Ada seorang soleh yang sangat patuh kepada perintah agamanya, dan sentiasa menjaga diri daripada segala rupa maksiat dan keburukan, sehingga pada satu malam terlintas di dalam hatinya hendak berzina dengan seorang wanita jelita kerana terpesona dengan kejelitaannya.
Kebetulan pada ketika itu, disampingnya ada sebuah pelita yang baru saja dinyalakan untuk menerangi rumah orang soleh itu. Maka dia pun terus menajamkan pandangannya kepada api yang sedang bernyala-nyala pada sumbu pelita itu.
Kemudian dia berbisik pada dirinya sendiri :"Engkau mengajak aku melakukan perbuatan terkutuk dengan wanita itu? Baiklah ! Aku akan letakkan jariku ini di atas sumbu pelita yang menyala itu, kiranya ia tahan panasnya, nescaya aku akan turutkan kemahuanmu itu."
Maka orang soleh itu pun meletakkan jarinyadi atas sumbu tadi. Dan dia cuba menahan diri daripada kepanasannya, sehingga hampir-hampir nyawanya akan tercabut kerana tidak tahan panas yang dideritanya itu. Lalu segeralah dia berteriak :"Wahai jiwa, tahniahlah engkau ! Rupanya engkau tidak tahan. Ini baru saja kepanasan api dunia, engkau sudah tidak tahan, padahal api dunia itu telah disejukkan oleh ALLAH s.w.t. dengan air sebanyak 70 kali ganda agar manusia boleh bertentangan dengannya.
Kalau hanya menghadapi api dunia, engkau sudah tidak tahan, apatah lagi untuk menghadapi api neraka, yang panasnya 70 kali ganda lebih dahsyat daripada api dunia ini." Lalu orang soleh itu pun berpaling daripada niatnya yang mula-mula tadi. Sejak hari itu hatinya tidak pernah diganggu lagi oleh lintasan buruk seperti itu.
No comments:
Post a Comment