Anak-anakku

Loading...

Wednesday, October 12, 2011

MALAIKAT MEMBERITAHU UZAIR BERAPA LAMA IA TIDUR

     Pada suatu hari ketika Uzair memasuki kebunnya yang menghijau dengan pokok-pokok tamar dan tiba-tiba hatinya telah terpesona serta tertarik untuk memikirkan rahsia keindahan dan keajaiban alam ini.
     Sesudah memetik buah-buahan dia pun pulang dengan keldainya sambil menikmati keindahan-keindahan alam sekitarnya sehingga keldai yang ditungganginya sudah tersesat jalan. Setelah sekian lama barulah dia sedar bahawa dia telah berada di suatu daerah yang tidak dikenali oleh beliau serta sudah jauh dari negerinya sendiri, sebaik saja dia sampai di daerah itu dilihatnya kampung itu baru sahaja diserbu oleh musuh-musuh sehingga menjadi rosak binasa sama sekali.
     Di tapak atau bekas runtuhan itu terdapat mayat-mayat manusia bergelimpangan yang sudah busuk serta hancur. Melihat kejadian yang mengerikan itu, dia pun turun dari keldainya dengan membawa dua bakul buah-buahan. Manakala keldainya ditambat di situ, kemudian dia pun duduk bersandar pada dinding sebuah rumah yang sudah runtuh untuk melepaskan penatnya. Dalam pada itu fikirannya mulai memikirkan mayat manusia yang sudah busuk itu.
     "Bagaimanakah orang yang sudah mati dan hancur akan dihidupkan oleh Tuhan kembali di negeri akhirat."
Begitulah pertanyaan yang datang dalam fikirannya dan tidak terjawab olehnya sehingga dia menjadi lemah longlai dan kemudian terus tertidur. Dalam tidur itu dia seakan-akan bertemu dengan semua arwah (roh-roh) orang-orang yang sudah meninggal itu. Tidurnya amat luarbiasa sekali, bukan hanya sejam atau semalam, tetapi dia telah tidur terus tanpa bangun-bangun selama seratus tahun lamanya.
     Dalam masa dia tertidur itu, keadaan di sekitarnya sudah ramai penduduk baru, rumah serta bangunan-bangunan telah banyak yang didirikan. Dalam masa seratus tahun itu segala-galanya sudah berubah, manakala Uzair tetap terus tidur tersandar di dinding buruk itu manjadi jasad (tubuh) yang tidak bernyawa lagi. Dagingnya sudah hancur dan tulang belulangnya sudah hancur lebur berderai.

