Sunday, October 14, 2018

Bening betik dan kangkung

 BAHAN-BAHAN :
1 biji betik 3/4 masak saiz M
1 cekak sayur kangkung
sejemput ikan bilis
air separas betik
garam laut

DITUMBUK :
3 ulas bawang merah
sebesar ibu jari belacan
1 tangkai cili merah
1 cm kunyit hidup


CARA-CARA :
Masukkan betik ke dalam periuk dan tuangkan air separas dengan betik.
Masukkan juga bahan tumbuk dan ikan bilis.
Renihkan di atas api sederhana sehingga betik lembut.
Akhir sekali masukkan kangkung dan sedikit garam.
Setelah kangkung layu bolehlah dimatikan api dan dihidangkan.

Biasa-biasa je......

 Bila ada banyak sayur kangkung, saya gemar memasak bening dan meratahnya begitu sahaja.
Kebetulan ada lebihan betik...enak juga dicampur sekali.
Tidak perlu banyak lauk, cukup dilawankan dengan ikan pelaling goreng garing dan kerabu mangga dan tomato.
Sedapnya hingga menjilat siku..he..heee.

Bakwan jagung @ jemput2 jagung

 BAHAN-BAHAN :
2 tongkol jagung (sagat halus)
6 Tbsp tepung gandum unbleached
4 Tbsp tepung ubi
2 biji telur
secubit serbuk pati ayam
sedikit garam/gula
minyak untuk menggoreng terendam

DITUMBUK :
1 labu bawang besar saiz sederhana
4 ulas bawang putih
1/2 tsp lada putih


 CARA-CARA :
 Campurkan kesemua bahan di dalam mangkuk.
Gaul sebati.
Ketepikan.
Panaskan secukupnya minyak di dalam kuali.
Cuci tangan bersih-bersih dan masukkan sejemput demi sejemput adunan menggunakan hujung jari.
Goreng hingga kuning keemasan.
Toskan minyak dan enak dicicah bersama sos cili.

Saturday, October 13, 2018

Ayam goreng buku besar

BAHAN-BAHAN:
1/2 ekor ayam (potong 2)
1/2 Tbsp kunyit hidup kisar
1 Tbsp serbuk kari pedas BABA'S
1 tsp ketumbar biji (tumbuk)
 sedikit garam laut (tumbuk)
minyak goreng terendam


CARA-CARA :
Panaskan secukupnya minyak di dalam kuali.
Goreng ayam dengan api sederhana 17-25 minit @ sehingga masak.
Sedia dihidangkan bersama nasi @ pulut.

Friday, October 12, 2018

Kek cawan pandan

BAHAN-BAHAN :
210g tepung gandum
115g mentega
130g gula kastor
3 biji telur saiz A
1 1/2 tsp serbuk penaik
secubit garam bukit halus
60ml pati pandan (dari 10 helai pandan + sedikit air)
sedikit pewarna hijau


CARA-CARA :
Ayak tepung gandum bersama serbuk penaik.
Ketepikan.
Di dalam mangkuk pengadun, pukul mentega bersama gula halus sehingga putih.
Pecahkan telur sebiji demi sebiji dan pukul lagi sehingga kembang dan berkrim.
Masukkan garam dan tepung sesudu demi sesudu.
Tambahkan pati pandan dan sedikit pewarna hijau.
Kaup balik adunan dan masukkan ke dalam acuan kertas yang telah disusun ke dalam loyang cupcake.
Panaskan ketuhar 180'c selama 10 minit sebelum memasukkan kek.
Bakar kek sehingga masak bergantung kepada ketuhar masing-masing.

Thursday, October 11, 2018

Padprik ayam

 BAHAN-BAHAN :
2 ketul ayam (dadu)
1/3 biji kobis bunga (leraikan, rendam air garam)
1/2 batang lobak merah (hiris nipis)
5 putik jagung (hiris serong)
6 tangkai sweet pea (buang hujung)
1 tangkai cili merah (hiris)
1 biji tomato (belah 6) 
2 batang serai (ketuk)
4 ulas bawang putih (ketuk)
5 helai daun limau purut (carik)
1 Tbsp cili boh PUTERI
1 Tbsp sos tiram
2 Tbsp sos cili kimball
sedikit kicap manis
sedikit air
minyak untuk menumis


CARA-CARA :
Panaskan sedikit minyak di dalam kuali.
Tumis bawang putih sehingga wangi.
Masukkan cili boh dan serai, tumis sehingga hilang bau cili.
Kemudian masukkan ayam dan masak sehingga ayam kecut.
Masukkan pula bunga kobis, lobak merah dan juga putik jagung.
Tambahkan sos-sos dan tuangkan sedikit air.
Akhir sekali masukkan cili hiris, daun limau purut, tomato dan juga sweet pea.
Rasa dahulu kuahnya kerana sos-sos sudah masin.
Setelah sebati dan kuah pekat bolehlah dimatikan api.
Sedia dihidangkan bersama nasi putih @ nasi goreng kosong.


