Wednesday, October 5, 2011

JIBRIL MENGUJI KETAATAN SEORANG PEMUDA TERHADAP IBUNYA

Di zaman bani israil terdapat seorang hamba ALLAH yang soleh, ia mempunyai seorang anak kecil lelaki dan seekor anak lembu. Anak lembu inilah saja satu-satunya harta yang dimilikinya.
     Pada suatu hari, hamba ALLAH yang soleh itu telah pergi ke hutan bersama dengan anak lembu yang dipeliharanya untuk dilepaskan ke hutan. Sebelum anak lembu itu dilepaskan dia berdoa kepada ALLAH SWT :" Ya ALLAH, aku lepaskan anak lembu ini kepada Mu untuk anakku bila dia besar nanti."
     Selang beberapa lama maka hamba ALLAH yang soleh itupun meninggal dunia, maka anak lembu itupun membesar di hutan dengan mencari makanannya sendiri. Anak lembu ini jika melihat ada orang datang, ia sangat liar dan akan melarikan diri.
     Anak kecil yang tidak berbapa ini membesar dengan kasih sayang ibunya, dan dia juga sangat menyayangi ibunya dan taat kepada segala perintah ibunya. Dia juga menggunakan masanya 1/3 untuk mengerjakan solat, 1/3 masanya digunakan untuk menjaga ibunya dan 1/3 lagi untuk masa tidurnya.
     Setiap pagi anak muda ini akan ke hutan untuk mencari kayu api, apabila dia memperolehi hasil dari kayu api dia akan membahagikannya kepada 3 bahagian. 1/3 daripada hasil yang diperolehinya  akan dibahagikan kepada ibunya, 1/3 akan disedekahkannya manakala 1/3 lagi untuk makan.
     Suatu hari ibunya telah berkata :" Wahai anakku, ayahmu telah mewariskan seekor lembu kepadamu dia telah melepaskannya di hutan untuk dipelihara oleh ALLAH. Oleh itu kamu pergilah ke hutan dan berdoalah kepada Tuhan Nabi Ibrahim as, Nabi Ismail as, Nabi Ishaq as dan Nabi Ya'kub as semoga ALLAH SWT akan mengembalikan semula lembu itu."
     Ibunya berkata lagi :"Wahai anakku, tanda lembu itu ialah berwarna kuning berkilauandan kulitnya bagaikan emas apabila terkena cahaya matahari."
     Setelah pemuda itu mendengar segala pesanan ibunya maka diapun pergi ke hutan, sesampai di sana dia melihat lembu yang diperkatakan oleh ibunya sedang memakan rumput kemudian dia berdoa :" Wahai lembu aku memanggil kamu dengan nama Tuhan Nabi Ibrahim as, Nabi Ismail as, Nabi Ishaq as dan Nabi Ya'qub as oleh itu hendaklah kamu datang kepadaku."
     Sebaik sdahaja pemuda itu selesai berkata demikian maka lembu tersebut berlari ke arah pemuda itu seraya berkata :"Wahai pemuda yang taat kepada ibunya naiklah kamu ke atas belakangku untuk meringankanmu."
     Berkata pemuda itu :" Wahai lembu ibuku tidak menyuruh aku berbuat demikian sebaliknya ibuku hanya menyuruh aku memegang lehermu saja."
     Berkata lembu itu :" Demi Tuhan Bani Israil, sekiranya kamu hendak mengenderaiku sudah tentu tidak dapat kamu lakukan, tetapi jika kamu memerintahkan bukit untuk berpindah sudah tentu bukit-bukit itu akan berpindah disebabkan taatnya kamu kepada ibu kamu itu." Setelah itu pemuda itu pun membawa lembu itu pulang. Sampai dirumahnya, ibu pemuda itu berkata:" Wahai anakku sekiranya kamu merasa susah untuk mencari kayu setiap pagi dan merasa sukar untuk bangun malam maka eloklah kamu jual lembu ini."
     Lalu pemuda itu bertanya ibunya :" Wahai ibu, katakan kepadaku dengan berapakah saya harus jual lembu ini?"
     Berkata si ibu :" Wahai anakku kamu juallah dengan harga 3 dinar dan janganlah kamu kurangkan atau lebihkan dari 3 dinar sebelum kamu bertanya terlebih dahulu dariku."
     Kemudian pemuda itupun membawa lembu itu ke pasar untuk dijual, untuk menguji ketaatan pemuda itu kepada ibunya maka ALLAH SWT telah memerintahkan Jibril as menyerupai seorang pemuda untuk bertemu pemuda tersebut.
     Jibril yang menyerupai seorang pemuda bertanya kepada pemuda tersebut:" Wahai pemuda berapakah harga lembu ini?"
     Berkata pemuda itu :" Lembu ini berharga 3 dinar dengan izin ibuku."
     Berkata malaikat Jibril as :" Aku sedia membeli lembu ini dengan harga 6 dinar dengan syarat kamu tidak memberitahu ibumu itu." Harga lembu itu sebenarnya 3 dinar sahaja pada masa itu.
     Berkata pemuda itu :" Wahai orang muda, kalaulah kamu berikan kepadaku emas seberat lembu ini sekalipun aku tidak akan menerimanya tanpa mendapat izin ibuku."
     Setelah berkata demikian pemuda itupun pulang dengan membawa lembunya, setelah menceritakan kepada ibunya apa yang berlaku ibunya pun berkata :" Wahai anakku kini aku izinkan kamu menjual lembu ini dengan harga 6 dinar."
     Pemida itupun pergi ke pasar dan bertemu dengan orang yang hendak membeli lembunya itu dengan berkata :" Kini aku sedia menjual lembu ini dengan harga 6 dinar dengan izin ibuku."
     Berkata malaikat Jibril as yang menyerupai seorang pemuda :" Aku sedia membeli lembu ini dengan harga 12 dinar dengan syarat kamu tidak memberitahu ibumu."
     Brkata pemuda itu :" Aku tidak dapat menjual lembu ini dengan harga 12 dinar tanpa mendapat izin ibuku."
     Setelah itu pemuda itu pun kembali memberitahu ibunya tentang harga yang hendak dibeli oleh pemuda itu.
     Berkata ibunya :"Wahai anakku sebenarnya orang yang bertemu kamu itu adalah seorang malaikat untuk menguji kamu, oleh itu hendaklah kamu tanya dia apakah lembu ini perlu dijual atau tidak?"
     Kemudian pemuda itu pun pergi semula ke pasar dan bertemu dengan malaikat itu lalu dia berkata :" Ibuku bertyanya apakah lembu ini perlu dijual atau tidak?"
     Maka berkata malaikat Jibril as :"Janganlah dijual lembu ini sehingga terjadi perintah ALLAH SWT  atas Bani Israil untuk menyembelih lembu ini, apabila Bani Israil mencari lembu yang memenuhi syarat yang ditentukan maka tidak adalah lembu yang dapat memenuhi syarat tersebut kecuali lembu ini. Untuk mendapatkan lembu ini mereka akan membayar harga lembu ini mengikut berat badan lembu dengan wang dinar. Ini adalah anugerah ALLAH SWT ke atasmu disebabkan ketaatan kamu kepada ibumu."
                                                                            (BACA SURAH AL-BAQARAH AYAT 67-73)