Wednesday, November 9, 2011

KISAH NABI : IKAN MASAK HIDUP SEMULA

Kisah ini dipetik dari surah Al-Kahfi dari ayat 60 dan hadis Nabi Muhammad SAW yang menceritakan kejadian itu kepada para sahabatnya, cerita ini memberikan pengajaran yang berguna untuk kita, bahawa setiap kisah akan membawa kita memikirkan tentang sesuatu kejadian itu ada hikmahnya bahawa setiap insan ada peranan masing-masing, ALLAH menganugerahkan kelebihan kepada seseorang manusia seperti kepakaran tertentu, seperti juga kepada setiap para nabi ada kelebihan dan mukjizat tersendiri dan ada yang mempunyai beberapa mukjizat seperti Nabi Muhammad SAW.
          Mukjizat Nabi Musa ialah doanya dimakbulkan segera oleh ALLAH, sesiapa yang didoakan akan mendapat rezeki atau sebaliknya mengikut apa yang dipohonnya, seperti ia berdoa untuk Qarun supaya menjadi kaya raya selepas rayuan Qarun kepadanya, ia juga berdoa kehancuran Qarun selepas Qarun mengabaikan pembayaran zakat hartanya. Tugas Jibrail as selain membawa wahyu ALLAH , ia juga akan memberitahu jika doa Nabi Musa sudah dimakbulkan.
          Di dalam tafsir Nurul Ehsan dan dalam kitab-kitab yang lainnya ada menceritakan kisah kejadian yang terjadi antara Nabi Musa dan Nabi Khaidir, kejadian ini berlaku sesudah kejadian Firaun mati lemas di dalam gelombang air laut yang bertangkup setelah laut itu dibelah dengan tongkat Nabi Musa iaitu mukjizat yang dikurniakan ALLAH.
          Setelah Firaun dan bala tenteranya mati dalam gelombang air laut, tugas Nabi Musa ialah mengajar kaum Bani Israil mengenali ALLAH dan mempercayai balasan buruk dan baiknya di akhirat nanti, dan juga cara beribadat kepada ALLAH dengan cara yang betul. Pada suatu hari dalam sesi dialog ada seorang yang bertanyakan kepada Nabi Musa adakah orang lain yang lebih hebat daripadamu?
          Mungkin aku seorang yang lebih dari orang lain pada masa sekarang. Apapun jawapan Nabi Musa itu bukan menyombong diri tetapi kerana ia tidak pernah bertanya perkara itu kepada Jibrail. Tiba-tiba Jibrail datang menemui Nabi Musa dan memberitahu bukan kamu yang paling hebat di zamannya, bahkan ada seorang yang diberikan ALLAH ilmu firasat yang tinggi dan tugas yang lebih berat, tetapi ia hanya seorang nabi bukan seorang Rasul, tugasnya berbeza dengan tugasmu, walaupun begitu ia menjalankan tugasnya dengan caranya tersendiri, namanya Nabi Khaidir.
          Nabi Musa tidak menyangka di zamannya ada seorang lagi nabi yang mempunyai ilmu melebihi ilmunya, oleh itu Nabi Musa meminta izin dari ALLAH untuk menemani Nabi Khaidir dan mempelajari ilmu yang baru. Setelah itu Jibrail datang  memberitahu kepada Nabi Musa bahawa Nabi Khaidir boleh ditemui di suatu tempat yang jauh, iaitu di semenanjung di antara dua buah laut (Teluk Aqabah dan Teluk Suez sekarang), tambah Jibrail tanda-tanda kedatangan Nabi Khaidir ialah ikan yang sudah dimakan seengahnya akan hidup kembali dan melompat masuk ke dalam air laut, jadi dengan syarat Nabi Musa mesti membawa makanan ikan yang telah dimasak dari ikan itu mesti dimakan di pertemuan laut dan ikan yang telah dimakan dibiarkan hidup kembali setelah terkena  percikan air setelah ia kembali hidup dan meloncat ke dalam air itulah tanda-tanda akan muncul Nabi Khaidir di tempat itu.
          Nabi Musa mempersiapkan diri dengan ditemani anak kakaknya Maryam iaitu Nabi Yusyak, mereka berdua telah membawa ikan yang sudah dimasak dan roti yang diletakkan di dalam bakul yang diperbuat dari pelepah tamar, mereka berdua memulakan perjalanan menuju ke semenanjung Sinai tempat yang dinyatakan oleh Jibrail kepada Nabi Musa.
