Pada suatu hari Halimah Assa'diyah menunggang seekor keldai dan suaminya menunggang unta betina, ia pun berangkat menuju kota Makkah bersama dengan wanita-wanita tukang susu yang lain. Kerana kebiasaannya wanita-wanita Arab Quraisy pergi ke tempat yang jauh untuk mencari penghasilan yang lebih. Mereka berusaha mencari anak-anak orang kaya untuk mengambil upah menyusukan mereka.
Halimah Assa'diyah menunggang keldai yang lemah dan tidak bermaya, begitu juga suaminya menunggang unta betina yang sudah tua, sehingga mereka tertinggal jauh ke belakang. Teman-temannya telah sampai ke kota Makkah terlebih dahulu untuk mencari anak susuan atau anak untuk diasuh atau dijaga.
Pada mulanya Halimah Assa'diyah menolak tawaran Aminah bonda Rasulullah SAW. Namun setelah puas ia mencari yang lain tapi tidak berjumpa, barulah ia mencuba untuk mengambil Nabi Muhammad sebagai bayi jagaannya. Halimah Assa'diyah berkata kepada suaminya bahawa ia tdak mahu pulang dalam keadaan hampa, alangkah baiknya jika kita ambil sahaja anak yatim itu sambil niat untuk menolong. Suaminya pun bersetuju dengan harapan ALLAH aka memberkahi mereka.
Ketika Halimah Assa'diyah ingin menyusukan baginda, tanpa diduga tiba-tiba air susunya menjadi banyak. Padahal sebelumnya air susunya sedikit sahaja, dan tidak mencukupi untuk keperluan bayinya sendiri. Setelah ia menyusukan anak Siti Aminah, anaknya sendiri merasa kenyang, sedangkan ia masih sanggup untuk memberikan susu kepada anaknya dan Nabi Muhammad. Begitulah keajaiban yang terjadi dalam sejarah kehidupan Nabi Muhammad ketika baginda masih menyusu.
Berbagai keistimewaan dapat mereka rasakan, baru sahaja mereka merasakan keajaiban air susu Halimah Assa'diyah yang semakin bertambah, kini unta mereka juga mengeluarkan susu yang banyak. Padahal sebelumnya unta tersebut tidak lagi mengeluarkan susu kerana terlalu tua. Kemudian Halimah Assa'diyah merasa haus dan berusaha untuk memerahnya. Setelah diminumnya ia tidak merasa kehausan lagi.
Suami Halimah Assa'diyah dapat merasakan bahawa kehadiran anak yatim tersebut membawa berkah yang tidak diduga-duga. Setelah itu berangkatlah Halimah Assa'diyah bersama suaminya dan Nabi Muhammad menuju ke kampung mereka. Di dalam perjalanan unta dan keldai yang tua tadi dapat berlari dengan kencang, sehingga kawan-kawan mereka ketinggalan di belakang. Padahal ketika pergi tadi unta dan keldai mereka yang laju dan terlebih dahulu sampai.
Setelah sampai di kampung halaman, kehidupan Halimah Assa'diyah dan keluarganya sentiasa merasakan kedamaian dan kegembiraan. Segala keperluan dan rezeki mereka dapat dengan mudah begitu juga kambing-kambing mereka menjadi gemuk dan banyak susunya sehingga sahabat-sahabat mereka di kampung itu menjadi hairan. Mereka berusaha mengikuti tempat makan kambing-kambing Halimah Assa'diyah namun kambing-kambing mereka tetap kurus kerana saat itu sedang musim kemarau.
Pada suatu hari Nabi Muhammad pergi bersama-sama dengan saudara susuannya untuk mengmbala kambing. Ketika sampai di tanah lapang, yang mana kambing-kambing sedang menikmati rumput-rumput yang hijau, maka datanglah dua orang yang berpakaian putih menghampiri Nabi Muhammad. Lalu Nabi Muhammad dibaringkan dan dibelah bahagian perut baginda.
Saudara sesusuannya berlari meninggalkan Nabi Muhammad untuk menemui ayah dan ibunya dan mengkhabarkan tentang apa yang dilihatnya. Halimah Assa'diyah dan suaminya pergi menemui Nabi Muhammad di tanah lapang tersebut, namun Nabi Muhammad dalam keadaan seperti sediakala. Dengan perasaan senang Halimah Assa'diyah memeluk Nabi Muhammad dan menciumnya sambil bertanya tentang apa yang telah terjadi ke atas diri Nabi Muhammad.
Nabi Muhammad pun menceritakan bahawa ada dua orang lelaki yang berpakaian putih menghampirinya dan membedah perutnya. Mereka membawa bekas yang diperbuat daripada emas da di dalamnya berisi air yang sangat sejuk. Mereka mengambil darah berwarna hitam dan membuangnya. Dua orang lelaki berpakaian putih itu berkata bahawa darah hitam itu adalah sarang syaitan. Lalu mereka membersihkan hati baginda dengan air yang sejuk itu, kemudian menutup perut baginda seperti semula. Mereka mencium dahi di antara dua mata baginda dan memeluk baginda. Akhirnya mereka pun pergi dan lenyap dari pandangan mata.
Halimah Assa'diyah betul-betul merasa hairan dengan berbagai keajaiban dan kelebihan yang dimiliki oleh Nabi Muhammad ketika masih kanak-kanak lagi. Menurut sangkaannya bahawa Nabi Muhammad akan berumur panjang dan akan menjadi seorang pemimpin besar yang berpengaruh. Siang malam ia memperhatikan tingkah laku Nabi Muhammad bagaikan anak kandungnya sendiri. Setelah itu ia merasa khuatir akan keselamatan Nabi Muhammad, akhirnya mereka berhajat untuk pergi ke kota Makkah menyerahkan Nabi Muhammad kepada bonda kandungnya Aminah.
No comments:
Post a Comment