     Kemudian jasad Uzair yang sudah mati, daging dan tulangnya yang sudah hancur itu disusun kembali oleh ALLAH pada bahagiannya masing-masing lalu ditiupkan rohnya. Dan ketika itu juga Uzair hidup kembali seperti dahulu. Uzair lalu duduk dan terus berdiri seperti orang yang bangun dari tidur lantas dia mencari keldai dan buah-buahannya yang di dalam bakul dahulu.
     Tidak berapa lama kemudian turunlah beberapa malaikat seraya bertanya :"Tahukah engkau ya Uzair berapa lama engkau tertidur ? Tanpa berfikir panjang Uzair menjawab "Saya tertidur sehari dua ataupun setengah hari." Lalu malaikat pun berkata kepadanya :"Bahawa engkau terdampar di sini genap seratus tahun lamanya. Di sinilah engkau berbaring, berhujan dan berpanas cahaya matahari, kadang-kadang ditiup badai hawa sejuk dan juga panas terik. Dalam masa yang begitu panjang makanan engkau tetap baik keadaannya. Tetapi cuba lihat keadaan keldai itu, dia sendiri pun telah hancur, dagingnya sudah busuk."
     Berkata malaikat lagi :"Lihatlah dan perhatikanlah sungguh-sungguh. Demikianlah kekuasaan ALLAH. ALLAH dapat menghidupkan kembali orang yang sudah mati dan mengembalikan jasad-jasad yang sudah hancur lebur dan dengan semudah itu pulalah ALLAH akan membangkitkan semua manusia yang sudah mati itu nanti di hari akhirat untuk diperiksa dan diadili segala perbuatannya. Hal ini diperlihatkan oleh ALLAH kepada engkau supaya iman engkau tetap dan engkau sendiri dapat menjadi bukti kepada manusia-manusia lain supaya engkau dan manusia-manusia lain itu tiada syak dan ragu-ragu tentang apa yang diterangkan ALLAH tentang akhirat itu."
     Setelah Uzair melihat, makanan dan keldainya yang sudah hancur itu, maka Uzair pun berkata :"Sekarang tahulah saya bahawa ALLAH itu berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu." Tiba-tiba keldai yang sudah hancur dan bercerai-berai itu dilihatnya mulai dikumpulkan daging dan tulangnya. Dan akhirnya menjadi seperti sediakala iaitu hidup kembali bergerak dan berdiri sebagaimana sebelum mati. Maka Uzair pun berkata :"Sekarang tahulah saya bahawa ALLAH berkuasa di atas segala-galanya." Lalu dia pun terus mengambil keldainya dan menunggangnya pulang kerumahnya dahulu dengan mencari-cari jalan yang sukar untuk dikenali
     Dilihatnya segala-galanya telah berubah. Dia cuba mengingat kembali apa yang pernah dilihatnya seratus tahun dahulu. Setelah menempuhi pelbagai kesukaran akhirnya dia pun sampai kerumahnya.
     Sebaik saja dia sampai ke situ, dia mendapati yang rumahnya telahpun buruk yang mana segala dinding-dinding rumahnya telah habis runtuh. Semasa dia memandang keadaan di sekeliling rumahnya dia ternampak seorang perempuan tua, lantas dia pun bertanya :" Inikan rumah Uzair?" "Ya" jawab perempuan itu. "Inilah rumah Uzair dahulu, tetapi Uzair telah lama pergi dan tiada diketahui beritanya lagi sehingga semua orang pun lupa padanya dan saya sendiri tidak pernah menyebut namanya selain kali ini sahaja." Kata perempuan itu sambil menitiskan air mata. "Sayalah Uzair jawab Uzair dengan pantas. "Saya sudah dimatikan oleh Tuhan seratus tahun dahulu dan sekarang saya dihidupkan kembali oleh ALLAH."
     Perempuan tua itu terkejut seakan-akan tidak percaya, lau dia pun bekata :" Uzair itu adalah seorang yang palin soleh, doanya selalu dimakbulkan oleh Tuhan dan telah banyak jasa-jasanya dalam menyembuhkan orang yang sakit tenat." Sambungnya lagi. "Saya ini adalah hambanya sendiri, badan saya telah tua dan lemah, mata saya telahpun buta kerana selalu menangis terkenangkan Uzair. Kalaulah tuan ini Uzair maka cubalah tuan doakan pada Tuhan supaya mata saya ini terang kembali dan dapat melihat wajah tuan."
     Uzair pun menadah kedua tangannya ke langit lalu berdoa ke hadrat ALLAH. Tiba-tiba mata orang tua itu pun terbuka dan dapat melihat dengan lebih terang lagi.
     Tubuhnya yang lemah dan tua itu kembali kuat seakan-akan kembali muda. Setelah merenung wajah Uzair dia terus berkata :" Benar, tuanlah Uzair. Saya masih inga."
     Hambanya itu terus mencium tangan Uzairlalu kedua-duanya pergi mendapatkan orang ramai, bansa Israil. Uzair memperkenalkan dirinya bahawa dialah Uzair yang pernah hidup di kampung itu lebih seratus tahun yang lalu.
     Berita itu bukan saja mengejutkan bangsa Israil, tetapi juga meragukan dan ada yang tidak percaya kepadanya. Walaupun ketika itu menarik perhatian semua orang yang hidup ketika itu. Kerana itu mereka ingin menguji kebenaran Uzair. Kemudian datanglah anak kandungnya sendiri seraya bertanya :"Saya masih ingat bahawa bapa saya (Uzair) mempunyai tanda di punggungnya. Cubalah periksa tanda itu. Kalau ada benarlah dia Uzair. Tanda itu memang ada pada Uzair, lalu percayalah sebahagian dari mereka. Akan tetapi sebahagian lagi mahukan bukti yang lebih nyata, maka mereka berkata kepada Uzair, bahawa sejak penyerbuan Nebukadnezar ke atas bangsa dan negara Israil dan setelah tentera tersebut membakar kitab suci Taurat, maka tiadalah seorang pun di antara Bani Israil yang menghafal isi Taurat kecuali Uzair seorang saja. Kalau benarlah tuan Uzair cuba tuan sebutkan isi Taurat itu dengan betul."
     Uzair pun membacakan isi Taurat itu satu persat dengan fasih dan lancar serta tidak salah walaupun sedikit. Mendengarkan itu barulah mereka percaya bahawa sungguh benar itulah Uzair. Ketika itu semua bangsa Israil percaya bahawa dialah Uzair yang telah mati dan dihidupkan semula oleh ALLAH. Ramai di anatara mereka yang bersalam dan mencium tangan Uzair serta meminta panduan daripadanya.
     Tetapi sebahagian daripada kaunm Yahudi yang bodoh menganggap Uzair sebagai anak Tuhan pula. Maha Suci ALLAH tidak mempunyai anak samada Uzair mahupun Isa, kerana semua makhluk adalah kepunyaanNya belaka.

No comments:

Post a Comment