Sunday, July 10, 2011

Ayam panggang montreal

BAHAN-BAHAN :

  • 4 ketul peha ayam
  • sedikit serbuk paprika
  • sedikit montreal chicken seasoning
  • olive oil
  • sedikit garam
  • karot & kentang secukupnya (direbus separuh masak)
  • **********ayam diperap bersama bahan-bahan di atas kemudian dipanggang bersama kentang dan karot. Sajikan bersama sos pilihan************

Tumis sawi dan udang

BAHAN-BAHAN :

  • 1 ikat sawi bunga
  • 1 mangkuk kecil udang
  • 4 biji tomato ceri (belah 2)
  • 1 biji cili merah (hiris)
  • 2 ulas bawang merah +  2 ulas bawang putih (hiris)
  • sedikit garam 
  • minyak untuk menumis
CARA-CARA :
  • Panaskan minyak, tumis bawang yang dihiris, masukkan udang. Masak hingga udang kecut kemudian masukkan sawi, cili merah, tomato dan garam.
  • Hidangkan segera.

Lala rebus

BAHAN-BAHAN :

  • 1 kg lala (cuci bersih)
  • 4 batang serai (titik)
  • 2 ulas bawang merah + 1 ulas bawang putih (mayang)
  • sedikit garam
  • air sekadar menutupi lala
CARA-CARA :

  • Lala direbus bersama bahan-bahan di atas. Sedia dihidangkan. 

Sayur manis bayam

BAHAN-BAHAN :

  • 2 biji keledek (potong besar)
  • 1 ikat bayam
  • 1 batang rebung (tin)
  • segenggam ikan bilis (tumbuk)
  • 2 ulas bawang merah + 1 ulas bawang putih (tumbuk)
  • 1/2 biji cili merah (hiris)
  • air secukupnya
  • garam secukup rasa
CARA-CARA :

  • Rebus keledek hingga empuk kemudian masukkan bahan tumbuk dan bahan-bahan lain. Renihkan di atas api yang sederhana. Bolehlah diangkat dan dihidangkan.

Ikan goreng cencaluk dan petai

BAHAN-BAHAN :

  • 3 ekor ikan cencaru (sapu garam kunyit & goreng)
  • 3 ulas bawang putih + 1 biji bawang besar (kecil) +  1 cm halia + 2 cili hijau + 2 cili merah + segenggam cili api (kisar)
  • 2 sdb cencaluk
  • 2 papan isi petai
  • 1/2 biji bawang besar (mayang)
  • garam dan gula secukup rasa
  • jus limau kasturi secukupnya
  • minyak untuk menumis
CARA-CARA :

  • Tumis bahan kisar hingga wangi dan garing. Masukkan cencaluk, bawang yang dimayang dan juga bahan perasa. Setelah sebati masukkan isi petai. Kacau rata.
  • Masukkan ikan yang telah digoreng, balik-balikkan supaya ikan bersalut dengan sambal. Sebelum diangkat perahkan jus limau kasturi secukupnya. Sedia dihidangkan.

Ayam kicap Nabil

BAHAN-BAHAN :

  • 6 ketul ayam goreng kunyit
  • 1 cm halia + 4 ulas bawang putih + 1/2 biji bawang besar (hiris)
  • kicap manis ABC & sos tomato secukupnya
  • sedikit lada sulah
  • sedikit air
  • cili merah + d.sup + d. bawang (hiris)
  • minyak untuk menumis
CARA-CARA :

  • Tumis halia dan bawang hingga garing, masukkan ayam goreng dan sos. Kacau rata. Tambahkan sedikit air . Sebelum diangkat masukkan cili hiris dan lada sulah. Hiaskan dengan hirisan daun sup dan daun bawang.

Kurma kambing

BAHAN-BAHAN :

  • 1 kg daging kambing bercampur tulang (rebus empuk, buang air rebusan)
  • 5 ulas bawang merah + 2 ulas bawang putih + 5 inci halia (tumbuk)
  • 3 batang serai (titik)
  • 2 helai daun pandan (simpul)
  • sedikit kulit kayu manis, pelaga, cengkih dan bunga lawang
  • 4 sdb rempah kurma
  • 1/2 sdb kerisek
  • santan secukupnya
  • kentang dan karot (potong-potong)
  • 4 biji cili hijau (belah 2)
  • 1 biji bawang bombay (belah 4)
  • sedikit minyak sapi dan minyak masak untuk menumis
  • garam dan gula secukup rasa
  • 2 asam keping
CARA-CARA :

