Tuesday, July 19, 2011

Masak lemak kobis dan tauge

BAHAN-BAHAN :

  • 1/4 biji kobis (dipotong)
  • 1 cwn udang
  • 1 cawan tauge
  • 1 biji cili merah (hiris)
  • 4 ulas bawang merah + 1 ulas bawang putih + 1 cm belacan (ditumbuk)
  • garam secukup rasa
  • santan dari sebiji kelapa
CARA-CARA :

  • Semua bahan dimasukkan sekaligus di dalam periuk kecuali tauge.
  • Setelah mendidih barulah dimasukkan tauge dan garam. Biarkan sebentar dan bolehlah dihidangkan bersama ikan goreng  dan juga budu.

Cencaru goreng sambal

BAHAN-BAHAN :

  • 4 ekor  ikan cencaru (sapu garam kunyit & goreng)
  • 23 biji cili kering (direbus & kisar)
  • 1 ulas bawang besar + 2 ulas bawang putih + 2 cm belacan (kisar)
  • 1 keping asam gelugur
  • sedikit cili sos
  • garam dan gula secukup rasa
  • minyak untuk menumis
CARA-CARA :

  • Panaskan minyak, tumis bawang hingga wangi. Masukkan pes cili kisar dan gula. Masak hingga cili pecah minyak. Tambahkan asam keping, sedikit air, cili sos dan garam secukup rasa.
  • Setelah sambal sebati masukkan ikan yang telah digoreng. Balik-balikkan supaya ikan bercampur dengan sambal. Sedia untuk dihidangkan.

Sunday, July 17, 2011

LIMA GANJARAN MEREKA YANG TAAT SOLAT

ALLAH s.w.t. berfirman yang bermaksud :
"Sesiapa yang sentiasa menunaikan solat akan diberi ganjaran dengan lima cara iaitu":

  1. Pertama, dimurahkan rezekinya.
  2. Kedua, terlepas daripada seksaan kubur.
  3. Ketiga, di Hari Pembalasan, kiraan amalan dosa dan pahalanya diberatkan di sebelah kanan.
  4. Keempat, mereka akan melintasi jambatan ke syurga dengan sekelip mata.
  5. Kelima, terkecuali dari kiraan amalan.
     Manakala sesiapa yang meninggalkan solat akan dikenakan seksaan dengan 14 cara iaitu lima seksaan di dunia, tiga ketika hendak mati, tiga seksaan di dalam kubur dan tiga seksaan ketika dibangkitkan semula daripada kubur.
Lima seksaan di dunia ialah :

  1. Pertama, hidupnya tidak diberkati dan tidak dimurahkan rezeki.
  2. Kedua, tidak ada cahaya keimanan di mukanya.
  3. Ketiga, semua ganjaran bagi amalan baik dimansuhkan.
  4. Keempat, permintaannya tidak dimakbulkan.
  5. Kelima, tidak berhak daripada diingati oleh orang alim dalam doanya.
Tiga seksaan ketika hendak mati ialah :

  1. Pertama, matinya dalam keadaan yang memalukan.
  2. Kedua, mati dalam serba kekurangan.
  3. Ketiga, menderita kerana tersangat dahaga sehinggakan air seluruh lautan tidak dapat menghilangkannya.
Tiga seksaan dalam kubur ialah :

  1. Pertama, kubur menjadi sempit dan menghimpit tulang dadanya sehingga pecah dan berkecai.
  2. Kedua, disediakan api di dalam kuburnya.
  3. Ketiga, ular dihantar bagi menyiksa si mati. Bentuk ular itu sangat dahsyat. Matanya seperti bola api, kukunya diperbuat daripada besi yang panjangnya memakan masa sehari untuk sampai ke hujungnya. Suaranya bagaikan halilintar. Ular itu berkata :"Aku diperintahkan oleh Tuhan untuk menggigit kau sehingga matahari terbit kerana kau tertinggal solat subuh, menggigit hingga tengahari kerana kau tidak solat zuhur, menggigit lagi hingga petang kerana kau tidak solat asar, menggigit hingga senja kerana kau tidak solat maghrib, menggigit kau hingga malam kerana kau tidak solat isyak dan berterusan hingga ke pagi esoknya."Seksaan itu akan berterusan hingga ke Hari Pembalasan.
Selepas dihidupkan kembali daripada kubur, si mati akan menderita akibat tiga seksaan iaitu :

  1. Pertama, segala amalannya akan dikira dengan teliti.
  2. Kedua, kemurkaan ALLAH s.w.t. yang Maha Adil ke atasnya.
  3. Ketiga, dia akan dicampakkan ke dalam neraka.
Seksaan lain ialah tiga potong ayat akan ditampalkan di mukanya iaitu :

  1. Pertama, Wahai orang yang mencuaikan suruhan Tuhan Maha Kuasa.
  2. Kedua, Wahai orang yang menjadi tumpuan kemurkaan Tuhan.
  3. Ketiga, Kerana kau melalaikan suruhan Tuhan ketika di dunia, jadi kau dilucutkan daripada menerima rahmat Tuhan.
(Maza Ba'da Qiyamuka)

CERITA PENGEMIS DAN ISTERI CANTIK

     Pada suatu hari, ketika sepasang suami isteri duduk makan di ruang tamu, datang seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka.
     "Tolonglah Encik, saya lapar, sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi." Dengan muka bengis, si suami dengan menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu.
     Dalam hatinya berkata "Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain tetapi untuk diri dan keluargaku."
Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah.
     Beberapa ahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus menceraikan isterinya kerana tidak mahu isterinya turut menderita sepertinya. Setahun kemudian, isteri yang masih cantik itu berkahwin pula dengan lelaki lain.
     Pada suatu hari, sedang si isteri dan suami barunya mengadap makanan, tiba-tiba seorang pengemis mengetuk pintu sambil meminta belas kasihan. Mendengar rayuan pengemis itu, si suami menyuruh isterinya menghidangkan sepinggan nasi berlaukkan seperti apa yang mereka makan.
     Setelah memberi sepinggan nasi kepada pengemis, si isteri menangkup muka sambil menangis. Si isteri mengadu si pengemis itu sebenarnya adalah bekas suaminya yang dulu pernah menengking seorang pengemis.
     Suami yang baru itu menjawab dengan tenang :"Demi ALLAH, sebenarnya akulah pengemis yang dihalau dan ditengking dulu!".
Cerita ini memberi pengajaran bahawa hidup kita seperti putaran roda dan tidak selalunya di atas. Ada masa dan ketikanya kita akan turun ke bawah dan naik semula atau sebaliknya.
     Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :"Sedekah itu dapat menutup tujuh puluh ribu kejahatan".
     Anas Malik pula meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. ada bersabda yang bermaksud :
     "Barang siapa yang mempunyai harta, maka bersedekahlah dengan kekayaanmu, barang siapa yang mempunyai ilmu, maka bersedekahlah dengan ilmunya dan barang siapa yang mempunyai tenaga, bersedekahlah dengan tenaganya".