          Setibanya di tempat yang dituju, Nabi Musa meminta Nabi Yusyak membentangkan hamparan di atas batu besar yang rata di tepi pantai tempatnya  antara Teluk Aqabah dan Teluk Suez, mereka makan dan berehat hingga tertidur. Ketika Nabi Musa sedang tidur tiba-tiba ikan yang telah dimakan sebelah kirinya yang tinggal sebelah kanannya terkena percikan air menyebabkan ikan itu hidup kembali dan mula meloncat keluar dari bakul dan terus masuk ke dalam tanah yang basah kemudian terus masuk ke dalam air laut, kejadian itu disaksikan oleh Nabi Yusyak sendiri tetapi Nabi Yusyak terlupa untuk memberitahu kepada Nabi Musa.
           Setelah Nabi Musa terjaga ia telah mengarahkan anak saudaranya berkemas untuk meneruskan perjalanan, di dalam perjalanan Nabi Musa terasa lapar dan meminta dibuka bekalan yang dibawa tadi, Setelah itu barulah Nabi Yusyak teringat kejadian setengah ikan tersebut telah meloncat keluar dari bakulnya, kata Nabi Musa kenapa kamu tidak memberitahu perkara yang telah berlaku kerana aku memang menunggu kejadian itu, kerana itulah tandanya akan muncul Nabi Khaidir nanti, mari kita kembali segera ke tempat kita bermalam itu mudah-mudahan kita dapat bertemu dengan Nabi Khaidir.
          Setelah mereka kembali ke tempat mereka berehat didapati ada seorang pemuda dari hamba ALLAH  yang diberikan ALLAH kepadanya ilmu ladunni iaitu ilmu firasat yang paling tinggi, (didalam kitab Abul Abbas yang menceritakan nama sebenarnya Nabi Khaidir ialah Balya bin Malka) Nabi Musa memberi salam dan dijawab oleh Nabi Khaidir, waalaikumussalam wahai Nabi Bani Israil, Nabi Musa tercengang dan berkata, bgaimana engkau tahu siapa aku sebelum aku memberitahu kepadamu, jawab Nabi Khaidir sebenarnya aku telah diberitahu oleh ALLAH yang mewahyukan kepadaku melalui bacaan firasat yang aku miliki, ia adalah berbeza denganmu.
          Nbi Musa berkata, bolehkah aku menemanimu dalam perjalananmu sekarang, supaya aku dapat mempelajari selok belok ilmu yang diberikan ALLAH kepadamu, jawab Nabi Khaidir, sebenarnya aku bimbang engkau tidak sanggup bersabar dengan cara aku mengendalikan sesuatu masalah, jawab Nabi Musa aku akan bersabar menghadapinya insya Allah dan aku tidak akan melanggar perintahmu. Nabi Khaidir meletakkan syarat kepada Nabi Musa bahawa di dalam perjalanan nanti jangan ada perbahasan atau tentangan setiap kejadian yang telah terjadi akan aku terangkan suatu masa nanti dan satu ketika akan diceritakan apa-apa perkara yang menjadi kemusykilan dalam perjalanan itu nanti.
          Nabi Musa berpisah dengan temannya Yusyak untuk mengikuti perjalanan Nabi Khaidir, setibanya di satu pengkalan ia telah menyewa sebuah sampan yang cantik dan menarik, mereka menyeberang Teluk Aqabah menuju negeri Syam, setibanya di seberang Nabi Khaidir telah mengikat perahu itu ke sebuah batu, Nabi Khaidir mengeluarkan pisaunya lalu merosakkan sampan itu dengan menebuk lantai sampan sehingga sampan itu tenggelam kerana dimasuki air.
          Nabi Musa pertikaikan dengan mengatakan perbuatan ini adalah salah di sisi agama kerana merosakkan harta seseorang, jawab Nabi Khaidir, engkau sudah melanggar perjanjian, tidakah sudah aku katakan engkau tidak akan sanggup bersabar dengan tindakan aku, Nabi Musa berasa bersalah dengan berkata, aku harap engkau memaafkan dengan keterlanjuranku kerana aku terlupa dengan syarat perjanjian tadi, jawab Nabi Khaidir, jika engkau masih mahu mengikutiku, selepas ini jangan buat hal yang menyusahkan ku lagi.
          Mereka berdua berjalan kaki melewati beberapa buah perkampungan sehinggalah mereka bertembung sekumpulan kanak-kanak sedang bermain-main, di antaranya ada seorang kanak-kanak yang sangat elok rupanya, Nabi Khaidir menghampiri kanak-kanak itu lalu mengepak kepala kanak-kanak tersebut hingga  patah dan kanak-kanak tersebut mati, Nabi Musa terkejut dan berkata, wahai Khaidir engkau sekarang telah membunuh seorang insan yang suci dengan tiada sebab, perkara ini ialah perbuatan mungkar (kesalahan dalam semua agama), Nabi Khaidir terlalu marah dan berkata tidakkah aku katakan yang engkau tidak akan sanggup bersabar dengan perbuatan aku, Nabi Khaidir menambah lagi, aku bagi kamu peluang kamu sekali lagi jika kamu masih mempertikaikan cara aku bertindak, kita berdua tidak layak berkawan lagi.
