DIRIWAYATKAN bahawa Nabi SAW telah bersabda :
"Ketahuilah bahawa bulan Rajab itu adalah bulan ALLAH, maka barangsiapa yang berpuasa satu hari dalam bulan Rajab dengan ikhlas, maka pasti ia mendapat keredhaan yang besar dari ALLAH SWT.
Barangsiapa yang berpuasa dua hari dalam bulan Rajab mendapat kemuliaan di sisi ALLAH SWT.
Barangsiapa berpuasa tiga hari dalam bulan Rajab, maka ALLAH akan menyelamatkannya dari bahaya dunia, seksa akhirat, dari terkena penyakit gila, penyakit putih-putih di kulit badan yang menyebabkan sangat gatal dan diselamatkan dari fitnahnya syaitan dan dajjal.
Barangsiapa berpuasa tujuh hari dalam bulan Rajab, maka ditutupkan tujuh pintu neraka jahanam.
Barangsiapa berpuasa lapan hari dalam bulan Rajab, maka dibukakan lapan pintu syurga baginya.
Barangsiapa yang berpuasa sepuluh hari dalam bulan Rajab, permintaannya akan dikabulkan oleh ALLAH SWT.
Barangsiapa berpuasa lima belas hari dalam bulan Rajab, maka ALLAH mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu dan menggantikan kesemua kejahatannya dengan kebaikan, dan barangsiapa yang menambah (hari-hari puasanya) maka ALLAH akan menambahkan pahalanya."
Sabda Rasulullah SAW :"Pada malam Mikraj, saya melihat sebuah sungai yang airnya lebih manis dari madu, lebih sejuk dari air ais dan lebih harum dari minyak wangi, lalu saya bertanya Jibril as :"Wahai Jibril, untuk siapakah sungai ini?"
Berkata Jibril as :"Ya Muhammad, sungai ini adalah untuk orang yang membaca selawat untuk engkau di bulan Rajab."
Ada riwayat mengatakan bahawa setelah bulan Rajab itu selesai, maka dia naik ke langit dan ALLAH SWT berfirman kepadanya :"Wahai bulanKu, adakah manusia menyukai kamu dan mengagungkan kamu?"
Rajab tidak berkata apa-apa sehingga ditanya sebanyak tiga kali baru dia menjawab :"Tuhanku, Engkau Maha menutupi segala cela dan telah Engkau perintahkan makhluk Engkau agar menutupi cela orang lain. Dan RasulMu telah menamakan saya 'si pekak', saya mendengarkan ketaatan makhluk Engkau dan tidak mendengar derhaka mereka. Maka sebab itulah Rajab dinamakan si pekak."
Kemudian ALLAH SWT berfirman :"Engkau adalah bulan Ku yang tercela dan pekak dan para hambaKu juga tercela, maka Ku terima mereka bersama cela mereka dengan sebab kemuliaan, sebagaimana Aku pun menerima kamu sedangkan kamu juga tercela. Aku mengampuni mereka sebab penyesalan mereka yang hanya sekali padamu (di bulan Rajab) dan Aku pun tidak mencatat perbuatan derhaka mereka di waktumu (di bulan Rajab)."
Diterangkan sebab dinamakan bulan Pekak, kerana malaikat Kiraaman Kaatibin biasanya mencatatkan semua kejahatan dan kebaikan di semua bulan, tetapi dalam bulan Rajab mereka tidak mencatatkan kejahatan, hanya yang mereka catatkan kebaikan sahaja. Kerana pada bulan Rajab mereka tidak dengar kejahatan bulan Rajab yang harus dicatat.
Dalam sebuah hadis diterangkan bahawa apabila telah datang hari kiamat, maka ada suara memanggil :
" Di mana para ahli Rajab (orang yang berpuasa, solat malam, berselawat kepada Rasulullah SAW dan memperbanyakkan beribadat dalam bulan Rajab)? Lalu memancarlah sinar, kemudian diikuti oleh Jibril as dan Mikail as, diikuti oleh para ahli Rajab. Kesemua mereka melalui titi Siratulmustaqim seperti kilat menyambar. Kemudian mereka sujud kepada ALLAH SWT kerana selamat menyeberangi titi Siratulmustaqim. Lalu ALLAH SWT berfirman :"Wahai para ahli Rajab, angkatlah kepalamu pada hari ini, sebab kamu sekalian telah bersujud di dunia di bulan Rajab Ku dan pergilah ke tempat masing-masing."
Dalam sebuah riwayat Tsauban bercerita :
"Ketika kami berjalan-jalan bersama Nabi SAW melalui sebuah kubur, lalu Nabi SAW berhenti dan baginda menangis dengan amat sedih, kemudian baginda berdoa kepada ALLAH, lalu ALLAH meringankan seksa ke atas mereka."
Lalu Rasulullah SAW bersabda :"Wahai Tsauban, mereka itu sedang diseksa di dalam kubur mereka, dan saya berdoa kepada ALLAH lalu ALLAH meringankan seksa ke atas mereka."
Sabda Rasulullah SAW lagi :"Wahai Tsauban, kalaulah mereka ini mahu berpuasa satu hari sahaja dalam bulan Rajab, dan mereka tidak tidur semalam sahaja pada bulan Rajab nescaya mereka tidak akan diseksa di dalam kubur."
Tsauban bertanya :" Ya Rasulullah SAW, apakah hanya berpuasa satu hari dan beribadah satu malam dalam bulan Rajab sudah boleh mengelakkan dari seksa kubur?"
Sabda Rasulullah SAW :" Wahai Tsauban, demi ALLAH Zat yang telah mengutus saya sebagai Nabi, tiada seorang muslim lelaki dan perempuan yang berpuasa satu hari dan mengerjakan solat malam sekali dalam bulan Rajab dengan niat kerana ALLAH, kecuali ALLAH mencatat baginya seperti berpuasa satu tahun dan solat malam satu tahun."
Sabda Rasulullah SAW :"Sesungguhnya Rajab adalah bulan ALLAH, Syaaban adalah bulan aku (Rasulullah SAW) dan bulan Ramadan adalah bulan umatku."
"Semua manusia akan berada dalam keadaan lapar pada hari kiamat, kecuali para Nabi, keluarga Nabi dan orang-orang yang berpuasa pada bulan Rajab, Syaaban dan Ramadan. Maka sesungguhnya mereka kenyang serta tidak ada rasa lapar dan haus bagi mereka."
No comments:
Post a Comment