Saturday, July 16, 2011

Asam pedas tenggiri gaya NaSya

BAHAN-BAHAN :

  • 5 ketul ikan tenggiri
  • segenggam cili kering (direbus dan kisar)
  • segenggam bawang merah + 4 ulas bawang putih + 1 inci halia + 1 inci kunyit + 1 cm belacan (dikisar)
  • segenggam asam jawa (diramas bersama air, perahan pertama sahaja)
  • air secukupnya untuk kuah
  • 1/2 sdb stok ikan bilis
  • sedikit garam dan serbuk perasa
  • 1 sdk lada hitam (tumbuk) jika suka
  • segenggam daun kesum
  • 4 helai daun limau purut
  • 6 biji tomato ceri (belah 2)
  • bendi dan terung secukupnya
  • minyak untuk menumis
CARA-CARA :

  • Panaskan minyak, tumis bahan kisar hingga wangi dan pecah minyak. Masukkan air asam dan juga air secukupnya. Biar mendidih.
  • Masukkan bahan perasa, lada hitam dan juga ikan. Tambahkan sayur-sayuran, daun kesum, daun limau dan juga tomato. Masak lagi hingga ikan empuk dan kuah sebati.
  • Bolehlah diangkat dan dihidangkan bersama nasi panas, ulam-ulaman, sambal belacan dan juga ikan masin.
  • Selamat mencuba. 

Bihun sup

BAHAN-BAHAN :

  • 1/2 paket bihun (dicelur)
  • 1/2 kg ayam (potong kecil)
  • 300 gm daging yang telah direbus & dihiris nipis
  • air rebusan daging secukupnya
  • 1 bungkus sup bunjut mak siti
  • sedikit kulit kayu manis, cengkih, bunga lawang
  • 6 ulas bawang merah, 6 ulas bawang putih, 4 inci halia (dimayang)
  • 1/2 sdb @ lebih lada hitam (ditumbuk)
  • garam dan serbuk stok ayam secukupnya
  • 2 ketul tauhu (digoreng)
  • lobak asin secukupnya (potong kecil)
  • daun sup, cili merah dan daun bawang (dihiris)
  • minyak untuk menumis
CARA-CARA :

  • Panaskan minyak, tumis bahan yang dimayang dan juga rempah tumis hingga garing. Masukkan ayam dan masak hingga daging ayam kecut. Tambahkan stok dan sup bunjut serta daging, renihkan di atas api sederhana.
  • Setelah mendidih masukkan lada hitam, garam dan juga serbuk pati ayam.
  • Bolehlah dihidangkan bersama bahan sampingan dan juga sambal kicap.

Mi hailam simple

BAHAN-BAHAN :

  • 1 biji bawang besar (sederhana) + 4 ulas bawang putih + sedikit halia (dikisar)
  • 1 sdb cili kisar
  • 1 mangkuk daging yang telah direbus
  • 1 mangkuk isi ayam yang dipotong kecil
  •  sedikit udang & sotong
  • daun kobis cina secukupnya (potong kecil)
  • 6 biji tomato ceri (belah 2)
  • cili sos, sos tomato, sos tiram dan kicap manis secukupnya
  • garam & serbuk lada putih secukupnya
  • sedikit tepung jagung (dibancuh dengan sedikit air)
  • air rebusan daging
  • minyak untuk menumis
  • 1/2 kg mi kuning (dibasuh dan dicelur)
  • sedikit daun sup, daun bawang dan hirisan limau nipis
CARA-CARA :

  • Panaskan minyak, tumis bahan kisar dan cili hingga wangi dan garing. Masukkan ayam, sotong, udang dan daging. Masak hingga ayam kecut.
  • Tambahkan sos-sos, air rebusan dan juga kobis. Kacau rata dan biarkan mendidih. Setelah itu, bolehlah masukkan garam, lada putih dan juga bancuhan tepung jagung. Jika suka boleh pecahkan telur di dalam kuah tetapi jangan dikacau supaya telur tidak hancur. Sebelum diangkat masukkan tomato yang telah dibelah dua. Sedia dihidangkan. 

Luahan Hatiku




Assalamualaikum. Pekabor? benda nie sebenarnyer dah lama jadik tapi sajer laa nak citer kan sebab rasa xpuas ati ni xilang-ilang lagi. Masih bersarang......
Kalau tuan puan selalu beli beger ikan, kalau bole sebelum kasi anak-anak makan tu check la dulu..bukan pa takut tocokik tulang haa...kesian Nabil...masa tu dah nak telan...nasib baik sempat luah balik. Kalu x tatau la pa jadik. Masuk spital la agaknyer...bukan tulang kecik tau..besor cam tulang ikan talapia pun ade. Dah buat repot kat pengguna tapi xde pa ponn...
Itu la saja nak citer. SEKIAN MAKASIH.

Tuesday, July 12, 2011

PILIHLAH NAMA YANG BAIK

     Nama mempunyai kesan psikologi ke atas peribadi seseorang individu. Keseluruhan peribadinya bangun di bawah bayangan makna dan pengaruh namanya. Lagipun sudah jelas, kita sukakan nama yang mempunyai bunyi yang menarik dan makna yang sedap.
Jadi kita mestilah berhati-hati ketika memberikan nama kepada anak-anak kita. Kita perlu memberikan mereka nama yang manis, pendek dan bermakna yang senang difahami dan dinilai.
     Rasulullah s.a.w. memberikan penekanan ke atas nama. Baginda menasihatkan umatnya supaya memberikan nama yang bagus dan bermakna kepada anak-anak mereka.
Baginda selalu mencadangkan nama yang baik dan bermakna untuk mereka. Baginda tidak akan meminta orang itu memberikan nama yang buruk. Baginda suka dengan orang yang mempunyai nama yang baik, dan berdoa untuk mereka.
Rasulullah s.a.w. gemar mendengar nama seperti Najeeh (yang berjaya) atau Rashid (yang mendapat petunjuk).
     Baginda juga banyak menukar nama lelaki dan perempuan yang dianggap tidak baik. Diriwayatkan, bahawa jika mereka tidak menukar nama seperti yang dicadangkan oleh Rasulullah s.a.w. orang itu sentiasa dalam kesusahan.
Apabila memilih nama bagi anak-anak, perhatian hendaklah diberi kepada perkara-perkara berikut :
     Ia seharusnya mengandungi salah satu dari nama ALLAH dan dimulakan dengan perkataan yang menunjukkan ketaatan kepadaNya. Contohnya, Abdullah, Abdul Rahman, Abdul Ghaffar.
Ia seharusnya dipilih daripada nama-nama Nabi seperti Yaakub, Yusuf, Idris, Ahmad, Ismail atau Muhammad.  Ia seharusnya diambil daripada nama-nama orang alim seperti Umar, Farook, Siddiq, Khalid, Ali, Usman, Khadija, Hajira, Maryam, Ummi Salamah.
     Ia sepatutnya mencerminkan nilai islam dan pemikiran ibu bapanya. Contohnya, pada ketika islam sedang mundur sekarang, anak-anak patut diberi nama seperti Tariq atau Sallahuddin dengan harapan anak itu akan menjadi seperti pahlawan-pahlawan yang pernah bernama begitu.
     Nama itu seharusnya menunjukkan perangai yang elok seperti Said (bernasib baik dan taat), Shafiq (baik hati) atau Sharif (mulia).
     Berikut pula ialah nama-nama yang seboleh-bolehnya dielakkan untuk anak-anak kita, ia melanggar ajaran islam seperti Abdul Rasul (hamba rasul).
Ia menunjukkan amalan yang tidak baik seperti sombong, kasar atau kebencian. Ia mengandungi  idea-idea dan pengaruh bukan islam seperti Johnny atau Robert.
Ia mengandungi makna tidak baik seperti Aasia (pembuat dosa), (pembakar) dan Harb (perang). Ia merendahkan martabat dan memalukan.
     Nama-nama seperti Shahan Shah, Malukul Mulk (maharaja) adalah nama yang paling buruk.
Rasulullah s.a.w. bersabda :
     "Kamu akan dipanggil dengan nama kamu dan nama bapa kamu. Jadi berikanlah nama yang baik (Kepada  anak-anak kamu)."

