Tuesday, February 28, 2012

SYAITAN MENGGODA KAUM TSAMUD

Di antara kaum Tsamud iaitu kaum Nabi Saleh itu kebanyakan mereka lebih mendengar bisikan syaitan daripada  seruan kebenaran yang disampaikan oeh Nabi Saleh as. Kaum yang tinggal di dataran Alhijir yang terletak antara Hijaz dan Syam ini hidup dalam kemakmuran. Mereka merupakan pewaris kaum Aad yang juga hidup mewah, namun akhirnya ditenggelamkan oleh ALLAH dengan banjir yang dahsyat lantaran tidak mahu mengikut seruan Nabi Nuh.
Tidak jauh bezanya dengan kaum Tsamud ini, mereka menyembah berhala yang mereka buat sendiri. Mereka memohon dan berkorban demi berhala yang mereka reka sendiri itu. Ketika Nabi Saleh menyeru kepada jalan ALLAH. mereka berkata : "Wahai Saleh, kami mengenali mu sebagai seorang yang pandai dan bijaksana, kami mengharap dari kamulah untuk menyelesaikan setiap persoalan yang sukar kami hadapi. Tapi kenyataannya sekarang, engkau menghendaki kami meninggalkan sembahan kami.
     Kami sekali-kali tidak akan meninggalkan agama kami, yang merupakan peninggalan nenek moyang kami dan kami juga tidak mahu mengikut ajaranmu yang sesat itu serta tidak mempercayai atas kenabian mu."
     Nabi Saleh telah mengingatkan mereka supaya jangan menentangnya, sebaliknya menyuruh mereka tetap beriman kepada ALLAH SWT. Hanya sebahagian kecil sahaja di antara mereka yang mengikuti dakwah Nabi Saleh tersebut. Mereka terus menentang Nabi Saleh dan meminta bukti kenabiannya dengan suatu mukjizat luarbiasa.
     Nabi Saleh berkata kepada mereka, jika ia mampu membuktikan kenabiannya, mereka harus meninggalkan agama nenek moyang mereka dan mengikuti ajaran Nabi Saleh, jika mereka ingkar azab ALLAH akan menimpa mereka.
     Dengan kekuasaan ALLAH SWT apa yang disuruh oleh kaumnya, Nabi Saleh dapat membuktikannya, sehingga keluarlah seekor unta betina dari dalam sebuah batu karang besar yang terdapat disebuah bukit yang mereka tunjuk. Setelah unta itu keluar, berkatalah Saleh :"Inilah dia unta ALLAH, janganlah kamu ganggu dan biarkanlah ia mencari makannya sendiri di atas bumi ALLAH."
     Melihat bukti yang nyata itu mereka masih tetap tidak mahu menerima kebenaran yang dibawa oleh Nabi Saleh. Seorang janda yang kaya menawarkan dirinya sebagai upahan jika ada yang sanggup membunuh unta Nabi Saleh. Di samping itu ada yang ingin menghadiahkan puteri canti mereka bagi siapa yang dapat membunuh unta tersebut.
     Dengan hadiah tersebut dua orang pemuda sanggup melaksanakan tugas itu. Mereka ialah Mushadda bin Muharrij dan Gudar bin Salif. Akhirnya mereka berhasil membunuh unta Nabi Saleh. Mereka sambut keberhasilan mereka dengan pesta dan kegembiraan sebagai bukti bahawa mereka telah berhasil dan menang.
Di antara mereka ada yang menemui Nabi Saleh dan berkata :"Buktikanlah hai Saleh ancaman yang akan datang dari Tuhan mu itu ?"
     Nabi Saleh berkata :" Aku telah memberi peringatan kepada kamu bahawa ALLAH akan menurunkan azabNya kepada kamu jika kamu mengganggu unta itu, tunggulah azab ALLAH pasti akan datang." Sebelum azab tiba, dua orang pembunuh unta dan kawan-kawannya berhasrat untuk membunuh Nabi Saleh. Namun dalam perjalanan menuju rumah Nabi Saleh mereka semua terbunuh ditimpa oleh batu besar.
     Azab ALLAH pun datang menimpa kaum Tsamud. Pada hari pertama bila mereka bangun dari tidur, mereka melihat wajah mereka menjadi kuning, pada hari yang kedua berubah menjadi merah, pada hari yang ketiga berubah menjadi hitam, kemudian pada hari keempat maka turunlah azab ALLAH yang maha pedih. Satu hari menjelang turun azab, ALLAH memerintahkan Nabi Saleh berserta keluarga dan pengikutnya yang beriman berhijrah ke Ramlah sebuah tempat di Palestin.
     Dua orang pemuda yang membunuh unta Nabi Saleh tersebut merupakan syaitan yang berwujud manusia, atau manusia yang berhati syaitan. Mereka bukan saja tidak beriman, tetapi secara terang-terangan menentang kebenaran yang telah diturunkan oleh ALLAH SWT. Syaitan telah merayu mereka berdua sehingga sanggup melawan RasulNya. Syaitan dalam wujud manusia seperti Mushadda' dan Gudar itu juga terdapat pada abad moden ini. Berusaha menentang kebenaran yang telah diwahyukan ALLAH SWT secara ilmu dan teknologi yang mereka miliki.

No comments:

Post a Comment