  • Panaskan minyak sapi dan minyak masak, tumis rempah tumis hingga naik bau. Masukkan daun pandan, serai dan juga bahan tumbuk. Masak hingga wangi. Kemudian tambahkan rempah kurma dan masak lagi hingga rempah betul-betul garing.
  • Masukkan daging kambing, kentang dan juga karot. Kacau rata. Masukkan santan dan masak hingga mendidih. Setelah itu, masukkan asam keping, cili hijau, bawang  dan juga kerisek. Masak lagi hingga kentang empuk. Jangan lupa untuk memasukkan garam dan gula secukup rasa.
  • Setelah sebati, bolehlah diangkat dan dihidangkan.

Thursday, July 7, 2011

TANDA AMAL TIDAK DITERIMA ALLAH

     Siapa yang melakukan empat macam kemudian ia tidak bertambah baik, maka itu tanda tidak diterima amalnya.

  • Siapa yang berjihad, kemudian ia kembali tidak bertambah kebaikan, maka itu tanda jihadnya tidak diterima oleh ALLAH.
  • Orang yang berpuasa di bulan Ramadhan, kemudian tidak bertambah kebaikan, itu tandanya puasanya tidak diterima.
  • Orang yang naik haji kemudian tidak tambah amal kebaikannya, maka itu tanda tidak diterima amalan hajinya.
  • Orang yang sakit lalu sesudah sembuh tidak bertambah baik amal perbuatannya, maka itu tanda bahawa dosa-dosanya belum ditebus.
Seorang hakim berkata :
Siapa yang  mengaku tiga perkara di bawah, maka dia ditertawakan syaitan :

  • Siapa yang  mengaku dapat merasa manisnya taat, padahal dia cinta pada dunia.
  • Siapa yang mengaku reda pada ALLAH s.w.t. padahal dia tidak membenci hawa nafsunya.
  • Siapa yang mengaku ikhlas padahal dia ingin dipuji orang.
Tanda seseorang itu telah tertipu ada tiga :

  • Mengumpulkan apa yang tidak berguna baginya.
  • Bertambah-tambah dosanya sehingga membinasakannya.
  • Meninggalkan amal yang dapat menyelamatkannya.
Dan tanda orang yang mengharap kepada ALLAH s.w.t. itu juga tiga :

  • Hatinya digunakan untuk berzikir (mengingat ALLAH).
  • Lidahnya untuk berzikir.
  • Badannya untuk beramal.

LELAKI YANG FAHAM BAHASA HAIWAN

RUMI pernah bercerita :
     Ada seorang lelaki yang memiliki beberapa ekor binatang ternakan, dan apabila dia mendengar bahawa Musa faham bahasa binatang, dia merayu Musa supaya mengajar ilmu itu kepadanya.
Setelah belajar, lelaki itu menggunakannya untuk memahami perbualan binatang ternakannya. Dia mendengar ayam jantan berkata kepada kuda, bahawa kuda akan mati tidak lama lagi. Lelaki itu segera menjual kudanya untuk mengelakkan kerugian.
     Beberapa ketika kemudian, dengan menggunakan ilmunya lelaki itu terdengar ayam jantan memberitahu anjing bahawa tidak lama lagi keldai akan mati. Jadi untuk mengelakkan kerugian, lelaki itu menjual keldainya.
Selepas peristiwa itu, sekali lagi ayam jantan berkata-kata dengan binatang yang lain.
Kata ayam jantan, hamba kepada lelaki itu akan mati tidak lama lagi. Dengan senang hati lelaki itu menjual hambanya supaya dapat mengelakan kerugian. Dia gembira dengan tindakannya dan menganggap inilah nilai ilmu yang ada padanya - untuk membantunya menguruskan kehidupan hariannya.
     Suatu hari, lelaki itu terdengar pula ayam itu berkata kepada anjing bahawa dia - tuan mereka, pula akan mati. Dalam ketakutan lelaki itu pergi menemui Musa dan meminta nasihat.
Kata Musa :"Sekarang anda boleh pergi jual diri anda pula."
Fahamilah ajaran cerita ini : Bahawa kebolehan memahami orang lain tidak berfaedah bagi mengisi keperluan kita yang paling besar - diri kita sendiri.
Anis Ahmad ibn al-Alawi