(HR Abu Daud)

Sunday, July 10, 2011

Ayam panggang montreal

BAHAN-BAHAN :

  • 4 ketul peha ayam
  • sedikit serbuk paprika
  • sedikit montreal chicken seasoning
  • olive oil
  • sedikit garam
  • karot & kentang secukupnya (direbus separuh masak)
  • **********ayam diperap bersama bahan-bahan di atas kemudian dipanggang bersama kentang dan karot. Sajikan bersama sos pilihan************

Tumis sawi dan udang

BAHAN-BAHAN :

  • 1 ikat sawi bunga
  • 1 mangkuk kecil udang
  • 4 biji tomato ceri (belah 2)
  • 1 biji cili merah (hiris)
  • 2 ulas bawang merah +  2 ulas bawang putih (hiris)
  • sedikit garam 
  • minyak untuk menumis
CARA-CARA :
  • Panaskan minyak, tumis bawang yang dihiris, masukkan udang. Masak hingga udang kecut kemudian masukkan sawi, cili merah, tomato dan garam.
  • Hidangkan segera.

Lala rebus

BAHAN-BAHAN :

  • 1 kg lala (cuci bersih)
  • 4 batang serai (titik)
  • 2 ulas bawang merah + 1 ulas bawang putih (mayang)
  • sedikit garam
  • air sekadar menutupi lala
CARA-CARA :

  • Lala direbus bersama bahan-bahan di atas. Sedia dihidangkan. 

Sayur manis bayam

BAHAN-BAHAN :

  • 2 biji keledek (potong besar)
  • 1 ikat bayam
  • 1 batang rebung (tin)
  • segenggam ikan bilis (tumbuk)
  • 2 ulas bawang merah + 1 ulas bawang putih (tumbuk)
  • 1/2 biji cili merah (hiris)
  • air secukupnya
  • garam secukup rasa
CARA-CARA :

  • Rebus keledek hingga empuk kemudian masukkan bahan tumbuk dan bahan-bahan lain. Renihkan di atas api yang sederhana. Bolehlah diangkat dan dihidangkan.

Ikan goreng cencaluk dan petai

BAHAN-BAHAN :

  • 3 ekor ikan cencaru (sapu garam kunyit & goreng)
  • 3 ulas bawang putih + 1 biji bawang besar (kecil) +  1 cm halia + 2 cili hijau + 2 cili merah + segenggam cili api (kisar)
  • 2 sdb cencaluk
  • 2 papan isi petai
  • 1/2 biji bawang besar (mayang)
  • garam dan gula secukup rasa
  • jus limau kasturi secukupnya
  • minyak untuk menumis
CARA-CARA :

  • Tumis bahan kisar hingga wangi dan garing. Masukkan cencaluk, bawang yang dimayang dan juga bahan perasa. Setelah sebati masukkan isi petai. Kacau rata.
  • Masukkan ikan yang telah digoreng, balik-balikkan supaya ikan bersalut dengan sambal. Sebelum diangkat perahkan jus limau kasturi secukupnya. Sedia dihidangkan.

Ayam kicap Nabil

BAHAN-BAHAN :

  • 6 ketul ayam goreng kunyit
  • 1 cm halia + 4 ulas bawang putih + 1/2 biji bawang besar (hiris)
  • kicap manis ABC & sos tomato secukupnya
  • sedikit lada sulah
  • sedikit air
  • cili merah + d.sup + d. bawang (hiris)
  • minyak untuk menumis
CARA-CARA :

  • Tumis halia dan bawang hingga garing, masukkan ayam goreng dan sos. Kacau rata. Tambahkan sedikit air . Sebelum diangkat masukkan cili hiris dan lada sulah. Hiaskan dengan hirisan daun sup dan daun bawang.

Kurma kambing

BAHAN-BAHAN :

  • 1 kg daging kambing bercampur tulang (rebus empuk, buang air rebusan)
  • 5 ulas bawang merah + 2 ulas bawang putih + 5 inci halia (tumbuk)
  • 3 batang serai (titik)
  • 2 helai daun pandan (simpul)
  • sedikit kulit kayu manis, pelaga, cengkih dan bunga lawang
  • 4 sdb rempah kurma
  • 1/2 sdb kerisek
  • santan secukupnya
  • kentang dan karot (potong-potong)
  • 4 biji cili hijau (belah 2)
  • 1 biji bawang bombay (belah 4)
  • sedikit minyak sapi dan minyak masak untuk menumis
  • garam dan gula secukup rasa
  • 2 asam keping
CARA-CARA :

  • Panaskan minyak sapi dan minyak masak, tumis rempah tumis hingga naik bau. Masukkan daun pandan, serai dan juga bahan tumbuk. Masak hingga wangi. Kemudian tambahkan rempah kurma dan masak lagi hingga rempah betul-betul garing.
  • Masukkan daging kambing, kentang dan juga karot. Kacau rata. Masukkan santan dan masak hingga mendidih. Setelah itu, masukkan asam keping, cili hijau, bawang  dan juga kerisek. Masak lagi hingga kentang empuk. Jangan lupa untuk memasukkan garam dan gula secukup rasa.
  • Setelah sebati, bolehlah diangkat dan dihidangkan.

Thursday, July 7, 2011

TANDA AMAL TIDAK DITERIMA ALLAH

     Siapa yang melakukan empat macam kemudian ia tidak bertambah baik, maka itu tanda tidak diterima amalnya.

