Monday, August 27, 2018

Urap kacang botor

 BAHAN-BAHAN :
7 tangkai kacang botor (hiris nipis)
secekak daun selom (mayang halus)
1 biji mangga mengkal (cincang kasar)
2 pokok cekur (mayang daun)

SANGAI KERING & TUMBUK :
2 batang serai (mayang)
2 ulas bawang merah (hiris)
2 tangkai cili merah (hiris)
6 tangkai cili api
ubi cekur
2cm belacan
1/2 biji kelapa parut putih


 CARA :
Gaul semua bahan dan perasakan dengan garam bukit dan juga gula secukup rasa.
Jika suka sedikit masam bolehlah masukkan sedikit jus limau kasturi @ limau nipis.
Enak dinikmati bersama nasi panas dan juga asam pedas.

Sunday, August 26, 2018

Jemput-jemput bilis

 
 BAHAN-BAHAN :
3 1/2C tepung gandum cap ros @ bakers choice (anggaran)
2 tsp serbuk penaik
segenggam ikan bilis padi (basuh bersih)
1/2 biji bawang besar (mayang halus)
1 tangkai cili kering (gunting nipis-nipis)
garam bukit/gula secukup rasa
air tapis suam panas secukupnya
minyak untuk menggoreng
cili sos @ sambal tomato untuk cicah

CARA-CARA :
Bancuh tepung bersama ikan bilis, bawang, cili kering dan juga air suam panas secukupnya.
Masukkan serbuk penaik, garam dan juga sedikit gula.
Ketepikan 20 minit.
Panaskan minyak untuk menggoreng terendam.
Basuh tangan bersih-bersih dan ambil sedikit adunan menggunakan hujung jari.
Masukkan adunan sedikit-sedikit ke dalam kuali dan goreng sehingga keemasan.

Balik-balikkan jemput-jemput supaya masak sekata.

Angkat dan susun di atas redai supaya kurang berminyak.

Hidangkan bersama secawan teh.


Saturday, August 25, 2018

Jeruk pauh



BAHAN-BAHAN :
20 biji mangga epal muda
450g garam halus
air secukupnya untuk merendam mangga

BAHAN SIRAP :
5kg gula pasir
1 liter air tapis

CARA-CARA :
Kupas mangga dan belah jangan terlalu nipis.

masukkan ke dalam besen besar dan taburkan dengan garam.

Rendam dengan air separas mangga.
Ketepikan 8 jam @ semalaman.
Sementara itu sediakan sirap gula dengan cara mencairkan gula bersama air sehingga gula hancur sepenuhnya.
Ketepikan.

Besoknya bilas mangga sebanyak 3 kali sehingga hilang  garam.
Susun mangga ke dalam bekas dan tuangkan sirap gula yang telah sejuk.

Biarkan di dalam peti sejuk selama 3-4 hari sebelum sedia dimakan.
Jika dibiarkan pada suhu bilik, sirap jeruk hendaklah dipanaskan setiap hari.
Bila sejuk barulah dimasukkan kembali ke dalam balang.

***jeruk mangga ini sentiasa rangup walaupun tanpa penggunaan air kapur. Walaupun saya selalu menjeruknya tetapi saya jarang menikmatinya kerana ianya macam biskut  chipsmore..kejap ada kejap xde***

Friday, August 24, 2018

Bubur ayam @ nasi air

 
BAHAN BUBUR :
2 C beras wangi hancur
10c air tapis
20g halia tua (hiris)

CARA-CARA :
Masak kesemua bahan sehingga hancur dan menjadi bubur.
Ketepikan.


BAHAN SUP :
800g hirisan ayam bersama tulang
200g cendawan shitake segar (belah 4)
20g halia tua (ketuk)
1 bungkus sup bunjut
1 pokok daun sup bersama akar & batang (bersihkan akar untuk sup)
20g ketumbar Vietnam @ sawtooth
garam laut secukup rasa
1500ml air tapis

CARA-CARA :
Rebus kesemua bahan kecuali daun ketumbar Vietnam, daun & batang daun sup sehingga mendidih dan ayam lembut.
Perasakan dan taburkan batang, daun sup dan juga daun ketumbar sejurus sebelum menghidang.



BAHAN MINYAK BAWANG :
2 labu bawang putih (cincang)
1 cawan minyak masak 

CARA-CARA :
Masukkan minyak dan bawang cincang ke dalam periuk kecil.
Masak di atas api perlahan sehingga bawang kekuningan dan garing.
Tapis bawang goreng dan ketepikan minyaknya untuk digunakan kemudian.


Untuk menghidang, masukkan bubur ke dalam mangkuk.
Curahkan kuah sup, taburkan bawang putih goreng dan masukkan juga sesudu minyak bawang. Taburkan juga dengan daun sup, daun ketumbar dan sedikit kepingan cili Thai untuk rasa yang lebih pedas.