***Jika suka pedas bolehlah dimasukkan cili padi yang telah diketuk***

Wednesday, October 10, 2018

Daging goreng petai

 BAHAN-BAHAN :
400g daging (hiris nipis)
secukupnya air untuk merebus daging
1 tsp kunyit kisar
2 papan petai (belah 2)
1 labu bawang besar (hiris)
1 tangkai cili merah (hiris)
1 Tbsp sos tiram
sedikit kicap manis BANGO @ KIPAS UDANG
garam bukit & gula 
minyak untuk menumis


 CARA-CARA :
Panaskan sedikit minyak di dalam kuali.
Masukkan daging yang telah direbus bersama dengan kunyit kisar.
Kacau seketika.
Masukkan sos tiram, kicap, bawang dan juga cili hiris.
Perasakan dengan garam dan juga sedikit gula.
Akhir sekali tambahkan petai.
Matikan api dan sedia dihidangkan bersama nasi.

Monday, October 8, 2018

Ayam masak merah NaSya

 BAHAN-BAHAN :
7 ekor ayam saiz sederhana (potong 10)
3 biji bawang besar (hiris)
65g daun sup @ 2 pokok (ambil daun, hiris)
5 Tbsp sos tiram Lee Kum Kee
1 1/2 paket besar (paket 800g) cili boh PUTERI
1400ml sos cili Kimball
1/2 jag blender air untuk kuah
1 1/2 cawan gula @ secukup rasa
garam laut @ bukit secukup rasa
secukupnya minyak untuk menumis

DIKISAR :
1.4 kg bawang besar
280g halia
10 batang serai (hiris)
60g cili api
batang daun sup
1.4 kg tomato masak
***kisar sedikit-sedikit dengan air yang secukupnya sehingga hancur***


CARA-CARA :
Ayam dibasuh bersama cuka. Buang lemak dan bilas bersih-bersih sebanyak 3 kali.
Toskan dan lumur garam bersama serbuk kunyit.
Goreng ayam sehingga separuh masak.
Ambil secukupnya minyak dari sisa gorengan ayam.
Tumis bahan kisar sehingga wangi dan pecah minyak.
Masukkan cili boh dan 1/2 cawan gula.
Masak sehingga sambal terkaramel dan hilang bau cili.
Kemudian masukkan pula sos tiram dan juga sos cili.
Masak sehingga meletup-letup.
Tambahkan air untuk kuah dan masak sehingga mendidih.
Setelah itu, masukkan ayam goreng, bawang hiris dan juga daun sup.
Renih dengan api perlahan sehingga mencapai kepekatan yang diingini.
Perasakan dengan garam dan masukkan baki gula.
Kacau sebati dan bolehlah dimatikan api.

***Ayam masak merah saya agak berkuah kerana melayan permintaan daripada pelanggan (pelajar) yang suka kuah merah. Jika tidak suka berkuah bolehlah kurangkan bawang, tomato dan juga cili boh. Anda tidak perlu lagi memasukkan asam kerana cili boh Pu3 sudah mengandungi asam jawa dan garam.***

Tuesday, October 2, 2018

Asam pedas sawi jeruk

 BAHAN-BAHAN :
1 ekor ikan bawal emas saiz L (potong 4)
1/2 tsp halba
200g cili boh PUTERI
2 kuntum bunga kantan (belah 4)
5 helai daun limau purut (carik)
1 biji tomato (belah 6)
sedikit sawi jeruk 
2 keping asam gelugur
1/2 jag blender air @ secukupnya
garam laut/gula
minyak untuk menumis

DIKISAR :
2 labu bawang besar saiz M
1 ulas bawang putih
1 inci halia bentong
1 cm kunyit hidup
1/2 tsp lada hitam biji


CARA-CARA :
Panaskan secukupnya minyak di dalam periuk.
Tumis bahan kisar, halba dan juga cili boh sehingga harum dan pecah minyak.
Tuangkan air dan biarkan sehingga mendidih seketika.
Kemudian masukkan asam keping, bunga kantan, sawi jeruk dan juga ikan.
Masak sehingga ikan lembut.
Akhir sekali masukkan tomato dan juga daun limau purut.
Perasakan secukupnya dan tunggu hingga mendidih sekali lagi.
Matikan api dan sedia dinikmati bersama nasi @ dicicah bersama roti.