  • Siapa yang berjihad, kemudian ia kembali tidak bertambah kebaikan, maka itu tanda jihadnya tidak diterima oleh ALLAH.
  • Orang yang berpuasa di bulan Ramadhan, kemudian tidak bertambah kebaikan, itu tandanya puasanya tidak diterima.
  • Orang yang naik haji kemudian tidak tambah amal kebaikannya, maka itu tanda tidak diterima amalan hajinya.
  • Orang yang sakit lalu sesudah sembuh tidak bertambah baik amal perbuatannya, maka itu tanda bahawa dosa-dosanya belum ditebus.
Seorang hakim berkata :
Siapa yang  mengaku tiga perkara di bawah, maka dia ditertawakan syaitan :

  • Siapa yang  mengaku dapat merasa manisnya taat, padahal dia cinta pada dunia.
  • Siapa yang mengaku reda pada ALLAH s.w.t. padahal dia tidak membenci hawa nafsunya.
  • Siapa yang mengaku ikhlas padahal dia ingin dipuji orang.
Tanda seseorang itu telah tertipu ada tiga :

  • Mengumpulkan apa yang tidak berguna baginya.
  • Bertambah-tambah dosanya sehingga membinasakannya.
  • Meninggalkan amal yang dapat menyelamatkannya.
Dan tanda orang yang mengharap kepada ALLAH s.w.t. itu juga tiga :

  • Hatinya digunakan untuk berzikir (mengingat ALLAH).
  • Lidahnya untuk berzikir.
  • Badannya untuk beramal.

LELAKI YANG FAHAM BAHASA HAIWAN

RUMI pernah bercerita :
     Ada seorang lelaki yang memiliki beberapa ekor binatang ternakan, dan apabila dia mendengar bahawa Musa faham bahasa binatang, dia merayu Musa supaya mengajar ilmu itu kepadanya.
Setelah belajar, lelaki itu menggunakannya untuk memahami perbualan binatang ternakannya. Dia mendengar ayam jantan berkata kepada kuda, bahawa kuda akan mati tidak lama lagi. Lelaki itu segera menjual kudanya untuk mengelakkan kerugian.
     Beberapa ketika kemudian, dengan menggunakan ilmunya lelaki itu terdengar ayam jantan memberitahu anjing bahawa tidak lama lagi keldai akan mati. Jadi untuk mengelakkan kerugian, lelaki itu menjual keldainya.
Selepas peristiwa itu, sekali lagi ayam jantan berkata-kata dengan binatang yang lain.
Kata ayam jantan, hamba kepada lelaki itu akan mati tidak lama lagi. Dengan senang hati lelaki itu menjual hambanya supaya dapat mengelakan kerugian. Dia gembira dengan tindakannya dan menganggap inilah nilai ilmu yang ada padanya - untuk membantunya menguruskan kehidupan hariannya.
     Suatu hari, lelaki itu terdengar pula ayam itu berkata kepada anjing bahawa dia - tuan mereka, pula akan mati. Dalam ketakutan lelaki itu pergi menemui Musa dan meminta nasihat.
Kata Musa :"Sekarang anda boleh pergi jual diri anda pula."
Fahamilah ajaran cerita ini : Bahawa kebolehan memahami orang lain tidak berfaedah bagi mengisi keperluan kita yang paling besar - diri kita sendiri.
Anis Ahmad ibn al-Alawi

Wednesday, July 6, 2011

10 AMALAN PEMAKANAN YANG BAIK

  1. Kunyahlah makanan dengan perlahan. Ini membuatkan perut anda lebih bersedia menerima makanan dengan baik serta membantu pemprosesan penghadaman perut dengan baik.
  2. Duduklah ketika makan. Ini dapat membantu anda menumpukan perhatian semasa makan dan anda seronok menikmatinya.
  3. Simpan makanan jauh dari mata. Seeloknya, jauhkan makanan-makanan dngan menyimpan di tempat yang tertutup agar ia tidak kelihatan. Jika tidak, anda mungkin akan terliur untuk makan biarpun pada masa itu anda tidak lapar!
  4. Gunakan pinggan kecil. Jika anda mengambil makanan dengan menggunakan pinggan kecil, ia dapat membataskan pengambilan makanan yang terlalu banyak. Dengan ini anda akan lebih berhati-hati dan memilih makanan yang betul-betul perlu.
  5. Tumpukan pada makanan ketika makan. Jangan pula sambil membaca, menonton televisyen, menulis atau berborak di telefon kerana sikap ini membuatkan anda tidak sedar anda telah makan terlalu banyak.
  6. Tertekan atau tercabar? jangan mulakan diet mengejut dengan memberhentikan terus rutin pemakanan seharian anda kerana masalah lain akan timbul pula.
  7. Jangan pula makan melompat-lompat. Kelakar bunyinya, tapi pastikan anda mengambil makanan pada waktu makan seperti sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam yang sepatutnya ! Anda akan lebih mengalami berat badan jika hanya makan pagi, tidak makan tengahari tetapi akan mengambil makan malam yang lebih. 
  8. Kemas dan simpan makanan. Bersihkan meja makan selepas makan dan simpan supaya anda dan anak tidak adapeluang mengambil dan meratah lagi makanan yang tidak perlu waktu anda tidak terasa lapar !
  9. Sibukkan diri. Jika anda betul-betul sibuk dengan kerja, masa makan anda juga terbatas dan anda tidak akan makan dengan berlebihan.
  10. Berhenti dari berfikiran negatif. Jangan rasa bersalah pada diri. Nikmatilah hidup sihat dengan amalan pemakanan yang sihat. Fikirkanlah suatu hari satu masa supaya anda tidak menyesal.

Tuesday, July 5, 2011

PERSAMAAN MANUSIA DENGAN ALAM

     Dikatakan bahawa susunan falak dan buruj adalah seperti susunan manusia. Sebagaimana falak dibahagi menjadi dua belas buruj, maka manusia juga mempunyai dua belas lubang ; iaitu dua lubang telinga, dua lubang hidung, dua lubang mata, dua lubang jalan kotoran, dua buah dada, satu mulut dan satu pusat. Enam buruj dari sebelah utara dan enam buruj lagi dari sebelah selatan.
     Demikian juga pada manusia enam lubang ada di sebelah kiri dan enam lubang ada di sebelah kanan. Apabila dalam falak ada tujuh bintang, akan dalam tubuh manusia juga ada tujuh kekuatan. Iaitu pendengaran, penglihatan, perciuman, perasaan, penyentuhan, pemikiran dan pembicaraan.
Kerana itu maka gerak manusia adalah gerak daripada  bintang-bintang. Lahirmu seperti terbitnya dan matimu seperti matinya. Ini adalah perumpamaan dengan alam raya yang ada di atas.
     Ada pula perumpamaan dengan alam bawah, maka jasadmu seperti bumi, dan tulang mu seperti gunung, otakmu seperti lombong, keringatmu seperti parit-parit, dagingmu seperti debu, rambutmu seperti pohon-pohon, mukamu seperti Masyrik (timur), punggungmu seperti Maghrib (barat), kanannya seperti selatan, kirinya seperti utara, jiwamu seperti angin, kata-katamu seperti hujan, marahmu seperti mendung, tidurmu seperti mati, jagamu seperti hidup, mudamu seperti musim panas dan masa tuamu seperti musim hujan.
     Maka Maha Berkah ALLAH s.w.t. dan Dia Sebaik-baik Pencipta.
Dan Dia telah menciptakan tangan yang ada di dalamnya tiga puluh lima tulang dan pada telapak kaki demikian juga.
-Zuhratur Riyadh-

WASIAT NABI ADAM KEPADA PUTERANYA

     Nabi Adam a.s. berwasiat kepada puteranya lima perkara dan menyuruh supaya anaknya mewasiatkan puteranya dan seterusnya.

