Monday, October 17, 2011

MALAIKAT MUNGKAR DAN NANGKIR MENYOAL INSAN YANG BERIMAN

Sewaktu seseorang berada di dalam kubur akan datanglah dua malaikat tiap-tiap seorang yang baru saja dikuburkan iaitu Malaikat Mungkar dan Nangkir. Kedua-dua malaikat ini sengaja ditugaskan oleh ALLAH untuk menanyakan setiap mayat yang baru saja dikuburkan itu.
     Di antara riwayat ada yang mengatakan bahawa malaikat Mungkar dan Nangkir itu sangat hitam dan biru kedua maanya. Serta mempunyai suara yang besar dan kuat lagi menakutkan. Pandangannya tajam seperti sinar kilat yang menyambar.
     Malaikat Mungkar dan Nangkir akan mendatangi setiap manusia yang baru saja dikuburkan. Mukmin atau kafir akan didatanginya dalam bentuk yang sama. Kedatangan kedua malaikat itu sesudah manusia yang mati itu baru saja selesai penguburan dan penghantar-penghantarnya berangkat pulang.
     Yang pertama sekali keduanya akan datang kepada si mati dari sebelah kepalanya. Bagi orang mukmin kedatangan kedua malaikat itu tidak akan menakutkannya kerana amal solatnya akan muncul sambil berkata : Jangan kamu datang dari pihakku kerana kepala ini sentiasa bersujud menyembah ALLAH. Kepala ini sentiasa menjunjung perintah ALLAH dengan taat dan selalu mengingati ALLAH disetiap waktu.
     Oleh kerana tentangan dari amal solat kedua malaikat mundur dari kepala si mati. Kemudian keduanya datang lagi dari pihak kaki. Di waktu itu amal kebajikan yang lainnya akan muncul dan berkata : Jangan datang dari pihakku kerana kaki ini sentiasa berjalan ke tempat ibadat, sama ada di waktu gelap malam adakalanya terpijak lumpur di waktu hujan. Dan adakalanya memijak pasir panas di waktu panas terik matahari dan sentiasa datang ke masjid atau majlis ilmu serta sentiasa berusaha mencari rezeki yang halal yang diredhai oleh ALLAH.
     Lalu kedua malakat berundur dari pihak kaki. Kemudian keduanya mencuba lagi datang dari sebelah kanan. Pada saat itu amal sedekahnya berkata : Jangan datang dari pihakku, kerana tangan ini sentiasa memberikan sedekah kepada fakir miskin dan menyayangi anak yatim. Tangan ini sentiasa berusaha mencari rezeki dan mengambil yang halal, lalu kedua malaikat itu berundur.
     Begitulah keadaannya terus menerus, kedua malaikat itu cuba hendak mendekati si mati dari pihak yang mana saja, akan tetapi setiap kali kedua malaikat itu datang akan muncullah segala amal soleh yang pernah dibuat oleh si mati semasa dia hidup di dunia.
     Amal puasa akan ikut membela seseorang dengan berkata : Jangan datang dari pihakku kerana kami telah berlapar-lapar dan dahaga sepanjang bulan Ramadan untuk mendapatkan kasih sayang ALLAH dan keredhaanNya. Kami taati perintah ALLAH dan kami jauhi laranganNya.
     Semua amal soleh si mati akan ikut menjelma datang membela si mati dari apa saja yang menakutkan dan mengerikan di dalam kubur. Seluruh amal soleh akan menjadi kawan yang sangat setia di dalam kubur.
     Sesudah itu barulah si mati terbangun seolah-olah baru terbangun dari tidur sambil bertanya kepada kedua malaikat. Apakah maksud kamu datang menemui saya ? Kami datang atas perintah ALLAH untuk menanyakan sesuatu tentang agama engkau.
     Segala pertanyaan dari kedua malaikat, si mati akan menjawab dengan gagah dan lancar. Sedikitpun dia tidak berasa takut dan gentar kerana di sampingnya ramai teman-teman yang mendampinginya yang terdiri dari seluruh amal solehnya sebagai bukti dan saksi dari kebenarannya dalam bentuk yang nyata.
     Itulah pertolongan pertama yang akan diperolehi oleh orang mukmin di dalam kubur. Demikian seterusnya sampai ke alam Mahsyar dan hari kiamat. Seluruh amal soleh akan terus menyertainya.

No comments:

Post a Comment