Ada seorang ulama yang terkenal dengan kemuliaan sifatnya dan keluhuran budi pekertinya hingga masyarakat kagum kepadanya. Dia hampir tidak pernah meninggalkan solat jemaah di masjid, malah dia yang selalu menjadi imam.
Pada suatu hari, ulama itu ingin pergi ke Mekah bagi melakukan tawaf di Masjidil Haram. Namun entah mengapa ibunya tidak mengizinkan dia pergi tanpa sebarang alasan. Larangan ibunya itu menjadikan dia murung dan dia bertekad hendak pergi juga. Ibunya kecewa dengan tindakannya itu dan dia berdoa kepada Allah, "Wahai Tuhanku, anakku membakar hatiku dengan api perpisahan. Kau timpakanlah balasan ke atasnya!"
Dalam perjalanannya ke Mekah, ulama itu singgah di sebuh masjid menunaikan solat isyak. Pada malam itu juga, sebuah rumah yang terletak berdekatan dengan masjid itu dimasuki pencuri. Tuan rumah yang menyedari kedatangan pencuri itu meminta tolong.
Orang kampung yang mendengar jeritan itu segera menuju ke rumah tadi. Pencuri yang turut mendengar jeritan tuan rumah terus keluar dari rumah itu dan lari menuju ke masjid. Orang kampung mengikut jejaknya dan akhirnya mereka tiba di masjid. Apabila mereka masuk ke dalam masjid, mereka lihat cuma ada seorang lelaki di dalam masjid itu dan lelaki itu sedang solat. Tanpa usul periksa, mereka menangkap lelaki itu dan membawanya ke pihak berkuasa. Lelaki itu sebenarnya adalah ulama tadi yang singgah bagi menunaikan solat di masjid itu.
Sementara itu, pencuri yang sebenarnya berasa lega kerana terlepas dari ditangkap. Ulama itu dibawa ke hadapan hakim yang memerintahkan kedua-dua belah tangan dan kakinya dipotong serta matanya dicungkil. Apabila hukuman itu dilaksanakan, hakim berseru, "inilah balasan bagi orang yang mencuri!"
Ulama itu berkata, "jangan berkata seperti itu. Aku bukanlah seorang pencuri. Inilah balasanku yang hendakpergi ke Mekah tanpa restu ibuku!"
Orang ramai tersentak mendengar kata-katanya. Barulah mereka sedar orang yang mereka tangkap itu sebenarnya adalah seorang ulama yang terkenal. Mereka sedih dan menangis serta menyesali perbuatan mereka. Mereka memohon ulama itu mengampunkan perbuatan mereka yang terburu-buru.
Selepas itu, mereka dengan segera membawanya dan mengembalikannya ke rumah ibunya. Mereka meletakkannya di hadapan pintu rumah. Pada waktu itu, ibunya sedang bermunajat kepada Allah, "Ya Allah, sekiranya engkau menurunkan musibah ke atas anakku, kembalikanlah dia kepadaku supaya aku dapat melihatnya!"
Doa ibunya terhenti apabila dia mendengar satu suara dari hadapan pintu rumahnya, "Aku adalah seorang musafir yang lapar, tolonglah berikan aku sedikit makanan."
Ibunya berkata, "Masuklah engkau ke dalam rumah."
Ulama itu berkata, "Aku tidak mempunyai kaki bagi berjalan."
"Hulurkanlah tanganmu," kata ibunya lagi.
"Aku tidak mempunyai tangan," jawab ulama itu.
"Sekiranya aku menyuapkan makanan ke mulutmu, terjadilah perbuatan haram antara kita," sahut ibunya.
Ulama itu menjawab,"Jangan takut kerana aku tidak mempunyai mata."
Ibunya pun mengambil sepotong roti lalu menyuapkan roti itu ke dalam mulutnya. Pada waktu itu, ulama itu menyedari wanita itu adalah ibunya. Dia meletakkan wajahnya pada kaki ibunya dan berkata, "Aku adalah anak ibu yang derhaka!"
Ibunya terkejut bukan kepalang melihatkan orang yang kudung kedua-dua belah kaki dan tangan serta mata tercungkil itu adalah anaknya. Dengan air mata bercucuran, dia berdoa, "Ya Allah, sekiranya beginilah keadaan anakku, maka cabutlah rohku dan roh anakku hingga tidak ada orang yang tahu penderitaan kami."
Dengan segera, Allah memerintahkan malaikat Izrail menjemput roh mereka. Allah yang maha bijaksana menunjukkan tanda-tanda kebesaranNya di muka bumi sebagai pengajaran kepada manusia. Kisah di atas menunjukkan keredaan ataupun restu seorang ibu adalah kunci kejayaan hidup kita di dunia dan akhirat.
Bersyukurlah kita sekiranya kita masih memiliki ibu. Kita masih sempat memohon maaf daripadanya atas segala kesalahan kita dan memohon restu atas apa sahaja yang kita lakukan.
Kisah itu dipetik daripada kitab DURAAT AL-NASHIHIIN.
No comments:
Post a Comment