  1. Pertama, katakan kepada putera-puteramu, kamu jangan berasa tenang dengan dunia ini, kerana ketika saya berasa tenang dengan syurga ALLAH, maka ALLAH tidak reda mengusir saya daripadanya.
  2. Kedua, katakan kepada mereka : Jangan menurutkan hawa nafsu wanita, maka sesungguhnya saya telah menuruti hawa nafsu wanita sehingga makan buah daripada pohon yang dilarang dan kemudian menyesal.
  3. Ketiga, tiap amal yang hendak dikerjakan harus kamu perhatikan akibatnya, sebab andainya saya memikirkan akibatnya maka saya tidak akan menerima akibat ini.
  4. Keempat, jika hati tidak tenang, maka hindarkanlah perbuatan itu sebab ketika aku akan memakan buah larangan itu goncang hatiku, tetapi tidak aku hiraukan, maka aku menyesal.
  5. Kelima, bermusyawarahlah dalam semua urusan, sebab andainya aku musyawarahkan dengan malaikat tidak akan terkena akibat ini.

KISAH NABI NUH MERAUNG TIDAK HENTI-HENTI

     Nama asal nabi Nuh a.s. bukanlah Nuh, tetapi sesuatu nama lain yang tidak banyak diketahui, meskipun ALLAH s.w.t. menyebut nama Nuh dalam Al-Quran.
Dalam bahasa Arab, makna 'Nuh' ialah raungan atau tangisan yang berterusan. Mengapa nabi ALLAH itu dipanggil Nuh mempunyai kisahnya yang sangat menarik dan menjadi contoh yang berguna untuk umat manusia seluruhnya.
     Cerita nabi Nuh a.s. ini bermula pada suatu hari apabila seekor anjing yang sangat ganjil lalu di hadapannya. Rupa anjing itu tidak seperti anjing-anjing biasa. Ia bermata empat dan sudah tentu menarik perhatian ramai, termasuk nabi Nuh a.s. sendiri pada zaman itu.
Nabi Nuh a.s. pun menyuruh anjing bermata empat itu berhenti di depannya dengan agak kehairanan.
Nabi Nuh ;"Wahai anjing, aku lihat muka kau ini begitu hodoh, mata engkau empat tidak seperti anjing yang lain. Mengapa jadi begini?".
Anjing itu pun menjawab :"Kau tanyalah siapa yang menjadikan aku. Kau fikir aku yang menghendaki mukaku hodoh begini?".
Tanyalah Tuhan yang menjadikan aku dan juga yang menjadikan engkau?".
     Nabi Nuh a.s. pun meraung (menangis) mendengarkan jawapan anjing hodoh itu. Ia menangis tidak henti-henti. Terasa benar kesalahannya mengkritik kejadian Tuhan.
Dia meraung dan meraung lagi beberapa lama kerana menyedari dosanya itu. Tidak henti-henti dia memohon keampunan daripada ALLAH s.w.t. dengan tidak sengaja.
     Sejak itu namanya pun dipanggil Nuh (raungan) dan kekallah namanya Nabi Nuh diabadikan dalam Al-Quran dan diampunkan dosanya oleh ALLAH s.w.t.

ANTARA AKAL DAN SYAHWAT

     Setelah suami Rabi'ah al-Adawiyah mati, maka Hassan Basri dan teman-temannya datang ke rumahnya dan dipersilakan mereka masuk. Kemudian ditutup Rabi'ah tabir dan dia duduk di belakangnya seraya berkata :"Siapa yang paling pintar antara kalian maka dia adalah suami saya." Maka mereka menjawab :"Hassan al-Basri". Rabi'ah :"Bila dapat menjawab pertanyaanku maka aku adalah milikmu."
     Hassan segera berkata :" Tanyalah semoga aku dapat menjawab".
Rabi'ah :"Apabila aku mati dan keluar dari dunia, apakah aku Nanti keluar dengan beriman atau tidak?."
     Hassan :"Itu masalah ghaib dan tidak seorang pun yang mengetahui kecuali ALLAH."
Rabi'ah :"Bila aku telah terletak di ruang liang kubur dan ditanya Malaikat Mungkar dan Nangkir apakah aku nanti dapat menjawab atau tidak?."
     Hassan :"Itu juga hal yang ghaib dan tidak ada yang mengetahui kecuali ALLAH."
Rabi'ah :"Apabila orang yang telah dikumpulkan pada hari kiamat diberikan kepada mereka catatan amal masing-masing, dengan tangan kananku kah atau tangan kiriku kah aku akan menerima catatan amalanku?."
     Hassan :"Itu pun barang ghaib juga."
Lalu Rabi'ah berkata :" Hai Hassan, barang siapa tidak dapat menjawab empat pertanyaan yang saya ajukan jangan berfikir untuk dapat mengahwini saya."
Kemudian Rabi'ah berkata untuk terakhir kalinya :"Hai Hassan, dalam beberapa bahagiankah ALLAH mencipta akal?".
     "Sepuluh bahagian, sembilan untuk laki-laki dan satu jenis perempuan", jawab Hassan.
Rabi'ah :"Dalam berapa bahagiankah ALLAH mencipta syahwat?".
     Hassan :"Sembilan bahagian untuk wanita dan satu bahagian untuk laki-laki."
Rabi'ah :"Hai Hassan, aku dapat menguasai sembilan syahwat dengan satu bahagian akal, sedang kamu pihak lelaki tidak dapat menguasai satu bahagian syahwat dengan sembilan akal yang kamu dapat."
Dan keluarlah Hassan dari rumah Rabi'ah dengan tangis dan air mata yang bercucuran.

Cucur udang dan kangkung

BAHAN-BAHAN :

  • 1/2 kg tepung gandum
  • 3 tangkai kangkung (potong kecil)
  • 1/2 biji bawang besar (dadu)
  • 1 biji cili merah (hiris)
  • 1 cawan udang (buang kulit, potong 3)
  • 1/2 cawan tauge
  • 1 sdb serbuk pati ayam
  • 1 sdb serbuk penaik
  • sedikit garam dan serbuk kunyit
  • air suam secukupnya
  • minyak untuk menggoreng terendam
CARA-CARA :

  • Gaul bersama semua bahan kecuali minyak. Biarkan sebentar, kemudian goreng dalam minyak panas. Hidangkan dengan sos cili pilihan.

