Wednesday, October 26, 2011

JIBRIL MENGAJAR TASBIH, TAHMID DAN TAKBIR

Kehidupan Ali bin Abi Talib ra sangat sederhana sekali. Dia memang salah seorang di antara para sahabat yang miskin. Ini dapat dimaklumi kerana Ali tiada masa untuk bekerja atau berniaga bagi mencari duit seperti sebahagian sahabat-sahabat lainnya.
Masanya dihabiskan dengan peperangan dan perjuangan mendampingi Rasulullah SAW. Kerana kehidupannya yang sibuk dengan peperangan itulah Ali tidak sempat untuk memikirkan perkahwinan. Dan apabila Rasulullah telah bersedia untuk mengahwinkannya dengan Fatimah, ternyata Ali tidak ada wang untuk mas kahwin. Terpaksa dia menjual baju perangnya untuk tujuan tersebut. Hanya sehelai baju perang inilah yang ada pada sahabat besar itu.
     Apabila Fatimah memasuki rumah Ali, dia hanya berbekalkan selimut, bantal yang kasar, alat penggiling gandum, dua biji gelas dan beberapa botol minyak wangi. Kerana kemiskinannya Ali tidak sanggup menyediakan seorang pembantu rumahtangga. Hingga segala urusan rumahtangga dikerjakan sendiri oleh Fatimah.
     Sewaktu tidak berperang atau tidak dipanggil oleh Rasullullah, Ali sentiasa membantu Fatimah di dapur seperti menggiling gandum atau membakar roti. Ali sangat kasihan kepada Fatimah yang sejak kecil lagi telah bekerja kuat mengurus rumahtangga Rasulullah SAW sampailah kini menjadi isterinya.
     Suatu hari, Ali baru pulang dari berperang bersama Rasulullah SAW dan terus masuk ke rumahnya. Di dapatinya Fatimah sedang bertungkus lumus menggiling gandum untuk dijadikan tepung. Lepas itu di adunnya lagi untuk menjadi roti. Penatlah Fatimah.
     Melihat itu, Ali merasa kasihan. Dia sedar bahawa Rasulullah SAW ada membawa ramai orang tawanan dalam peperangan yang diikuti oleh Ali sendiri. Oleh itu Ali mencadangkan kepada Fatimah agar meminta seorang tawanan sebagai hamba untuk dijadikan pembantu. Fatimah menyetujuinya.
     Suatu hari pergilah Fatimah ke rumah Rasulullah SAW untuk tujuan yang dimaksud. Sesampainya di rumah baginda, Fatimah mengucapkan salam dan dijawab oleh baginda. Rasulullah bertanya apa maksud kedatangannya, Fatimah menjawab hanya ingin memberi salam sahaja. Ternyata Fatimah malu dan tidak mahu meminta pada Rasulullah. Dia pun pulang begitu sahaja. Tidak berapa lama kemudian Fatimah datang lagi ke rumah Rasulullah SAW bersama Ali. Kali ini Ali menyampaikan hajat Fatimah kepada Rasulullah SAW.
     Tapi apa kata Rasulullah SAW kepada mereka berdua?
     Baginda bersabda :"Demi ALLAH...Tidak! Aku tidak akan memberi kalian walau seorang pun. Tawanan itu sudah aku jual untuk memberi makanan kepada ahli Suffah yang kelaparan. Mereka ada lapan puluh orang."
     Hasrat Ali dan Fatimah untuk mempunyai pembantu tidak tercapai. Keduanya menerima keadaan ini dengan ikhlas. Barangkali di sebalik itu ada hikmah yang lebih besar.
     Tiba-tiba Rasulullah SAW datang ke rumah Ali dan memanggil-manggil Ali dan Fatimah.
     Rasulullah SAW bersabda :"Mahukah kalian aku ajarkan sesuatu yang lebih baik dari permintaan mu tadi?"
     "Tentu ya Rasulullah."jawab Ali dan Fatimah. Rasulullah SAW bersabda :"Ini aku terima dari Jibril as.Setiap kali kalian selesai solat, bacalah tasbih sepuluh kali, tahmid sepuluh kali dan dan takbir sepuluh kali. Kemudian ketika hendak tidur, bacalah tasbih, tahmid dan takbir masing-masing 33 kali."
     Wirid itu dimaksudkan untuk mengatasi rasa penat dan letih dalam menguruskan rumahtangga. Sejak itu kedua-dua suami isteri itu pun mengamalkan apa yang diajarkan oleh Nabinya. 35 tahun kemudian Ali mengakui kemujaraban zikir tersebut.
     Ali berkata :"Demi ALLAH, benar-benar mujarab. Setelah Rasulullah SAW mengajarkan itu kepada kami, kami tidak pernah pun meninggalkannya hingga sekarang....."
     Bahkan salah seorang sahabat Ali ada yang berkata sampai di perang Siffin pun Ali mengamalkan zikir itu.

No comments:

Post a Comment