Monday, July 23, 2018

Kek tapai ubi

BAHAN-BAHAN :
150g mentega
5 biji telur saiz A
200g gula kastor (kurangkan jika tak suka manis)
sedikit prun kering untuk hiasan (pilihan)

DIAYAK :
1 tsp serbuk penaik
175g tepung gandum
25g susu tepung

DIKISAR :
200g tapai ubi
1 Tbsp susu pekat manis
60ml susu cair


CARA-CARA :
Putar mentega bersama gula sehingga gebu.
Pecahkan telur sebiji demi sebiji dan putar lagi sehingga kembang dengan kelajuan sederhana.
Masukkan bahan ayak berselang-seli dengan bahan kisar sedikit demi sedikit.
Kaup balik adunan sehingga bercampur rata.
Tuangkan adunan ke dalam acuan yang telah dilengser dengan mentega dan ditaburi sedikit tepung.
Susun prun dan masukkan ke dalam ketuhar yang telah dipanaskan terlebih dahulu.
Bakar menggunakan api atas bawah 170'c selama 40 minit @ sehingga masak.

Thursday, July 5, 2018

Acar limau

 BAHAN-BAHAN :
14 biji limau jeruk (belah 8, rendam semalaman. Bilas)
2 kuntum bunga lawang
1 batang kecil kulit kayu manis
1 Tbsp serbuk kari ikan Baba's
2 Tbsp cuka
2 Tbsp cili boh Puteri
8 Tbsp gula @ ikut citarasa
garam bukit jika perlu
minyak untuk menumis

BAHAN KISAR :
1 labu bawang besar
2 ulas bawang putih
40g halia bentong


 CARA-CARA :
Basuh limau jeruk bersih-bersih sehingga kurang masin.
Panaskan sedikit minyak di dalam kuali dan tumis kulit kayu manis bersama bunga lawang dan bahan kisar sehingga wangi. 
Masukkan pula cili boh, serbuk kari dan juga sedikit air.
Tumis sehingga terbit minyak.
Kemudian tambahkan gula, cuka dan juga limau jeruk.
Masak di atas api sederhana sehingga limau lembut.
Masukkan garam hanya jika perlu kerana jeruk limau sudah masin.
Seimbangkan rasanya dan bolehlah dimatikan api.
Enak dinikmati bersama nasi tomato @ nasi berempah yang lain.

***Jeruk limau nipis senang diperolehi di Pekan Rabu, Kedah***

Wednesday, June 27, 2018

Rendang ayam

 BAHAN-BAHAN :
8 ketul ayam
500 ml pati santan
2 Tbsp cili boh Puteri
1 tsp serbuk jintan manis
1 tsp serbuk ketumbar
1 Tbsp kerisek kelapa
1 asam keping
2 helai daun limau purut (hiris)
1 helai daun kunyit (hiris)
garam bukit / gula

BAHAN KISAR :
1 labu bawang besar saiz medium
2 ulas bawang putih
1 cm kunyit hidup
1 inci halia tua
2 batang serai (hiris)
2 hiris nipis lengkuas


 CARA-CARA :
 Masukkan semua bahan ke dalam kuali kecuali daun kunyit, kerisek dan daun limau purut.
Masak di atas api sederhana sehingga kuah pekat.
Kacau selalu.
Masukkan kerisek, tambahkan bahan perasa dan juga daun yang telah dihiris.
Gaul sebati dan sedia dinikmati bersama ketupat @ nasi.

Sunday, May 27, 2018

Popia epal

 
  BAHAN-BAHAN :
secukupnya kulit popia
sedikit telur sebagai pelekat
sedikit gula aising
cip coklat secukupnya
minyak untuk menggoreng


BAHAN INTI :
5 biji epal hijau saiz besar (potong kecil, nipis)
3 Tbsp mentega
10 Tbsp rata gula perang @ secukup rasa
1 tsp serbuk kayu manis @ secukup rasa
sedikit garam


CARA-CARA :
  kupas epal dan hiris nipis. Ketepikan.
 panaskan mentega di dalam kuali
 masukkan epal dan gaul rata
 tambahkan gula perang dan juga serbuk kayu manis
 kacau sebati dan masukkan sedikit garam
 masak sehingga epal lembut dan pekat
matikan api dan ketepikan sehingga sejuk sebelum
digulung bersama kulit popia.


***jika sukakan kewangian kayu manis bolehlah dilebihkan***

Saturday, May 26, 2018

Asinan gajus

 BAHAN-BAHAN :
buah gajus
garam bukit
gula


 CARA-CARA :
 Bersihkan buah gajus dan ketepikan bijinya.
Hiris nipis gajus dan masukkan ke dalam mangkuk.
Taburkan sedikit garam dan masukkan gula secukupnya.
Gaul rata dan masukkan ke dalam peti ais.
Biarkan di dalam peti ais sehingga air buah keluar.
Sedia dinikmati begitu sahaja @ dimakan bersama nasi dan sambal belacan.