Ikan stim limau

BAHAN-BAHAN :

  • 1 ekor ikan jenahak putih sedang (dibersihkan & dikelar)
  • 2 biji asam boi (dilenyek)
  • 2 batang serai (dihiris nipis)
  • 5 ulas bawang putih + 8 biji cili api (ditumbuk)
  • 10 biji limau kasturi + 2 biji limau nipis (ambil jus)
  • 4 cm halia (hiris panjang)
  • sedikit garam dan gula
  • sedikit air
CARA-CARA :

  • Panaskan kukusan. Sementara itu, masukkan semua bahan ke dalam perut ikan, tuangkan jus limau dan kukus ikan sehingga masak. Sajikan panas.

Monday, July 4, 2011

Kangkung goreng kicap

BAHAN-BAHAN :

  • 1 ikat kangkung (potong kecil)
  • 1/2 cawan udang
  • 3 ulas bawang merah + 1 ulas bawang putih + 1 biji cili merah (tumbuk)
  • 4 biji tomato ceri (hiris)
  • sedikit garam
  • kicap manis ABC secukupnya
  • sedikit minyak untuk menumis
CARA-CARA :

  • Panaskan minyak, tumis bahan tumbuk hingga garing. Kemudian masukkan udang dan goreng sekejap. Tambahkan kangkung, tomato dan bahan perasa. Kacau sebentar dan terus angkat supaya kangkung dan tomato kekal rangup. 

Kobis masak air

BAHAN-BAHAN :

  • 3 helai kobis cina (potong kecil)
  • 1 biji cili merah (hiris)
  • 1 ulas bawang merah + 1 ulas bawang putih + 1 cm halia (hiris)
  • 2 cawan air
  • garam dan serbuk stok ayam secukupnya
  • sedikit minyak untuk menumis
CARA-CARA :

  • Tumis bahan hiris hingga wangi. Masukkan air, biarkan mendidih. Tambahkan kobis dan bahan perasa. Angkat dan sedia dihidangkan.

Thursday, June 30, 2011

PERKARA YANG DIBENCI DAN DISUKAI IBLIS

Dikisahkan dari Wahab bin Munabbih bahawa berkata ia : "ALLAH s.w.t. telah menyuruh iblis berjumpa dengan Rasulullah s.a.w. dan menjawab setiap soalan yang dikemukakan oleh Rasulullah s.a.w.. Kemudian iblis pun menyamar sebagai orang tua yang kelihatan cantik dan kemas bertemu dengan Rasulullah s.a.w.
     Apabila iblis berdiri depan Rasulullah s.a.w. maka baginda pun bertanya :"Siapakah kamu?."
Lalu iblis laknat berkata :"Aku adalah iblis yang dilaknat oleh ALLAH."
     Berkata Rasulullah s.a.w.:"Kenapa kamu datang kemari."
     Berkata iblis laknat :"Aku kemari adalah atas perintah ALLAH s.w.t. untuk menjawab segala pertanyaan kamu."
     Rasulullah s.a.w. mulakan pertanyaan :"Wahai iblis katakan kepadaku berapa banyakkah musuhmu dari umatku?" Berkata iblis laknat :"Musuhku yang terdiri dari umatmu itu ada 15 antaranya :

  1. Engkau sendiri adalah musuhku.
  2. Imam pemimpin yang adil.
  3. Orang kaya yang merendahkan diri kepada ALLAH s.w.t.
  4. Peniaga yang jujur.
  5. Orang alim yang khusyuk dalam mengerjakan sembahyang.
  6. Orang mukmin yang sentiasa memberi nasihat (ahli nasihat).
  7. Orang mukmin yang sentiasa berkasih sayang antara satu dengan lain.
  8. Orang yang sentiasa bertaubat.
  9. Orang yang sentiasa menjauhkan diri dari segala yang haram.
  10. Orang mukmin yang sentiasa bersuci.
  11. Orang mukmin yang sentiasa menyedekahkan hartanya kerana ALLAH (dermawan).
  12. Orang mukmin yang bagus akhlaknya.
  13. Orang mukmin yang bermanfaat kepada orang.
  14. Orang yang menghafal Al-Quran dan sentiasa membacanya.
  15. Orang yang bangun malam mengerjakan sembahyang ketika orang lain sedang nyenyak tidur.
Rasulullah s.a.w. bertanya kepada iblis laknat lagi :
"Wahai iblis laknat, katakan kepadaku berapa banyakkah rakan-rakanmu dari umatku?" Berkata iblis laknat :"Rakan-rakanku yang terdiri dari umatmu ialah 10 antaranya :

  1. Hakim yang menganiaya, iaitu tidak jujur dan tidak berlaku adil.
  2. Orang kaya yang sombong dan bongkak.
  3. Peniaga yang khianat, suka menipu dalam urusan jual beli.
  4. Peminum arak.
  5. Orang yang suka memutuskan tali persaudaraan.
  6. Orang yang mengumpul harta dari jalan riba.
  7. Orang yang berlaku khianat memakan harta anak yatim.
  8. Orang yang memandang ringan dalam hal mendirikan solat (suka melambat-lambatkan solat).
  9. Orang yang enggan mengeluarkan zakat.
  10. Orang yang sangat suka berkhayal.
Kesemua mereka ini adalah sahabat-sahabatku."

SEPULUH JENIS ORANG ISLAM YANG KEJAM

Sufyan Athsauri berkata :
Sepuluh macam daripada kekejaman ialah :

  1. Seorang yang berdoa untuk dirinya sendiri dan tidak mendoakan anak-anaknya dan kaum mukmin.
  2. Seorang yang pandai membaca Al-Quran, tetapi tiap harinya tidak membaca seratus ayat.
  3. Seorang yang masuk masjid lalu keluar dan tidak sembahyang dua rakaat. (Sunat Tahyatul-Masjid)
  4. Seorang yang berjalan melalui kuburan kemudian tidak memberi salam dan mendoakan ahli kubur.
  5. Seseorang yang sampai di sebuah kota pada hari Jumaat kemudian tidak sembahyang jemaah.
  6. Seseorang yang di daerahnya di datangi oleh seorang alim, tiba-tiba tidak mahu belajar apa-apa daripadanya.
  7. Dua orang yang bertemu di perjalanan dan masing-masing tidak menanyakan nama kawannya itu.
  8. Seorang diundang pada jamuan tiba-tiba tidak datang.
  9. Pemuda yang tidak ada kerja dan tidak mahu belajar ilmu dan kesopanan.
  10. Seorang yang kenyang sedang dia tahu bahawa tetangganya lapar, tetapi tidak diberi dari makannya itu.