Wednesday, July 6, 2011

10 AMALAN PEMAKANAN YANG BAIK

  1. Kunyahlah makanan dengan perlahan. Ini membuatkan perut anda lebih bersedia menerima makanan dengan baik serta membantu pemprosesan penghadaman perut dengan baik.
  2. Duduklah ketika makan. Ini dapat membantu anda menumpukan perhatian semasa makan dan anda seronok menikmatinya.
  3. Simpan makanan jauh dari mata. Seeloknya, jauhkan makanan-makanan dngan menyimpan di tempat yang tertutup agar ia tidak kelihatan. Jika tidak, anda mungkin akan terliur untuk makan biarpun pada masa itu anda tidak lapar!
  4. Gunakan pinggan kecil. Jika anda mengambil makanan dengan menggunakan pinggan kecil, ia dapat membataskan pengambilan makanan yang terlalu banyak. Dengan ini anda akan lebih berhati-hati dan memilih makanan yang betul-betul perlu.
  5. Tumpukan pada makanan ketika makan. Jangan pula sambil membaca, menonton televisyen, menulis atau berborak di telefon kerana sikap ini membuatkan anda tidak sedar anda telah makan terlalu banyak.
  6. Tertekan atau tercabar? jangan mulakan diet mengejut dengan memberhentikan terus rutin pemakanan seharian anda kerana masalah lain akan timbul pula.
  7. Jangan pula makan melompat-lompat. Kelakar bunyinya, tapi pastikan anda mengambil makanan pada waktu makan seperti sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam yang sepatutnya ! Anda akan lebih mengalami berat badan jika hanya makan pagi, tidak makan tengahari tetapi akan mengambil makan malam yang lebih. 
  8. Kemas dan simpan makanan. Bersihkan meja makan selepas makan dan simpan supaya anda dan anak tidak adapeluang mengambil dan meratah lagi makanan yang tidak perlu waktu anda tidak terasa lapar !
  9. Sibukkan diri. Jika anda betul-betul sibuk dengan kerja, masa makan anda juga terbatas dan anda tidak akan makan dengan berlebihan.
  10. Berhenti dari berfikiran negatif. Jangan rasa bersalah pada diri. Nikmatilah hidup sihat dengan amalan pemakanan yang sihat. Fikirkanlah suatu hari satu masa supaya anda tidak menyesal.

Tuesday, July 5, 2011

PERSAMAAN MANUSIA DENGAN ALAM

     Dikatakan bahawa susunan falak dan buruj adalah seperti susunan manusia. Sebagaimana falak dibahagi menjadi dua belas buruj, maka manusia juga mempunyai dua belas lubang ; iaitu dua lubang telinga, dua lubang hidung, dua lubang mata, dua lubang jalan kotoran, dua buah dada, satu mulut dan satu pusat. Enam buruj dari sebelah utara dan enam buruj lagi dari sebelah selatan.
     Demikian juga pada manusia enam lubang ada di sebelah kiri dan enam lubang ada di sebelah kanan. Apabila dalam falak ada tujuh bintang, akan dalam tubuh manusia juga ada tujuh kekuatan. Iaitu pendengaran, penglihatan, perciuman, perasaan, penyentuhan, pemikiran dan pembicaraan.
Kerana itu maka gerak manusia adalah gerak daripada  bintang-bintang. Lahirmu seperti terbitnya dan matimu seperti matinya. Ini adalah perumpamaan dengan alam raya yang ada di atas.
     Ada pula perumpamaan dengan alam bawah, maka jasadmu seperti bumi, dan tulang mu seperti gunung, otakmu seperti lombong, keringatmu seperti parit-parit, dagingmu seperti debu, rambutmu seperti pohon-pohon, mukamu seperti Masyrik (timur), punggungmu seperti Maghrib (barat), kanannya seperti selatan, kirinya seperti utara, jiwamu seperti angin, kata-katamu seperti hujan, marahmu seperti mendung, tidurmu seperti mati, jagamu seperti hidup, mudamu seperti musim panas dan masa tuamu seperti musim hujan.
     Maka Maha Berkah ALLAH s.w.t. dan Dia Sebaik-baik Pencipta.
Dan Dia telah menciptakan tangan yang ada di dalamnya tiga puluh lima tulang dan pada telapak kaki demikian juga.
-Zuhratur Riyadh-

WASIAT NABI ADAM KEPADA PUTERANYA

     Nabi Adam a.s. berwasiat kepada puteranya lima perkara dan menyuruh supaya anaknya mewasiatkan puteranya dan seterusnya.