***Cili boh PUTERI sudah mengandungi asam dan juga garam. Rasa dahulu kuah sebelum menambahkan bahan perasa***

Wednesday, September 26, 2018

Brokoli bertelur

 BAHAN-BAHAN :
1 brokoli saiz sederhana
8 ulas bawang putih (cincang)
1 biji telur saiz kecil (pukul dengan garfu)
1 gelas air (250ml)
1/2 Tbsp tepung jagung
secubit serbuk pati ayam
sedikit serbuk lada sulah
garam bukit
minyak untuk menumis


 CARA-CARA :
Leraikan kelopak brokoli.
Hiris nipis batangnya.
Rendam keduanya ke dalam air garam sebentar dan ketepikan.
Sementara itu panaskan sedikit minyak di dalam kuali.
Tumis bawang putih hingga wangi.
Masukkan batang brokoli yang sudah dibilas.
Goreng sebentar.
Masukkan pula kelopak brokoli.
Gaul rata.
Tambahkan tepung jagung yang telah disebatikan dengan air.
Masukkan telur dan kacau sehingga bercampur.
Perasakan secukupnya dan sedia diangkat dan dihidangkan.

Monday, September 24, 2018

Ayam masak serai

 BAHAN-BAHAN :
1/2 ekor ayam (potong kecil)
1 cawan pati santan segar
1 labu bawang holland (hiris)
1 tangkai cili merah (hiris)
3 biji ubi kentang (potong bulat nipis)
1 keping asam gelugur
garam bukit/ gula
minyak untuk menumis

DIKISAR :
1 labu bawang besar saiz sederhana
4 ulas bawang putih
sebesar ibu jari belacan (jika suka)
5 batang serai



 CARA-CARA :
Panaskan sedikit minyak untuk menumis.
Tumis bahan kisar sehingga harum dan terbit minyak.
Masukkan ayam dan masak sehingga ayam kecut.
Kemudian tuangkan pati santan.
Gaul rata.
Masukkan pula kentang, asam keping dan biarkan merenih sehingga ayam dan kentang empuk.
Tambahkan bahan hiris dan perasakan secukupnya.
Matikan api dan sedia dihidangkan.

Sunday, September 23, 2018

Bubur sumsum

 BAHAN-BAHAN :
1/2 gelas tepung beras
 1/2 gelas santan KARA + 1 1/2 gelas air
1 helai daun pandan (simpul)
3/4 tsp garam bukit

KUAH :
1 ketul gula melaka
secukupnya air


CARA-CARA :
Masukkan tepung beras ke dalam periuk.
Tuangkan santan sedikit demi sedikit sambil dikacau supaya tidak bergentel.
Nyalakan api kecil.
Masukkan garam dan juga daun pandan.
Kacau selalu.
Masak sehingga adunan meletup-letup dan berkilat.
Buangkan daun pandan dan masak sehingga pekat.
Matikan api dan ketepikan.
Untuk menyediakan sirap gula melaka, didihkan gula melaka bersama air secukupnya.
Tapis air gula dan sedia digunakan.

***Bubur sumsum lebih enak dinikmati jika disinpan di dalam peti ais seketika***

Saturday, September 22, 2018

Gulai siput

 BAHAN-BAHAN :
1 kg siput sedut (buang hujung)
1 liter santan segar
1 batang serai (ketuk)
3 ulas bawang merah (tumbuk)
1 inci kunyit hidup (tumbuk)
5 helai daun kaduk (hiris)
garam laut


CARA-CARA :
Masukkan siput, bahan tumbuk, serai dan juga santan ke dalam periuk.
Didihkan di atas api sederhana dan kacau selalu agar santan tidak pecah minyak.
Masukkan daun kaduk yang telah dihiris dan perasakan dengan garam kasar.
Setelah agak sebati matikan api.
Sedia dinikmati.

Friday, September 21, 2018

Biasa-biasa je.....

 
 Lauk biasa-biasa...ayam masak serai, brokoli bertelur, ikan sepat ronggeng goreng, terung kukus air asam, gulai rebung segar dan juga sambal bajak.
Syukur dengan rezeki Allah SWT...