Wednesday, June 29, 2011

Roti telur

BAHAN-BAHAN :

  • 5 biji telur
  • sedikit kucai, garam dan lada sulah
  • mentega secukupnya
  • roti sandwich secukupnya (potong serong)
****semua bahan dipukul rata kecuali roti, kemudian celup roti dalam adunan telur dan goreng di atas api perlahan**** 


SOSEJ  SIRA :

  • Sebungkus sosej (dipotong kecil) kemudian di goreng bersama sos cili.

  

Tuesday, June 28, 2011

PEGANGLAH API BILA TERINGATKAN ZINA

     Ada seorang soleh yang sangat patuh kepada perintah agamanya, dan sentiasa menjaga diri daripada segala rupa maksiat dan keburukan, sehingga pada satu malam terlintas di dalam hatinya hendak berzina dengan seorang wanita jelita kerana terpesona dengan kejelitaannya.
     Kebetulan pada ketika itu, disampingnya ada sebuah pelita yang baru saja dinyalakan untuk menerangi rumah orang soleh itu. Maka dia pun terus menajamkan pandangannya kepada api yang sedang bernyala-nyala pada sumbu pelita itu.
Kemudian dia berbisik pada dirinya sendiri :"Engkau mengajak aku melakukan perbuatan terkutuk dengan wanita itu? Baiklah ! Aku akan letakkan jariku ini di atas sumbu pelita yang menyala itu, kiranya ia tahan panasnya, nescaya aku akan turutkan kemahuanmu itu."
     Maka orang soleh itu pun meletakkan jarinyadi atas sumbu tadi. Dan dia cuba menahan diri daripada kepanasannya, sehingga hampir-hampir nyawanya akan tercabut kerana tidak tahan panas yang  dideritanya itu. Lalu segeralah dia berteriak :"Wahai jiwa, tahniahlah engkau ! Rupanya engkau tidak tahan. Ini baru saja kepanasan api dunia, engkau sudah tidak tahan, padahal api dunia itu telah disejukkan oleh ALLAH s.w.t. dengan air sebanyak 70 kali ganda agar manusia boleh bertentangan dengannya.
     Kalau hanya menghadapi api dunia, engkau sudah tidak tahan, apatah lagi untuk menghadapi api neraka, yang panasnya 70 kali ganda lebih dahsyat daripada api dunia ini." Lalu orang soleh itu pun berpaling daripada niatnya yang mula-mula tadi. Sejak hari itu hatinya tidak pernah diganggu lagi oleh lintasan buruk seperti itu.

CUBALAH BERSIKAP SABAR DENGAN PERANGAI ISTERI

      Diceritakan, bahawa ada seorang datang ke rumah Khalifah Umar Ibnul- Khattab untuk mengadukan perangai buruk isterinya. Apabila orang tu tiba di pintu rumah Khalifah, tiba-tiba dia terdengar isteri Khalifah sedang mengangkat suara mengata nista Khalifah sedangkan Khalifah hanya berdiam diri saja, tidak menjawab sepatah pun.
     Maka orang itu pun tidak jadi hendak mengadu, malah tergesa-gesa hendak kembali meninggalkan rumah Khalifah, maka dengan tidak semena-mena dia dipanggil oleh Khalifah seraya bertanya kepadanya :"Apa hajatmu datang ke mari?"
Jawabnya :"Tidak ada apa-apa wahai Amirul Mukminin!"
Tanya Khalifah :"Mengapa datang kalau tidak ada apa-apa?"
Kata orang itu lagi :"Sebenarnya saya datang ini untuk mengadukan kelakuan buruk isteri saya, Wahai Amirul Mukminin. Tetapi tiba-tiba saya mendapati tuan hamba juga mengalami nasib yang sama seperti saya."
     Berkata Khalifah Umar :
"Wahai saudara ku! Aku terpaksa menanggung semua itu kerana aku terhutang budi kepadanya. Dia telah memasak makananku, membuat roti untukku, membasuh pakaianku dan menyusukan anakku, padahal semua itu tidak wajib atasnya. Dan dia juga menjadi tempat kemesraanku, di mana hatiku berasa tenang dan kerana itu juga aku terlindung daripada melakukan yang haram. Bagaimana dapat aku menentangnya, jadi aku hanya bersabar dan memekakkan telinga saja."
Kata orang itu pula :"Saya juga menanggung nasib yang sama seperti tuan hamba juga, wahai Amirul Mukminin!"
     Maka berkata Amirul Mukminin lagi :
"Wahai saudaraku ! Bersabarlah atas kelakuan isterimu itu.

AKAL ALAT DAN PEMIMPIN ORANG MUKMIN

Diriwayatkan oleh Ka'ab dan Abu Hurairah bahawa mereka datang dan bertanya kepada Rasulullah s.a.w.
"Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling pintar?"
Rasulullah s.a.w. menjawab: "Orang yang berakal."
Mereka bertanya lagi:"Siapakah orang yang paling berbakti?"
Rasulullah s.a.w. menjawab: "Orang yang berakal."
Mereka bertanya lagi: "Siapakah orang yang paling utama?"
Rasulullah s.a.w. menjawab: "Orang yang berakal kerana setiap sesuatu mempunyai alat dan alat orang mukmin ialah akal dan setiap kamu mempunyai pemimpin dan pemimpin orang mukmin adalah akal.
Setiap kamu mempunyai tujuan dan yang utama bagi hamba ALLAH ialah akal (khayatul qulub)."
Saidatina Aisyah berkata: "Akal itu mempunyai sepuluh bahagian, lima bahagian nampak dan lima bahagian tersembunyi."
Adapun yang nampak ialah:
Pertama : Diam.
Kedua : Sabar.
Ketiga : Rendah hati.
Keempat : Takut kepada ALLAH.
Kelima : Mengawal hawa nafsu.

KENAPA ANDA HARUS TANGGUH TIDUR

Seorang hakim berkata: "Seorang tidak boleh tidur sehingga menyelesaikan empat perkara":
Jangan tidur selama dia percaya atas bumi ada musuh, sehingga minta halalnya, sebab kemungkinan dia mati sehingga dituntut oleh ALLAH s.w.t.
Jangan tidur jika masih rasa berdosa dan belum taubat daripadanya, sebab kemungkinan dia mati dan dianggap terus dalam berdosa.
Jangan tidur sehingga menulis wasiat yang tepat, sebab mungkin dia mati tanpa meninggalkan wasiat.
Jangan tidur jika masih belum menyelesaikan kewajipan kepada ALLAH s.w.t.
    Seorang lagi hakim berkata: " Seorang di waktu pagi harus niat empat perkara":
Menunaikan kewajipan terhadap ALLAH s.w.t.
Meninggalkan larangan ALLAH s.w.t.
Menyelesaikan dengan orang yang dia ada hubungan dagang dan sebagainya.
Memperbaiki hubungan dengan lawannya.
Maka jika dia pagi-pagi ada niat yang demikian ada harapan termasuk orang soleh yang untung.
    Manusia pada waktu pagi ada tiga macam:
Sebahagian mencari harta.
Sebahagian mencari dosa.
Dan sebahagian mencari jalan yang diredhai ALLAH s.w.t.
Yang sibuk mencari harta, maka dia tidak akan makan lebih daripada rezekinya meskipun hartanya sangat banyak.
Dan yang sibuk mencari dosa maka pasti akan mendapat kehinaan.
Dan yang  mencari jalan menuju keredhaan ALLAH s.w.t., maka ALLAH s.w.t. akan memberinya rezeki dan jalan.