  1. Pertama, katakan kepada putera-puteramu, kamu jangan berasa tenang dengan dunia ini, kerana ketika saya berasa tenang dengan syurga ALLAH, maka ALLAH tidak reda mengusir saya daripadanya.
  2. Kedua, katakan kepada mereka : Jangan menurutkan hawa nafsu wanita, maka sesungguhnya saya telah menuruti hawa nafsu wanita sehingga makan buah daripada pohon yang dilarang dan kemudian menyesal.
  3. Ketiga, tiap amal yang hendak dikerjakan harus kamu perhatikan akibatnya, sebab andainya saya memikirkan akibatnya maka saya tidak akan menerima akibat ini.
  4. Keempat, jika hati tidak tenang, maka hindarkanlah perbuatan itu sebab ketika aku akan memakan buah larangan itu goncang hatiku, tetapi tidak aku hiraukan, maka aku menyesal.
  5. Kelima, bermusyawarahlah dalam semua urusan, sebab andainya aku musyawarahkan dengan malaikat tidak akan terkena akibat ini.

KISAH NABI NUH MERAUNG TIDAK HENTI-HENTI

     Nama asal nabi Nuh a.s. bukanlah Nuh, tetapi sesuatu nama lain yang tidak banyak diketahui, meskipun ALLAH s.w.t. menyebut nama Nuh dalam Al-Quran.
Dalam bahasa Arab, makna 'Nuh' ialah raungan atau tangisan yang berterusan. Mengapa nabi ALLAH itu dipanggil Nuh mempunyai kisahnya yang sangat menarik dan menjadi contoh yang berguna untuk umat manusia seluruhnya.
     Cerita nabi Nuh a.s. ini bermula pada suatu hari apabila seekor anjing yang sangat ganjil lalu di hadapannya. Rupa anjing itu tidak seperti anjing-anjing biasa. Ia bermata empat dan sudah tentu menarik perhatian ramai, termasuk nabi Nuh a.s. sendiri pada zaman itu.
Nabi Nuh a.s. pun menyuruh anjing bermata empat itu berhenti di depannya dengan agak kehairanan.
Nabi Nuh ;"Wahai anjing, aku lihat muka kau ini begitu hodoh, mata engkau empat tidak seperti anjing yang lain. Mengapa jadi begini?".
Anjing itu pun menjawab :"Kau tanyalah siapa yang menjadikan aku. Kau fikir aku yang menghendaki mukaku hodoh begini?".
Tanyalah Tuhan yang menjadikan aku dan juga yang menjadikan engkau?".
     Nabi Nuh a.s. pun meraung (menangis) mendengarkan jawapan anjing hodoh itu. Ia menangis tidak henti-henti. Terasa benar kesalahannya mengkritik kejadian Tuhan.
Dia meraung dan meraung lagi beberapa lama kerana menyedari dosanya itu. Tidak henti-henti dia memohon keampunan daripada ALLAH s.w.t. dengan tidak sengaja.
     Sejak itu namanya pun dipanggil Nuh (raungan) dan kekallah namanya Nabi Nuh diabadikan dalam Al-Quran dan diampunkan dosanya oleh ALLAH s.w.t.