Bihun goreng sambal kantan

 BAHAN-BAHAN :
1 bungkus bihun (rendam hingga lembut)
1 Tsp garam bukit @ secukup rasa
1 Tbsp sos tiram
1 mangkuk sedang kangkung
1 mangkuk kecil tauge (buang ekor)
kicap manis secukup rasa
sedikit minyak untuk menumis


CARA-CARA :
Panaskan sedikit minyak di dalam kuali dan masukkan sambal tumis, kangkung, garam dan juga sos tiram.
Gaul rata.
Kemudian masukkan bihun dan juga kicap.
Goreng sehingga bihun lembut.
Jika perlu masukkan sedikit air.
Tambahkan tauge dan cek rasa.
Setelah sebati, matikan api dan sedia dihidangkan bersama keropok dan juga nugget.

Friday, May 25, 2018

lengkuas....dan cara menyimpannya

Untuk mengawet lengkuas supaya tahan lama, saya selalunya akan membersihkan lengkuas sehingga betul2 bersih dan menghirisnya nipis-nipis.
Kemudian masukkan ke dalam balang @ tupperware.
Isikan dengan air tapis @ air masak sehingga penuh.
Masukkan ke dalam peti ais dan tukar air setiap 1 minggu.
Lengkuas sedia digunakan bila2 masa tanpa pembaziran.

Air lo han kuo (penyejuk badan)

BAHAN-BAHAN :
2 liter air tapis
1 tin longan
sedikit lo han kuo (ikut manis)
sedikit biji selasih (jika suka)

    

CARA-CARA :
Didihkan air bersama lo han kuo, longan dan jusnya dan juga biji selasih.
Masukkan ke dalam gelas dan enak dinikmati dingin atau panas.

Asam pedas tempoyak

 
 BAHAN-BAHAN :
1 ekor ikan bawal emas
1 inci lengkuas (ketuk)
3 keping asam gelugur
2 tangkai daun kesum
1 batang bunga kantan (belah 4)
3 gelas air
3 Tbsp minyak masak
secubit serbuk pati ayam
garam laut/ gula


DIKISAR :
20 tangkai cili kering (rebus)
3 Tbsp tempoyak
3 ulas bawang merah


CARA-CARA :
Panaskan sedikit minyak di dalam periuk.
Tumis bahan kisar sehingga garing dan pecah minyak.
Kemudian tuangkan air, masukkan lengkuas, asam keping, bunga kantan dan juga daun kesum.
Masak sehingga mendidih.
Setelah mendidih, masukkan ikan bawal dan biarkan seketika.
Perasakan secukupnya dan bolehlah dimatikan api dan dihidangkan bersama nasi dan ulaman.

Tuesday, May 15, 2018

Orek tempe dan peria

BAHAN-BAHAN :
150g tempe (opotong halus, nipis & goreng garing)
2 biji peria katak, kecil (hiris nipis, rendam air garam, tos)
2 tangkai cili api merah (hiris)
2 tangkai cili api hijau (hiris)
1/2 labu bawang besar (hiris)
2 ulas bawang putih (hiris)
segenggam ikan bilis (basuh, goreng garing)
1 Tbsp sos tiram
1 Tbsp kicap manis
sedikit gula
minyak untuk menumis


CARA-CARA :
Panaskan sedikit minyak di dalam kuali dan tumis bawang hiris sehingga wangi.
Kemudian masukkan peria dan juga cili.
Masak sehingga peria lembut.
Masukkan pula kicap manis dan sos tiram.
Gaul rata.
Akhir sekali masukkan tempe, dan gula jika perlu.
Matikan api.
Sebelum dihidangkan barulah  digaulkan ikan bilis supaya kekal rangup.

Wednesday, April 25, 2018

Ketumbar Vietnam @ sawtooth

Inilah daun ketumbar Vietnam @ sawtooth leaves.
Mempunyai rasa dan aroma seperti daun ketumbar.
Banyak digunakan di dalam sup, tomyam dan juga dijadikan ulam.
Amat susah untuk ditemui di sesetengah tempat. Tetapi jika anda tinggal di bandar Nilai, herba ini boleh dibeli di pasar malam Taman Semarak.
Pokok ini senang ditanam tetapi siput amat menggemarinya. 
Setiap kali saya menyemai pokok ini di dalam pasu...setiap kali itu juga saya kecewa.
Akhir sekali...beli saja.

Sunchang ssamjang @ pes soya Korea

Inilah sos soya berperisa Korea @ Sunchang SSamjang.
boleh digunakan di dalam sup ataupun dijadikan sos celupan yang enak.