Monday, June 27, 2011

Nasi goreng buncis

BAHAN-BAHAN :

  • 1 pinggan nasi
  • 2 ulas bawang merah + 2 ulas bawang putih (hiris)
  • 6 batang buncis (hiris nipis)
  • 1/2 cawan isi ayam goreng kunyit
  • 1/2 biji cili merah (hiris)
  • sedikit garam dan serbuk pati ayam
  • minyak untuk menumis
CARA-CARA :
  • Panaskan minyak, tumis bawang hingga wangi, kemudian masukkan nasi dan bahan lain. Masak hingga buncis sedikit layu. Sedia dihidangkan.

Bendi masak kicap berudang

BAHAN-BAHAN :

  • 10 batang bendi (basuh, toskan hingga kering & potong 2)
  • 10 ekor udang
  • 1 batang cili merah (hiris)
  • 3 ulas bawang merah + 3 ulas bawang putih (hiris)
  • kicap manis secukupnya
  • garam secukup rasa
  • sedikit air asam jawa
  • sedikit minyak untuk menumis
CARA-CARA :
  • Panaskan minyak di dalam kuali, tumis bawang hingga garing. Masukkan udang, goreng sekejap. Tambahkan semua bahan lain dan masak lagi hingga bendi kecut tetapi tetap rangup. Sedia dihidangkan.

Nasi kari berudang

BAHAN-BAHAN :

  • 3 cawan beras basmati (dicuci, rendam 20 minit & toskan)
  • 500 gm udang besar
  • 6 ulas bawang merah + 3 ulas bawang putih + 3 cm halia (kisar)
  • sedikit rempah tumis
  • 2 batang serai (ketuk)
  • 3 sdb  serbuk kari daging
  • 1 paket cendawan tiram
  • 2 tangkai daun kari
  • 1/2 sdb serbuk pati ayam
  • 1 sdk biji lada hitam
  • garam secukup rasa
  • 2 sdb minyak sapi
  • 2 cawan air
  • 1 tin susu cair + jus dari 1 biji limau nipis (tairu)
CARA-CARA :

  • Panaskan minyak sapi di dalam periuk nasi, tumiskan bahan kisar, serai dan rempah tumis sehingga wangi dan garing. Masukkan rempah kari dan lada hitam, masak lagi hingga pecah minyak.
  • Kemudian masukkan air dan udang. Biar hingga mendidih. Tambahkan susu cair, cendawan dan bahan perasa, masukkan beras. Setelah air beras agak kering, taburkan daun kari dan masak hingga nasi tanak.
  • Enak dimakan bersama acar buah.  

CINTA ABADI......

Saturday, June 25, 2011

Bihun kari

BAHAN-BAHAN :

  • Bihun secukupnya (dicelur air panas dan ditoskan)
  • 2 rangka ayam (direbus bersama air untuk kuah)
  • 5 ulas bawang merah + 2 ulas bawang putih + 2 cm halia (ditumbuk)
  • sedikit rempah tumis
  • 1 sdb serbuk cili +  4 sdb serbuk kari (jadikan pes)
  • 400 gm isi kerang
  • 400 gm udang
  • 1 bungkus kecil bebola ikan
  • 2 keping fucuk (patahkan)
  • taupok secukupnya
  • santan secukupnya
  • sedikit asam gelugur
  • garam secukup rasa
  • sayur pak choy (dicelur)
  • tauge, d.sup, d.bawang
  • telur rebus
  • 2 ketul tauhu goreng (hiris nipis)
  • limau nipis dan sedikit sambal belacan goreng jika suka
  • minyak untuk menumis
CARA-CARA :

  • Tumiskan bahan tumbuk bersama rempah tumis hingga wangi. Masukkan pes kari yang telah dicampurkan bersama serbuk cili, masak hingga wangi dan pecah minyak.
  • Masukkan bahan yang telah ditumis tadi ke dalam periuk berisi tulang ayam. Tambahkan kerang, udang, bebola ikan dan fucuk tauhu. Biarkan mendidih, kemudian tuangkan santan dan jangan lupa untuk memasukkan taupok. Setelah itu, masukkan asam keping dan juga garam secukup rasa.
  • Kacau rata. Sedia dihidangkan bersama bihun dan bahan-bahan sampingan.

Bihun goreng tomyam

BAHAN-BAHAN :

  • 1 keping bihun (direndam dan ditoskan)
  • 4 ulas bawang merah + 3 ulas bawang putih + 1 sdb udang kering (ditumbuk)
  • 1 sdb cili boh
  • 1 sdb pes tomyam knorr
  • sedikit isi ayam
  • sedikit jejari ketam (potong 3)
  • sedikit kobis dan daun kucai
  • sedikit garam dan kicap manis
  • minyak untuk menumis
CARA-CARA :

  • Panaskan minyak, tumis bahan tumbuk hingga wangi dan garing. Masukkan cili boh dan pes tomyam,kacau rata. Tambahkan isi ayam, jejari ketam, kobis. Masukkan bihun dan bahan perasa. Jika bihun masih keras, masukkan sedikit air. Tambahkan daun kucai dan juga kicap manis. Kacau lagi hingga sebati. Bolehlah diangkat dan hidangkan bersama dengan cili potong.

Sup ekor

BAHAN-BAHAN :

  • 400 gm ekor lembu (direbus bersama sebatang sudu sehingga lembut)
  • 1 bunjut sup tulang
  • 4 ulas bawang merah + 2 ulas bawang putih (mayang halus)
  • 3 cm halia (ketuk)
  • sebatang serai (ketuk)
  • 1 biji tomato (belah 2, potong nipis)
  • jus limau secukupnya
  • sedikit garam dan serbuk perasa
  • daun sup dan daun bawang
  • cili api
  • minyak untuk menumis
CARA-CARA :

  • Masukkan sup bunjut, serai dan halia ke dalam periuk sup. Didihkan sekali lagi sehingga ekor betul-betul lembut. Sementara itu, di dalam kuali yang berasingan panaskan minyak dan goreng bawang sehingga garing masukkan sedikit garam.
  • Perasakan sup secukupnya. Sebelum mematikan api masukkan bawang goreng dan tutup periuk cepat-cepat agar sup kekal harum. Angkat dan taburkan daun sup dan daun bawang, tomato hiris, cili api yang diketuk dan perahkan jus limau. Sedia dihidangkan.