Thursday, February 9, 2012

Asam tumis ikan tenggiri

BAHAN-BAHAN :

  • 3 keping ikan tenggiri
  • 15 tangkai cili kering (rebus dan kisar)
  • 1 cm kunyit (kisar)
  • 2 sdb bawang merah kisar
  • 1/2 sdb bawang putih kisar
  • 1 cm belacan (kisar)
  • 3 batang serai (titik)
  • 1 biji tomato (potong 4)
  • 7 batang bendi
  • sedikit daun kesum
  • 2 kuntum bunga kantan (jika ada, dibelah 2)
  • air asam jawa secukupnya
  • 2 cawan air
  • 1 sdk serbuk pati ikan bilis
  • garam secukup rasa
  • sedikit minyak untuk menumis
CARA-CARA :

  • Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan kisar. Kacau dan biarkan hingga pecah minyak.
  • Masukkan serai dan kacau lagi selama 5 minit.
  • Masukkan air asam jawa dan air kemudian kacau perlahan-lahan.
  • Bila mendidih, masukkan ikan, bunga kantan, daun kesum, bendi, tomato, garam dan juga serbuk pati ikan bilis.
  • Biarkan mendidih sekali lagi dan angkat.

Ayam mak inang

BAHAN-BAHAN :

  • 3 ketul ayam (dari seekor ayam yg dipotong 4, disapu garam dan goreng 1/2 masak)
  • 3 sdb bawang merah kisar
  • 1 sdb bawang putih kisar
  • 15 biji cili hijau (dikisar) 
  • 1 1/2 inci lengkuas (dikisar)
  • 3 sdb kerisek
  • 1 tin susu cair + 1 tin air
  • garam dan gula secukup rasa
  • sedikit minyak untuk menumis
CARA-CARA :

  • Panaskan sedikit minyak di dalam periuk, tumis bahan kisar hingga wangi dan garing.
  • Masukkan susu cair, air dan juga kerisek. Masak dengan api sederhana hingga menggelegak.
  • Setelah kuah agak pekat, masukkan ayam yang telah digoreng, garam dan juga gula secukup rasa.
  • Masak hingga agak pekat dan kuah keluar minyak.
  • Sedia dihidangkan.

Sup sayur campur

BAHAN-BAHAN :

  • 1 batang karot (dihiris serong)
  • 1 mangkuk kecil bunga kobis (direndam air garam sebentar, toskan)
  • 1 mangkuk kecil brokoli (direndam air garam sebentar, toskan)
  • 1 paket putik jagung
  • 1 mangkuk kecil isi udang
  • 1 sdk bawang putih kisar
  • 1 sdb halia kisar
  • 1 sdb sos tiram
  • 1 sdk minyak bijan
  • 1 sdb kicap manis
  • sedikit garam dan serbuk lada sulah
  • 2 cawan air + 1 sdb tepung jagung
  • sedikit minyak untuk menumis
CARA-CARA :

  • Panaskan sedikit minyak di dalam periuk, tumiskan bawang putih dan halia sehingga wangi.
  • Masukkan karot, putik jagung dan juga air. (Tinggalkan sedikit untuk membancuh tepung jagung).
  • Setelah karot agak lembut, tambahkan isi udang, sos tiram, kicap, lada sulah dan juga brokoli dan kobis bunga.
  • Biarkan mendidih sebentar dan terus masukkan bancuhan tepung jagung dan garam.
  • Tambahkan minyak bijan dan hidangkan segera.
  • Jika suka anda juga boleh memasukkan hirisan daun bawang sebelum menghidang.

Kerabu asam

BAHAN-BAHAN :

  • 1 biji mangga mengkal (dipotong jejari)
  • 7 biji cili kering (dibuang biji, rebus dan kisar)
  • 1 genggam ikan bilis (digoreng garing dan dikisar)
  • 3 cm belacan bakar (dikisar)
  • garam dan gula secukup rasa
CARA-CARA :

  • Gaul semua bahan bersama mangga dan simpan di dalam peti ais sebentar.
  • Sedia dimakan bersama nasi atau diratah begitu sahaja.


Puding koko

BAHAN-BAHAN :

  • 25 gm agar-agar (direndam sehingga lembut)
  • 900 ml air
  • 1/2 tin susu cair
  • 2 senduk gula pasir (guna senduk gulai @ secukup manis)
  • 2 sdb serbuk koko
  • 2 helai daun pandan (disimpul)
CARA-CARA :
  • Masak agar-agar bersama air dan gula sehingga hancur. 
  • Bancuh serbuk koko bersama sedikit air suam dan masukkan kedalam periuk bersama susu cair dan juga daun pandan. Kacau sebentar.
  • Masukkan  agar-agar ke dalam acuan pilihan. Sejukkan di dalm peti ais.
  • Sedia dihidangkan.

Sambal tumis kering ikan bilis

BAHAN-BAHAN :

  • 2 genggam ikan bilis (digoreng garing dan diketepikan)
  • 4 papan petai (dibelah 2)
  • 20 biji cili kering (direbus dan dikisar)
  • 3 sdb bawang merah kisar
  • sebesar ibu jari belacan
  • sedikit air asam jawa
  • garam dan gula secukup rasa
  • minyak untuk menumis
CARA-CARA :

  • Panaskan minyak di dalam kuali, tumis bawang merah dan cili kering sehingga garing. Masukkan gula, sedikit garam dan juga belacan.
  • Tambahkan air asam jawa dan masak sehingga sambal agak kering.
  • Kemudian masukkan petai dan bolehlah dimatikan api.
  • Setelah sambal agak sejuk gaulkan ikan bilis. Sedia dihidangkan.

Masak lemak putih pucuk ubi

BAHAN-BAHAN :

  • 1 mangkuk sederhana pucuk ubi yang telah dicelur
  • 1 kilo santan
  • 2 sdb bawang merah kisar
  • 1 genggam ikan bilis
  • 3 batang serai (diketuk)
  • 2 biji cili merah (hiris kasar)
  • garam dan gula secukup rasa
CARA-CARA :

  • Jerang santan bersama bahan-bahan lain di atas api yang sederhana sehingga mendidih.
  • Masukkan pucuk ubi celur dan masak lagi. Tambahkan bahan perasa secukupnya.
  • Biarkan mendidih sekali lagi dan sedia dihidangkan bersama nasi panas, sambal belacan dan ikan masin.