          Mereka berdua meneruskan perjalanan sehingga tiba di sebuah kampung yang penduduknya tidak suka kepada pengunjung, mereka berdua cuba mendapatkan makanan untuk dimakan tetapi tidak diendahkan oleh penduduk di sana. Mereka singgah di sebuah bangunan yang hampir roboh dindingnya lalu Nabi Khaidir mengumpul pasir, batu dan kapur lalu diadun menjadi simen lalu ia memperbaiki dinding yang hampir roboh itu, Nabi Musa berkata sepatutnya engkau menuntut upah memperbaiki dinding ini daripada pemiliknya, kata Nabi Khaidir, inilah masanya perpisahan antara kita berdua untuk mengambil jalan masing-masing, kerana engkau telah melanggar perjanjian yang telah dibuat, engkau tidak layak untuk berteman denganku dalam misiku yang berlainan sekali dengan misimu.
          Sekarang akan aku beritahu kepada engkau tentang apa sebenarnya yang telah terjadi kerana hanya kita berdua sahaja berada di sini  tanpa didengari oleh sesiapa, semenjak engkau menemaniku dalam perjalanan kata Nabi Khaidir, setiap yang aku lakukan adalah di atas arahan ALLAH melalui wahyu yang berbeza dengan wahyu yang engkau terima, ia juga bersebab dan rahsianya tidak boleh diberitahu pada ketika itu kepada sesiapapun atas arahan ALLAH supaya rahsianya menjadi misteri dan tidak boleh dieksploitasikan oleh syaitan yang selalu merisik dan mendengar untuk menggagalkan sesuatu misi yang aku lakukan.
          Adapun perahu yang aku tebuk itu ialah milik seorang miskin yang bekerja di laut menjadikan perahu itu sebagai mata pencarian rezeki dengan menyewanya kepada orang, aku diperintahkan Tuhan mencacatkan perahu itu kerana raja mereka zalim suka merampas perahu rakyat yang cantik-cantik, dengan tindaka aku itu pemiliknya dapat menggunakan perahu itu lagi setelah ditampal ditempat yang bocor.
          Adapun kanak-kanak yang aku bunuh itu mempunyai ibu bapa yang beriman, jika dibiarkan ia membesar kelak ia akan menyesatkan dan menjadikan kedua orang tuanya sebagai orang kafir kerana kanak-kanak itu dikuasai oleh syaitan sejak dari dalam kandungan lagi, dengan tindakan aku itu dapat menyelamatka dia dan kedua ibu bapanya dari api neraka dan ALLAH akan menggantikan mereka berdua dengan anak-anak yang soleh yang terlebih baik dari kanak-kanak itu, walaupun kedua ibu bapa terlalu sedih dengan kematian anaknya kerana kasih sayangnya melebihi segalanya.
          Di dalam hadis nabi mengatakan Tuhan menggantikan dengan anak perempuan yang akhirnya berkahwin dengan seorang Nabi ALLAH dan mendapat anak dua belas orang kesemuanya menjadi nabi dan keturunannya sebanyak tujuh puluh para Nabi ALLAH pula. Adapun dinding bangunan yang hampir roboh pula milik kepada dua anak yatim yang didiskriminasi oleh kaum kerabatnya di kota ini.
          Di bawah dinding tersebut ada harta peninggalan bapa mereka, disebabkan bapa mereka berdua ialah orang yang soleh, Tuhan mewahyukan kepadaku untuk memperbaiki dinding tersebut agar jangan ia terbongkar dan dirampas oleh orang-orang yang tidak bertanggung jawab, ALLAH ingin melindungi harta tersebut sehingga kedua anak-anak yatim menjadi dewasa dan dapat mengeluarkan hartanya kelak sebagai salah satu rahmat dari ALLAH.
          Sesungguhnya apa yang aku lakukan bukan kehendak peribadiku tetapi ia adalah perintah dari ALLAH semata-mata. Itulah dia takwl dari kejadian yang engkau dapat menahan sabar dalam menghadapi berbagai-bagai situasi. Kita mesti senyum dan tenang  tetapi bukan berpesta, kita mesti melakukan pekerjaan dengan ada tujuannya bukan melakukan pekerjaan dengan tiada tujuan, dan jangan sekali-kali kita mencaci maki dan mengaibkan orang yang melakukan dosa, dan selalulah menangisi dosa yang kita telah lakukan.  

No comments:

Post a Comment