ANTARA AKAL DAN SYAHWAT

     Setelah suami Rabi'ah al-Adawiyah mati, maka Hassan Basri dan teman-temannya datang ke rumahnya dan dipersilakan mereka masuk. Kemudian ditutup Rabi'ah tabir dan dia duduk di belakangnya seraya berkata :"Siapa yang paling pintar antara kalian maka dia adalah suami saya." Maka mereka menjawab :"Hassan al-Basri". Rabi'ah :"Bila dapat menjawab pertanyaanku maka aku adalah milikmu."
     Hassan segera berkata :" Tanyalah semoga aku dapat menjawab".
Rabi'ah :"Apabila aku mati dan keluar dari dunia, apakah aku Nanti keluar dengan beriman atau tidak?."
     Hassan :"Itu masalah ghaib dan tidak seorang pun yang mengetahui kecuali ALLAH."
Rabi'ah :"Bila aku telah terletak di ruang liang kubur dan ditanya Malaikat Mungkar dan Nangkir apakah aku nanti dapat menjawab atau tidak?."
     Hassan :"Itu juga hal yang ghaib dan tidak ada yang mengetahui kecuali ALLAH."
Rabi'ah :"Apabila orang yang telah dikumpulkan pada hari kiamat diberikan kepada mereka catatan amal masing-masing, dengan tangan kananku kah atau tangan kiriku kah aku akan menerima catatan amalanku?."
     Hassan :"Itu pun barang ghaib juga."
Lalu Rabi'ah berkata :" Hai Hassan, barang siapa tidak dapat menjawab empat pertanyaan yang saya ajukan jangan berfikir untuk dapat mengahwini saya."
Kemudian Rabi'ah berkata untuk terakhir kalinya :"Hai Hassan, dalam beberapa bahagiankah ALLAH mencipta akal?".
     "Sepuluh bahagian, sembilan untuk laki-laki dan satu jenis perempuan", jawab Hassan.
Rabi'ah :"Dalam berapa bahagiankah ALLAH mencipta syahwat?".
     Hassan :"Sembilan bahagian untuk wanita dan satu bahagian untuk laki-laki."
Rabi'ah :"Hai Hassan, aku dapat menguasai sembilan syahwat dengan satu bahagian akal, sedang kamu pihak lelaki tidak dapat menguasai satu bahagian syahwat dengan sembilan akal yang kamu dapat."
Dan keluarlah Hassan dari rumah Rabi'ah dengan tangis dan air mata yang bercucuran.

Cucur udang dan kangkung

BAHAN-BAHAN :

  • 1/2 kg tepung gandum
  • 3 tangkai kangkung (potong kecil)
  • 1/2 biji bawang besar (dadu)
  • 1 biji cili merah (hiris)
  • 1 cawan udang (buang kulit, potong 3)
  • 1/2 cawan tauge
  • 1 sdb serbuk pati ayam
  • 1 sdb serbuk penaik
  • sedikit garam dan serbuk kunyit
  • air suam secukupnya
  • minyak untuk menggoreng terendam
CARA-CARA :

  • Gaul bersama semua bahan kecuali minyak. Biarkan sebentar, kemudian goreng dalam minyak panas. Hidangkan dengan sos cili pilihan.

Ikan stim limau

BAHAN-BAHAN :

  • 1 ekor ikan jenahak putih sedang (dibersihkan & dikelar)
  • 2 biji asam boi (dilenyek)
  • 2 batang serai (dihiris nipis)
  • 5 ulas bawang putih + 8 biji cili api (ditumbuk)
  • 10 biji limau kasturi + 2 biji limau nipis (ambil jus)
  • 4 cm halia (hiris panjang)
  • sedikit garam dan gula
  • sedikit air
CARA-CARA :

  • Panaskan kukusan. Sementara itu, masukkan semua bahan ke dalam perut ikan, tuangkan jus limau dan kukus ikan sehingga masak. Sajikan panas.

Monday, July 4, 2011

Kangkung goreng kicap

BAHAN-BAHAN :

  • 1 ikat kangkung (potong kecil)
  • 1/2 cawan udang
  • 3 ulas bawang merah + 1 ulas bawang putih + 1 biji cili merah (tumbuk)
  • 4 biji tomato ceri (hiris)
  • sedikit garam
  • kicap manis ABC secukupnya
  • sedikit minyak untuk menumis
CARA-CARA :

  • Panaskan minyak, tumis bahan tumbuk hingga garing. Kemudian masukkan udang dan goreng sekejap. Tambahkan kangkung, tomato dan bahan perasa. Kacau sebentar dan terus angkat supaya kangkung dan tomato kekal rangup. 

Kobis masak air

BAHAN-BAHAN :

  • 3 helai kobis cina (potong kecil)
  • 1 biji cili merah (hiris)
  • 1 ulas bawang merah + 1 ulas bawang putih + 1 cm halia (hiris)
  • 2 cawan air
  • garam dan serbuk stok ayam secukupnya
  • sedikit minyak untuk menumis
CARA-CARA :

  • Tumis bahan hiris hingga wangi. Masukkan air, biarkan mendidih. Tambahkan kobis dan bahan perasa. Angkat dan sedia dihidangkan.