Indahnya bercucuk tanam


 
  





Asam pedas pari & cekur

BAHAN-BAHAN :
1/2 kg ikan pari
7 tangkai bendi (potong 2)
1 batang serai (ketuk)
1 biji tomato (belah 6)
3 Tbsp cili boh Puteri
1 batang bunga kantan (belah 2)
2 tangkai daun kesum
500ml air tapis
2 keping asam gelugur
minyak untuk menumis
secubit serbuk pati ayam
garam laut/ lada hitam kisar secukupnya

DIKISAR :
3 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
2 inci halia
2 inci cekur
1 cm belacan


CARA-CARA :
Panaskan minyak di dalam periuk dan tumis bahan kisar bersama serai dan cili boh sehingga wangi dan pecah minyak.
Kemudian tuangkan air dan masukkan bunga kantan.
Biarkan sehingga mendidih.
Masukkan pula ikan bersama daun kesum dan asam keping.
Masak lagi sehingga ikan lembut.
Kemudian tambahkan tomato, bendi dan perasakan secukupnya.
Setelah sebati bolehlah dimatikan api dan sedia dinikmati bersama nasi, ulaman dan ikan masin.



Saturday, September 1, 2018

Sambal tempe rangup

 BAHAN-BAHAN :
700g tempe (hiris nipis, potong kecil & goreng garing)
100g badam berkulit (goreng garing)
2 genggam ikan bilis (basuh, goreng garing)
7 Tbsp cili boh Puteri
10 Tbsp gula pasir, 1 tsp garam bukit
minyak untuk menumis


CARA-CARA :
Panaskan minyak dan tumis cili boh bersama gula sehingga keluar minyak.
Masukkan garam dan juga sambal bawang.
Gaul rata.
Matikan api dan sejukkan sambal semalaman.
Campurkan tempe, ikan bilis dan juga badam di dalam dulang @ mangkuk besar.
Curahkan sambal sedikit demi sedikit sambil di gaul rata.
Pastikan sambal kering dan tidak basah supaya tidak lemau.
Ketepikan lebihan sambal.
Masukkan sambal tempe ke dalam balang dan enak dinikmati sebagai kudap-kudap.


Thursday, August 30, 2018

Sambal cili bawang

 
BAHAN-BAHAN :
180g cili api merah
180g bawang Holland
1 labu bawang putih
30g gula melaka
2 1/4 tsp garam bukit
1 cawan minyak untuk menumis

CARA-CARA :
Tumbuk @ kisar kasar cili api bersama bawang besar dan juga bawang putih.
Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga wangi.
Masukkan gula melaka dan juga garam secukup rasa.
Matikan api dan simpan sambal di dalam balang untuk digunakan kemudian @ bolehlah dinikmati bersama nasi dan juga lauk-pauk goreng.


Sup petola mi suah

BAHAN-BAHAN :
500g petola
1 bungkus mi suah (125g)
15 biji bebola ikan (belah 2)
3 ulas bawang putih (hiris)
1/2 labu bawang besar (hiris)
1 tsp lada hitam (tumbuk)
1 Tbsp sos tiram
garam bukit
1 liter air tapis

CARA-CARA :
Rebus air bersama lada hitam dan bawang hiris.
Masak sehingga mendidih.
Kemudian masukkan petola, bebola ikan dan juga sos tiram.
Masak sehingga petola empuk.
Perasakan secukupnya.
Akhir sekali barulah masukkan mi suah.
Matikan api dan hidangkan segera.

Wednesday, August 29, 2018

Sambal udang

 BAHAN-BAHAN :
6 ekor udang XXL
1 papan petai (belah 2)
1 biji tomato (baji)
1/2 Tbsp bunga kantan kisar
1 Tbsp sos cili kimball
1 Tbsp sos tiram Lee kum kee
garam bukit/gula secukupnya
minyak untuk menumis

DIKISAR :
10 tangkai cili kering (rendam)
1 labu bawang besar (kecil)
sebesar ibu jari belacan


 CARA-CARA :
Bersihkan udang dengan membuang urat tengah, ketepikan.
Panaskan secukupnya minyak di dalam kuali dan tumis bahan kisar sehingga wangi dan pecah minyak.
Masukkan bunga kantan, sos cili dan juga sos tiram.
Masak sehingga sebati.
Kemudian masukkan udang yang telah dibersihkan.
Masak sehingga udang kecut.
Tambahkan tomato, petai, garam dan juga gula secukup rasa.
Gaul rata dan bolehlah dimatikan api.
Enak dihidangkan bersama nasi.