya. Dia telah memasak makananku, membuat roti untukku, membasuh pakaianku dan menyusukan anakku, padahal semua itu tidak wajib atasnya. Dan dia juga menjadi tempat kemesraanku, di mana hatiku berasa tenang dan kerana itu juga aku terlindung daripada melakukan yang haram. Bagaimana dapat aku menentangnya, jadi aku hanya bersabar dan memekakkan telinga saja."
Kata orang itu pula :"Saya juga menanggung nasib yang sama seperti tuan hamba juga, wahai Amirul Mukminin!"
     Maka berkata Amirul Mukminin lagi :
"Wahai saudaraku ! Bersabarlah atas kelakuan isterimu itu.

AKAL ALAT DAN PEMIMPIN ORANG MUKMIN

Diriwayatkan oleh Ka'ab dan Abu Hurairah bahawa mereka datang dan bertanya kepada Rasulullah s.a.w.
"Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling pintar?"
Rasulullah s.a.w. menjawab: "Orang yang berakal."
Mereka bertanya lagi:"Siapakah orang yang paling berbakti?"
Rasulullah s.a.w. menjawab: "Orang yang berakal."
Mereka bertanya lagi: "Siapakah orang yang paling utama?"
Rasulullah s.a.w. menjawab: "Orang yang berakal kerana setiap sesuatu mempunyai alat dan alat orang mukmin ialah akal dan setiap kamu mempunyai pemimpin dan pemimpin orang mukmin adalah akal.
Setiap kamu mempunyai tujuan dan yang utama bagi hamba ALLAH ialah akal (khayatul qulub)."
Saidatina Aisyah berkata: "Akal itu mempunyai sepuluh bahagian, lima bahagian nampak dan lima bahagian tersembunyi."
Adapun yang nampak ialah:
Pertama : Diam.
Kedua : Sabar.
Ketiga : Rendah hati.
Keempat : Takut kepada ALLAH.
Kelima : Mengawal hawa nafsu.

KENAPA ANDA HARUS TANGGUH TIDUR

Seorang hakim berkata: "Seorang tidak boleh tidur sehingga menyelesaikan empat perkara":
Jangan tidur selama dia percaya atas bumi ada musuh, sehingga minta halalnya, sebab kemungkinan dia mati sehingga dituntut oleh ALLAH s.w.t.
Jangan tidur jika masih rasa berdosa dan belum taubat daripadanya, sebab kemungkinan dia mati dan dianggap terus dalam berdosa.
Jangan tidur sehingga menulis wasiat yang tepat, sebab mungkin dia mati tanpa meninggalkan wasiat.
Jangan tidur jika masih belum menyelesaikan kewajipan kepada ALLAH s.w.t.
    Seorang lagi hakim berkata: " Seorang di waktu pagi harus niat empat perkara":
Menunaikan kewajipan terhadap ALLAH s.w.t.
Meninggalkan larangan ALLAH s.w.t.
Menyelesaikan dengan orang yang dia ada hubungan dagang dan sebagainya.
Memperbaiki hubungan dengan lawannya.
Maka jika dia pagi-pagi ada niat yang demikian ada harapan termasuk orang soleh yang untung.
    Manusia pada waktu pagi ada tiga macam:
Sebahagian mencari harta.
Sebahagian mencari dosa.
Dan sebahagian mencari jalan yang diredhai ALLAH s.w.t.
Yang sibuk mencari harta, maka dia tidak akan makan lebih daripada rezekinya meskipun hartanya sangat banyak.
Dan yang sibuk mencari dosa maka pasti akan mendapat kehinaan.
Dan yang  mencari jalan menuju keredhaan ALLAH s.w.t., maka ALLAH s.w.t. akan memberinya rezeki dan jalan.