Thursday, June 30, 2011

PERKARA YANG DIBENCI DAN DISUKAI IBLIS

Dikisahkan dari Wahab bin Munabbih bahawa berkata ia : "ALLAH s.w.t. telah menyuruh iblis berjumpa dengan Rasulullah s.a.w. dan menjawab setiap soalan yang dikemukakan oleh Rasulullah s.a.w.. Kemudian iblis pun menyamar sebagai orang tua yang kelihatan cantik dan kemas bertemu dengan Rasulullah s.a.w.
     Apabila iblis berdiri depan Rasulullah s.a.w. maka baginda pun bertanya :"Siapakah kamu?."
Lalu iblis laknat berkata :"Aku adalah iblis yang dilaknat oleh ALLAH."
     Berkata Rasulullah s.a.w.:"Kenapa kamu datang kemari."
     Berkata iblis laknat :"Aku kemari adalah atas perintah ALLAH s.w.t. untuk menjawab segala pertanyaan kamu."
     Rasulullah s.a.w. mulakan pertanyaan :"Wahai iblis katakan kepadaku berapa banyakkah musuhmu dari umatku?" Berkata iblis laknat :"Musuhku yang terdiri dari umatmu itu ada 15 antaranya :

  1. Engkau sendiri adalah musuhku.
  2. Imam pemimpin yang adil.
  3. Orang kaya yang merendahkan diri kepada ALLAH s.w.t.
  4. Peniaga yang jujur.
  5. Orang alim yang khusyuk dalam mengerjakan sembahyang.
  6. Orang mukmin yang sentiasa memberi nasihat (ahli nasihat).
  7. Orang mukmin yang sentiasa berkasih sayang antara satu dengan lain.
  8. Orang yang sentiasa bertaubat.
  9. Orang yang sentiasa menjauhkan diri dari segala yang haram.
  10. Orang mukmin yang sentiasa bersuci.
  11. Orang mukmin yang sentiasa menyedekahkan hartanya kerana ALLAH (dermawan).
  12. Orang mukmin yang bagus akhlaknya.
  13. Orang mukmin yang bermanfaat kepada orang.
  14. Orang yang menghafal Al-Quran dan sentiasa membacanya.
  15. Orang yang bangun malam mengerjakan sembahyang ketika orang lain sedang nyenyak tidur.
Rasulullah s.a.w. bertanya kepada iblis laknat lagi :
"Wahai iblis laknat, katakan kepadaku berapa banyakkah rakan-rakanmu dari umatku?" Berkata iblis laknat :"Rakan-rakanku yang terdiri dari umatmu ialah 10 antaranya :

  1. Hakim yang menganiaya, iaitu tidak jujur dan tidak berlaku adil.
  2. Orang kaya yang sombong dan bongkak.
  3. Peniaga yang khianat, suka menipu dalam urusan jual beli.
  4. Peminum arak.
  5. Orang yang suka memutuskan tali persaudaraan.
  6. Orang yang mengumpul harta dari jalan riba.
  7. Orang yang berlaku khianat memakan harta anak yatim.
  8. Orang yang memandang ringan dalam hal mendirikan solat (suka melambat-lambatkan solat).
  9. Orang yang enggan mengeluarkan zakat.
  10. Orang yang sangat suka berkhayal.
Kesemua mereka ini adalah sahabat-sahabatku."

SEPULUH JENIS ORANG ISLAM YANG KEJAM

Sufyan Athsauri berkata :
Sepuluh macam daripada kekejaman ialah :

  1. Seorang yang berdoa untuk dirinya sendiri dan tidak mendoakan anak-anaknya dan kaum mukmin.
  2. Seorang yang pandai membaca Al-Quran, tetapi tiap harinya tidak membaca seratus ayat.
  3. Seorang yang masuk masjid lalu keluar dan tidak sembahyang dua rakaat. (Sunat Tahyatul-Masjid)
  4. Seorang yang berjalan melalui kuburan kemudian tidak memberi salam dan mendoakan ahli kubur.
  5. Seseorang yang sampai di sebuah kota pada hari Jumaat kemudian tidak sembahyang jemaah.
  6. Seseorang yang di daerahnya di datangi oleh seorang alim, tiba-tiba tidak mahu belajar apa-apa daripadanya.
  7. Dua orang yang bertemu di perjalanan dan masing-masing tidak menanyakan nama kawannya itu.
  8. Seorang diundang pada jamuan tiba-tiba tidak datang.
  9. Pemuda yang tidak ada kerja dan tidak mahu belajar ilmu dan kesopanan.
  10. Seorang yang kenyang sedang dia tahu bahawa tetangganya lapar, tetapi tidak diberi dari makannya itu.